terima kasih buat kalian semua..

Thursday, May 20, 2010

Bagaimana nasib anak-anak lembap?

Rahsia hati seorang ibu, catatan saya minggu lalu mengundang pelbagai reaksi. Ada ibu yang menangis menelefon bercerita tentang anak-anak mereka.

Begitu dengan kaum bapa ada yang tersentuh hati. Semuanya kerana anak. Dalam banyak reaksi yang diterima saya terpanggil memetik e-mel kiriman seorang wanita yang menamakan dirinya Mama Prihatin.

"Teruskanlah usaha membantu mereka yang memerlukan, kerana jika tidak di buat begini, kita tidak tahu ada orang lain yang susah lagi daripada kita.

"Jika ada kesempatan Allah memberi rezeki yang lebih kepada saya, saya teringin membawa anak-anak melawat dan membantu mereka yang memerlukan. Saya mahu anak-anak saya sedar dan insaf dengan ketentuan Allah.

"Saya tidak mengharap coretan saya disiarkan memadai jika puan membalas e-mel saya sahaja pun, saya sudah berbesar hati."

Kata-katanya menyentuh hati saya. Keinginannya mencabar minda saya untuk menghargai pandangan wanita yang telus dan ikhlas ini. Semangat dan kecekalannya harus dijadikan contoh.

Maafkan saya Mama Prihatin. Kisah anda amat menarik untuk disiarkan buat teladan ibu-ibu lain. Mohon izin disiarkan.

Kita ikuti kisah Mama Prihatin.

"Saya ibu tunggal dan mempunyai 3 orang anak yang berumur 7, 9 dan 10 tahun,(Darjah 1, 3 dan 4 ).

"Saya cuma ingin berkongsi pandangan dan idea kerana mempunyai dua orang anak lembap. Saya tidak mampu untuk menghantar mereka ke mana-mana pusat pembelajaran khas kerana kos yang mahal kerana hanya saya seorang sahaja yang menyara anak-anak.

"Kini saya dalam proses untuk menghantar anak ke sekolah pendidikan khas.

"Cuma apa yang saya ingin bangkitkan ialah mengenai nasib kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran ini. Kini kita lihat kerajaan telah mewujudkan Permata Pintar dan sebagainya.

"Memang bagus, tetapi adakah semua kanak-kanak dapat mengikutinya?

"Kemudian di wujudkan pula sekolah pintar. Itu juga bagus.

"Tetapi saya ingin bertanya, bagaimana pula nasib kanak-kanak lembap ini. Memang ada pusat untuk anak-anak tersebut, tetapi semuanya diasaskan oleh NGO atau syarikat swasta yang mengenakan kos yang tinggi.

"Kalau yang berpendapatan tinggi mereka mampu menghantar anak ke situ, bagaimana dengan golongan macam saya.

"Mahu tidak mahu kami terpaksa menghantar anak ke sekolah pendidikan khas sahaja, tetapi adakah memadai dengan sukatan pelajarannya dengan keadaan masa kini.

"Bagaimana pula bila cuti sekolah dan nasib mereka bila sudah dewasa kelak? Sebab mereka bukan kanak-kanak 'istimewa'.

"Doktor pernah sarankan anak saya di tempatkan di pusat Dilyxsie, tetapi saya tidak mampu kerana kos tinggi dan jauh dari rumah.

"Saya tidak pernah membawa anak-anak bercuti atau makan angin walaupun ke Zoo Negara sebab saya lebih memikirkan wang untuk ke arah itu boleh digunakan bagi membantu persekolahan dua anak saya yang lembap tadi.

"Bagaimanapun kadang-kadang ada saudara mara yang sudi membawa mereka makan angin untuk mengambil hati mereka.

"Orang-orang yang hidup susah juga menghadapi masalah yang sama seperti saya. Cuba tanya mereka, ke mana mereka hendak menghantar anak mereka belajar sekiranya anak-anak tersebut ada masalah pembelajaran.

"Saya ingin bertanya, adakah apa-apa program khusus bagi keluarga kurang mampu untuk anak-anak mereka?

"Pada pandangan saya tidak cukup hanya dengan menziarah, memberi wang dan keperluan harian, yang penting pendidikan anak-anak mereka.

"Saya juga berharap dapat diberi nasihat dan panduan mengenai perkara ini.

"Sebagai ibu yang mempunyai anak-anak lembab saya mengharapkan masa depan yang lebih terjamin untuk anak-anak saya. Saya mahu mereka menerima pendidikan seperti anak-anak sempurna yang lain.

"Saya berharap impian saya akan tercapai dan anak-anak saya mampu bersaing dengan anak-anak sempurna lain untuk merebut tempat dalam sebuah kehidupan yang baik, aman dan membahagiakan mereka di negara ini.

"Adakah hajat saya akan tercapai? Hanya Allah sahaja yang tahu tetapi saya tidak pernah putus berdoa, mudah-mudahan segala harapan dan impian saya sebagai ibu akan di makbulkanNya. Insya-Allah."

Demikian Mama Prihatin menamatkan ceritanya. Saya pasti luahan perasaan Mama prihatin menarik perhatian anda semua. Kesedarannya terhadap masa depan anaknya yang lembap amat mengharukan.

Sifatnya saya sanjung tinggi, mudah-mudahan ada lagi ibu-ibu yang berpandangan jauh sepertinya.

Saya menyokong penuh usaha Mama Prihatin menghantar anak-anak ke Sekolah Pendidikan Khas. Sekurang-kurangnya buat sementara mereka akan menerima pelajaran yang sesuai dengan usia mereka.

Pada masa sama, berusahalah untuk mendapatkan maklumat dan maklum balas daripada pihak sekolah khas itu mengenai langkah seterusnya yang perlu diambil berhubung masa depan anak-anak anda.

Anda juga boleh mendapatkan pandangan dan nasihat daripada doktor, kaunselor atau persatuan yang mahir tentang kanak-kanak lembap. Internet juga boleh membantu anda mendapatkan panduan mengenai perkara yang sama.

Pesanan saya jangan putus asa, teruskan berusaha. Kata-kata dan hajat seorang ibu adalah doa yang tidak pernah dihampakan oleh Allah SWT

Doa saya semoga Allah memelihara dan melindungi kehidupan Mama Prihatin dan anak-anaknya di dunia dan akhirat.

Menutup catatan, kemuliaan hanya milik mereka yang bersabar kerana di hati mereka itu, ada cahaya yang terlindung.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...