terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 29, 2010

Bila nak selesai isu pembantu rumah..tolonglah kami!!!


SAYA amat tertarik dengan tulisan WARGA KOTA KITA bertarikh 24 Mei 2010 berkenaan dengan Wajarkah diberi Pasport dan cuti kepada pembantu rumah.

Baris ayat "Janganlah kita mengambil keputusan semata-mata untuk mempamerkan sifat pemurah kita, sedangkan rakyat kita yang akan menanggung sengsara jangka panjang" lebih menarik perhatian saya untuk turut memberi maklum balas.

Mengambil pembantu rumah melalui ejen sudah membuatkan poket kita rabak. Kos pengambilan dari ejen yang tidak bertauliah adalah antara RM5,500 ke RM6,000, manakala melalu ejen yang kononnya terlatih dan bertauliah memakan kos dari RM7,000 ke RM8,000.

Pada masa dahulu, pembantu rumah mungkin hanya diambil oleh mereka yang betul-betul berkemampuan. Tetapi sekarang apa yang saya perhatikan, mempunyai pembantu rumah seperti satu keperluan. Tuntutan kerja untuk menanggung kehidupan di bandar besar terutamanya, memaksa suami dan isteri keluar ketika gelap pagi dan balik ketika gelap malam.

Menghantar anak di pusat penjagaan yang kebanyakan hanya beroperasi seawal 7 pagi dan selewat 7 malam sudah menjadi tidak praktikal lagi.

Ini belum dicampur dengan keadaan jalan raya yang sesak yang menyebabkan kita tersangkut lebih lama di jalan raya berbanding di rumah. Keadaan ini pasti memeningkan kepala ke mana anak kita harus dihantar sekiranya tidak dapat mengambilnya pada masa yang sepatutnya.

Hal anak tentu sekali menjadi keutamaan kenapa kita menggajikan pembantu rumah. Anak lebih terurus di rumah ketika kita keluar bekerja.

Mengambil pembantu rumah dengan kos permulaan yang tinggi tentu sekali sudah memberi bebanan kepada kewangan kita.

Namun, hakikat pembantu rumah bagai sudah menjadi keperluan, membuatkan kita terpaksa berkorban untuk permulaannya.

Kita telah menyetujui bayaran gaji kepada mereka adalah RM500 sehingga RM600. Kesemua keperluan mereka, kita tanggung, dari makan, tempat tinggal, sabun, berus gigi sehinggalah ke tuala wanita mereka kita sediakan.

Tidak semua yang mengambil pembantu rumah ini mendiami rumah besar, yang memerlukan penjagaan yang lebih.

Lihatlah dari perspektif yang lebih luas, pembantu rumah di sebuah kediaman seperti apartmen, tiga bilik tidur, dua bilik air, halaman rumah tidak berumput atau berpokok bunga pun yang perlu dijaga.

Hanya perlu melakukan kerja rutin penjagaan biasa sahaja, dan layakkah mereka diberikan cuti seminggu sekali?

Sekiranya cuti tidak diberi, kita menyetujui pula untuk mereka diberi elaun? Banyak manakah jumlah elaun itu? Kalau sebulan, jika dikumpul elaun kerja tambahan itu sudah menjadi berapa?

Jadi gaji pembantu rumah sebulan nampaknya bukan lagi RM500-600, tapi jika ditambah elaun mereka mungkin menerima bersih sehingga RM700 atau lebih. Bukankah itu sudah mewah?

Mengenai pasport pula, atas alasan apakah yang membuatkan kita begitu yakin untuk memberi hak kepada mereka untuk memegang pasport sendiri?

Tidakkah golongan yang sememangnya lebih bijaksana dari saya ini terfikir, terlalu banyak ruang yang kita beri kepada mereka. Mereka boleh saja pada bila-bila masa melarikan diri meninggalkan anak di rumah ketika kita sedang mencari nafkah di tempat kerja.

Tidakkah para bijaksana pernah memikirkan keadaan anak yang umurnya 2-6 bulan yang sepatutnya diberikan makan setiap 2-3 jam tapi sekiranya ditinggalkan begitu saja?

Kepada para bijaksana, lihatlah dari perspektif yang lebih luas, kasihanilah kami. Ingin sekali lagi saya memetik baris ayat saudara WARGA KOTA KITA, "Janganlah kita mengambil keputusan semata-mata untuk mempamerkan sifat pemurah kita, sedangkan rakyat kita yang akan menanggung sengsara jangka panjang" dan sama-samalah kita renungkan.

SUMI

Subang Jaya

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...