terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 30, 2010

Al-Razi tinggalkan khazanah tafsir, fikah, perubatan, geometri


RAMAI ilmuwan Islam contoh yang kita dapati dalam khazanah ketamadunan Islam yang memiliki kemahiran dalam satu-satu bidang ilmu. Tetapi sangat sedikit kita dapati ilmuwan Islam yang menguasai ilmu dunia dan ilmu wahyu layaknya seorang ulul albab. Salah satu daripada mereka ialah al-Razi. Menurut Sami al-Nasysyar, keilmuan al-Razi dikesan dalam 97 buku yang dihasilkannya. Ia merangkumi bidang al-Quran (tafsir) sebanyak lima buah; ilmu kalam sebanyak 40 buah; falsafah sebanyak 26 buah; bahasa Arab tujuh buah; fikah dan usul fikh lima buah, perubatan tujuh buah, geometri lima buah dan sejarah dua buah.

Daripada apa yang dikesan al-Nasysyar di atas dapatlah kita simpulkan bahawa al-Razi adalah seorang ulul albab yang luar biasa. Beliau telah meninggalkan khazanah dunia yang tidak ternilai dan tersebar di merata dunia

Ibnu Nadim dalam al-Fihrist menulis mengenainya: ”(Dia) seorang ilmuwan terbilang dan satu-satunya pada zamannya serta terhimpun dalam dirinya ilmu orang terdahulu khasnya ilmu perubatan.” Ibnu Abi Usaibu’ah dalam ‘Uyun al-Anba’ menyifatkan al-Razi dengan katanya: “Al-Razi adalah seorang yang pintar, cerdik dan belas kasih kepada pesakitnya, bersungguh-sungguh dalam mengubati mereka agar sembuh dengan pelbagai cara yang sesuai, berkesinambungan dalam membuat kajian mengenai rahsia industri perubatan dan menerokai hakikatnya.” Kemasyhuran al-Razi sebagai doktor bukan saja di Timur, tetapi juga di Barat; sehingga dikenali sebagai ‘Rhazes’ dan mendapat gelaran ‘The Arabic Galen’ merujuk kepada pakar perubatan Barat. Al-Razi pada mulanya berminat dengan muzik sebelum mempelajari ilmu perubatan, matematik, astronomi, kimia dan falsafah. Antara guru beliau ialah Hunain ibn Ishaq, seorang pakar ilmu perubatan Greek lama, Parsi dan India serta Ali ibn Rabban. Bukunya al-Hawi (Liber Contines) yang mengandungi 20 jilid adalah ensiklopedia amalan perubatan terapeutik yang menjadi buku rujukan perubatan di Eropah dan menjadi satu daripada sembilan buku rujukan yang ada dalam perpustakaan Fakulti Perubatan, Universiti Paris pada 1394. Artikel ilmiahnya berkenaan penyakit campak cacar tulen (smallpox) dan campak biasa (measal) iaitu al-Judari wa al-Hasbah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dan diulang cetak sebanyak 40 kali dalam masa antara 1498-1866M. Ketika al-Razi memimpin Muqtadiri Hospital di Ray selama enam tahun dari 290 Hijrah hingga 296 Hijrah, beliau telah menulis buku yang dipersembahkan kepada Gabenor Mansur ibn Ishaq dan buku itu diberi tajuk Kitab al-Mansuri dalam ilmu perbedahan. Dalam buku itu terkandung 10 penemuan berkaitan pembedahan dan dianggap karya tulen yang mencerminkan kematangan dan kepakaran al-Razi dalam perubatan moden.

Oleh Abdurrahman Haqqi

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...