terima kasih buat kalian semua..

Friday, May 21, 2010

Akta gaji minimum...rakyat makin miskin???


KEMENTERIAN Sumber Manusia bercadang melaksanakan akta gaji minimum sebagai alat penghapus kemiskinan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam mengumumkan kementeriannya sedang mengkaji kemungkinan impak pelaksanaan akta itu.

Saya menolak penggunaan akta gaji minimum untuk menghapuskan kemiskinan di negara ini. Memang diakui di kalangan ahli ekonomi, gaji minimum mengakibatkan pengangguran di kalangan rakyat miskin. Malah inilah yang diajar dalam buku teks ekonomi di universiti. Tiada guna kalau menaikkan gaji, tetapi pada masa sama memusnahkan peluang pekerjaan.
Jika dilihat pada demografi lapisan masyarakat miskin, kita dapati ada corak tertentu. Kebiasaannya mereka yang miskin berpendidikan rendah, cacat anggota, menanggung keluarga besar dan terdiri daripada kaum tertentu.
Apabila menyebut kaum tertentu saya merujuk hakikat ada kaum yang memiliki lebih ramai orang miskin berbanding kaum lain.

Kesan gaji minimum tidak terhenti pada kenaikan kadar pengangguran semata mata. Ia memberi kesan lebih mendalam daripada itu.

Melihat sejarah Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, mereka yang berketurunan Afrika akan menawarkan gaji lebih rendah bagi mendapat peluang kerja terhad.

Pekerja berketurunan Afrika menghadapi diskriminasi perkauman di pasaran kerana ramai majikan dan pemilik perniagaan berkulit putih. Dengan menawarkan gaji lebih rendah daripada kadar yang diminta pekerja kulit putih, pekerja kulit hitam dapat mengatasi diskriminasi kaum dan memiliki peluang pekerjaan.
Pekerja kulit hitam mudah mendapat kerja kerana lebih murah untuk menggajikan mereka berbanding mengupah penduduk kulit putih. Ia menjadi kelebihan pekerja kulit hitam. Ini adalah situasi sebelum akta gaji minimum dilaksanakan.

Kesatuan sekerja yang dimonopoli pekerja kulit putih mula mendesak kerajaan memperkenalkan gaji minimum. Kononnya untuk membantu kulit hitam yang lebih miskin. Namun, niat jahat di sebalik permintaan kesatuan sekerja kulit putih itu ialah merampas pekerjaan daripada orang kulit hitam.

Akta gaji minimum memastikan pekerja kulit hitam tidak boleh bekerja dengan gaji lebih rendah daripada gaji pekerja kulit putih. Oleh kerana tiada beza dalam kos menggaji pekerja kulit hitam atau pekerja kulit putih, majikan yang majoritinya berkulit putih pasti akan mengutamakan kaumnya.

Akta gaji minimum menghapuskan kelebihan pekerja kulit hitam untuk bersaing di pasaran. Pengangguran di kalangan mereka meningkat dan hubungan antara kaum bertambah buruk.

Senario sama juga boleh berlaku di Malaysia dengan majoriti pekerja terdiri daripada kaum tertentu, manakala majoriti majikan juga kaum tertentu. Saya khuatir gaji minimum menggalakkan diskriminasi kaum di dalam pasaran kerja dan memburukkan hubungan antara kaum di Malaysia.

Saya menyeru rakyat Malaysia menolak pelaksanaan gaji minimum bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan orang miskin dan menjaga perpaduan antara rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.

AFIF ABDULLAH,
Felo Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Kuala Lumpur

4 comments:

  1. kalau gaji minumum tu tunggi tak pa gak..ini kalau rendah...mmg la kena tolak..

    ReplyDelete
  2. This is the 1st time I hear that 'minimum wages' will cause racial discrimination. Unemployment will increase but the current scenerio in M'sia is that the pay is too low and proliferation of cheap foreign labour.

    A minimum wage regime will encourage locals to take up the job and make hiring foreigners unattractive (minimum wages also include foreign workers)

    BTW in USA & SA there are laws against 'perceived' wages discrimination based on gender or race.

    ReplyDelete
  3. pada pendapat saya... kenyataan ini dangkal dan mengarut...

    ReplyDelete
  4. pendapat ini ada benarnya dan ada juga salahnya.

    1. mungkin penulis menganggap bila kadar gaji minimum wujud, maka syarikat akan mengurangkan pengambilan pekerja dan menggunakan pekerja yang sama untuk melaksanakan tugas (menambah beban kepada pekerja yang ada).

    2. mungkin penulis ingin kerajaan mengkaji punca sebenar akibat kemiskinan ini dan bukan gaji semata-mata. kenaikan gaji akan menyebabkan kenaikan barangan yang lain dan turut menjurus kepada masalah ekonomi yang sama.

    Kajian kenapa masalah kemiskinan ini wujud sepatutnya tidak dipolitikkan memandangkan ianya masalah yang ada di semua negeri dan puncanya adalah hampir sama di setiap negeri.

    Perkara ini boleh diselesaikan asalkan semua pihak dapat ikhlas untuk menyelesaikannya 100% dan menjadikan 0 miskin tegar itu tidak lagi wujud di malaysia.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...