terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, May 25, 2010

'Ajar' hotel tiada sijil halal



KENYATAAN Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Sabtu lalu, bahawa tiada lagi majlis anjuran kerajaan akan diadakan di hotel yang tidak ada sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amat dialu-alukan.

Syabas diucapkan kepada beliau kerana 'keberanian' mengeluarkan kenyataan tersebut. Sebenarnya, sudah lama kita menunggu kenyataan tegas itu.

Sebabnya, tindakan itu bermakna kerajaan tidak lagi memberi muka kepada pengusaha hotel yang keras kepala dan memberi pelbagai alasan untuk tidak memohon sijil halal Jakim.

Ia juga sudah pasti dapat dijadikan panduan oleh masyarakat awam - hotel mana yang patut mereka singgah makan dan yang mana patut dipulaukan.

Daripada semakan di laman web e-halal Jakim, setakat semalam, cuma 62 dapur hotel di seluruh negara yang mempunyai sijil halal Jakim. Walhal bilangan hotel di negara kita mencecah lebih 2,000 buah.

Ini tentunya kontra dengan slogan yang selalu diuar-uarkan oleh kerajaan bahawa industri halal itu mempunyai pasaran yang sangat luas. Malangnya, ada pengusaha hotel yang rasa mereka tidak termasuk dalam kategori ini.

Pada mereka soal sijil halal adalah perkara kecil. Ada sijil atau tidak, pelanggan tetap datang. Yang penting, promosikan pelbagai produk makanan yang enak-enak.

Inilah antara akibat apabila pertimbangan keuntungan hanya dibuat berdasarkan neraca hidup di dunia sahaja. Sedangkan bagi kita umat Islam, bab halalnya makan minum adalah isu besar.

Ia bukan boleh dibuat main-main. Apabila disebut halal, maknanya ia bukan sahaja tidak ada campuran babi dan arak. Sebaliknya jika diperhalusi, ia hendaklah bebas daripada unsur- unsur syubhat dan campur tangan walau sekelumit pun benda yang haram.

Pendek kata, sayur-sayuran itu walaupun pada asalnya halal tetapi proses tanamannya juga perlu dipastikan halal. Jangan ada unsur- unsur campuran yang haram seperti air siraman daripada takungan kandang babi, bajanya jangan bersumberkan najis babi, anjing dan yang seumpamanya.

Ini yang perlu difahami oleh semua masyarakat lebih-lebih di Malaysia yang sekian lama dikatakan negara Islam.

Sebab itu, kita tidak boleh berlembut lagi. Kerajaan telah memulakan langkah pertama dengan tidak lagi menganjurkan majlis di hotel yang tidak mempunyai sijil halal.

Ayuh, kita sebagai umat Islam bersatu hati dan menunjukkan keseriusan kita dalam hal yang sama. Berhenti daripada makan di hotel- hotel yang terlibat.

Inilah masanya kita 'mengajar' hotel-hotel terlibat waima apa pun status mereka sama empat, lima atau enam bintang sekali pun. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: ...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan jangan bertolong- tolongan dalam melakukan maksiat dan pencerobohan...(al-Maidah: 2)

Analoginya, adalah malang bagi umat Islam yang berusaha memelihara diri daripada rezeki yang haram tetapi 'cair' apabila berhadapan dengan lauk-pauk yang membuat kecur air liur.

Agama Islam amat mengambil berat tentang makanan yang dimakan oleh umatnya. Justeru, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim mengambil makanan yang halal lagi baik.

Makan yang halal itu perintah Allah SWT kepada kita sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekelian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal yang baik (halalan tayyiban). (al-Baqarah: 168)

Selain itu, makanan akan menjadi darah daging kita dan ia menentukan sama ada kita orang beriman atau sebaliknya.

Orang beriman akan berusaha mencari makanan yang halal. Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam." (riwayat Dailami)

Di Malaysia, tiada sebab dan alasan bagi kita untuk tidak mencari makanan halal.

Memakan makanan yang halal boleh mengelakkan seseorang itu daripada ditimpa azab di akhirat. Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka neraka lebih layak baginya." (riwayat Thabrani)

Sewajarnya, sebelum kita berani melanggar batas halal haram ini, cubalah kita 'bakar' jari kita selama lima atau 10 minit. Jika rasanya mampu bertahan, 'silalah' melanggar hukum Allah. Namun perlu diingat, bahang api di dunia ini hanyalah sedikit sahaja berbanding api neraka Allah di akhirat kelak.

Memakan makanan yang halal akan menjadi sebab amalan diterima. Sebaliknya makanan yang haram itu, membuatkan amalan kita tidak diterima Tuhan.

Orang yang makan makanan halal, doanya makbul berbeza dengan orang yang makan makanan haram, terhijab doanya dengan Tuhan.

Rasulullah SAW bersabda: Betapa banyaknya orang yang rambutnya kusut-masai, badannya berdebu lantaran terlalu lama dalam pelayaran, makanannya daripada yang haram dan pakaiannya daripada yang haram, dan perutnya dipenuhi benda yang haram, diangkatkan kedua tangannya seraya berdoa: Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Bagaimana boleh Tuhan mengabulkan doanya. (riwayat Muslim)

Sebenarnya, proses memohon sijil halal bukanlah terlalu rumit. Permohonan Sijil Pengesahan Halal bagi pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa pula hendaklah memohon secara terus kepada Hab Halal, Jakim. Malah, ia boleh dibuat secara online.

Kadar caj ke atas premis makanan termasuk hotel pula adalah murah iaitu setiap unit premis RM100 dan setiap unit dapur RM100. Bayaran pensijilan halal yang dikenakan pula adalah untuk tempoh dua tahun.

Kadar itu jauh lebih murah berbanding caj yang dikenakan ke atas pelanggan yang makan bufet tengah hari atau makan malam yang mencecah antara RM60 ke RM100 seorang.

Justeru, apa lagi yang menghalang pengusaha hotel memohon sijil halal. Satu kemungkinan adalah mereka merasakan kuasa beli umat Islam adalah kecil berbanding pelanggan yang bukan Islam.

Jika mereka terus ingkar, elok Jakim mengeluarkan sijil tidak halal untuk ditampal di hotel-hotel yang tidak mempunyai sijil halal Jakim.

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Penulis ialah Pengarang Agama Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...