terima kasih buat kalian semua..

Friday, May 21, 2010

Berbeza pada perkara sunat

PERINTAH Allah untuk Muslim mengerjakan solat (dan mengeluarkan zakat) terdapat dalam beberapa surah al-Quran. Bagaimanapun, penjelasan cara solat tidak dinyatakan dalam al-Quran dan dirujuk kepada sunnah Rasulullah.

Pada saya asas amalan dan ibadat mestilah berpandukan al-Quran dan sunnah. Sepatutnya ia sama dan seragam tanpa perbezaan cara semua Muslim melakukan solat.

Bagaimanapun saya dapati terdapat pelbagai cara solat dilakukan. Contohnya letaknya kedua tangan di dada selepas takbiratul ihram; ada di atas pusat, di tengah-tengah perut, ada di dada atas kedudukan jantung dan lain-lain.

Jawapan

Soalan seumpama ini perlu kepada beberapa kuliah atau perlu membaca beberapa buah buku dalam permasalahan fiqh. Juga boleh membantu anda buku-buku yang membincangkan perbezaan pendapat di kalangan para fuqaha’.

Sebelum membincangkan kenapa ulama berselisih pendapat dalam sesuatu masalah kita harus hadam usul fiqh dan qawaid al-Fiqhiyyah yang menjadi nadi dan asas kepada punca pengistibatan sesuatu hukum dalam masalah fikah.

Huraian secara rawak tidak dapat memberi faham yang sebenarnya dalam persoalan ini. Lebih-lebih lagi apabila timbul persoalan kenapa banyak perbezaan di antara mazhab dalam melakukan ibadat?

Ini kerana setiap ulama ada manhaj (kaedah) tersendiri yang digunakan bagi memahami sesuatu nas sama ada dari al-Quran mahupun hadis nabi SAW.

Para ulama berusaha memberi kefahaman yang lebih dekat kepada tuntutan Allah SWT dan sunnah Rasulnya.

Tidak semua memiliki kemampuan menghuraikan sesuatu permasalahan mengikut al-Quran dan sunnah. Sebab itulah urusan mengistinbat hukum sehingga penjelasan terhadap tuntutan sesuatu ibadat benar-benar jelas.

Seperkara yang perlu diketahui, para fuqaha yang empat termasuk Imam al-Syafie adalah pakar dalam akidah, hadis, tafsir dan bahasa arab.

Begitu juga dengan Imam Malik seorang yang terkenal dengan karya unggulnya al-Muwatta’, kitab yang memuatkan hadis-hadis Rasulullah SAW berpandukan kepada permasalahan fikah. Menurut riwayat, Imam al-Syafie hafal kitab ini sebelum bertemu dengan Imam Malik di Madinah, juga tidak kurang hebatnya Imam Ahmad yang memiliki karya agung beliau Musnad Imam Ahmad.

Imam Ahmad bin Hanbal banyak karyanya dalam ulum al-Islam. Kefahaman mereka adalah jauh lebih baik daripada kita. Ini kerana mereka sendiri adalah lautan ilmu. Mereka menguasai ilmu, alat bagi merungkai dan memberi faham yang betul mengenai sesuatu tuntutan sama ada fardu mahupun sunat.

Oleh sebab itu, Allah SWT menegah kita menyatakan sesuatu yang kita tidak ada ilmu padanya. Sebabnya, dikhuatiri seseorang berkata dalam urusan agama termasuk dalam persoalan halal haram sedang dia tiada ilmu dalam hal itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya... (Israk: 36)

Lalu Allah SWT memerintahkan agar sesuatu persoalan atau permasalahan hendaklah dirujuk kepada ahlinya, firman-Nya yang bermaksud: …Oleh itu bertanyalah kamu kepada golongan yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. (al-Nahl: 43)

Sebenarnya perbezaan yang saudara dapati dalam sesuatu ibadat yang dilakukan adalah kerana pengistinbatan (penghasilan sesuatu hukum) yang berbeza oleh para ulama fiqh. Iaitu cara kesemua mereka yang berpandangan berbeza masih tidak terkeluar daripada apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan baginda SAW.

Ini kerana asas dalam sesuatu ibadat mesti berpandukan al-Quran dan sunnah sebab kedua-duanya menjadi rujukan dalam setiap ibadat yang dilakukan.

Namun kefahaman ulama terhadap sesetengah nas sama ada ia ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW adalah berbeza.

Perbezaan yang dimuatkan dalam mazhab mereka masih berpandukan syariat dan kehendak Allah SWT.

Contohnya, mengangkat kedua tangan ketika takbiratul ihram tidak disunatkan oleh semua mazhab melainkan Mazhab Syafie, Mazhab Hanafi dan sebahagian ulama Mazhab Maliki.

Saudara tidak perlu khuatir, mengenai perselisihan yang berlaku. Perselisihan adalah sunnah alam yang ditetapkan oleh Allah. Allah SWT telah mengizinkan perselisihan asalkan ia tidak mengundang perbalahan dan perpecahan di kalangan masyarakat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi golongan yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia…. (Hud: 118-119)

Perbezaan pandangan adalah rahmat dan keluasan anugerah Allah kepada mereka yang beriman kepadanya.

Contohnya rahmat perbezaan pendapat antaranya dalam penetapan waktu melontar pada 10 Zulhijjah, bagi mereka yang memilih melontar jamrah al-Aqabah untuk bertahallul, imam al-Syafie menetapkan selepas waktu duha adalah waktu bermulanya melontar. Mazhab yang lain waktu melontar bermula selepas tergelincir matahari serta pandangan-pandangan yang lain dari mazhab.

Bayangkan sahaja kalau kesemua ulama sepakat bermulanya waktu melontar ialah selepas tergelincir matahari apa akan terjadi?

Jawapannya akan ramai lagilah yang syahid ketika melontar.

Perbezaan dalam ibadat adalah perbezaan dalam persoalan yang sunat, sama ada sunat itu muakkad atau sunat sahaja.

Contoh mengangkat kedua tangan sambil bertakbir tidak semua mazhab melakukannya. Jika ada yang tertinggal tidak pula dihukum batal solat orang itu, kalau ada pun dikira tidak melakukan sunat fi’liyyah (sunat perbuatan).

Umat Islam di negara ini berpegang dengan mazhab al-Syafie, mazhab yang paling ramai berpegang dengannya di atas dunia ini. Sesungguhnya Imam al-Syafie tidak menokok tambah perkara yang tidak ada dalam al-Quran dan sunnah kerana beliau sangat arif dan menjadikan hadis sahih sebagai asas dalam mazhab beliau.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...