terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 9, 2010

Derma darah harus di sisi syarak

SAYA ingin mendapat kepastian mengenai menderma darah. Ada pendapat mengatakan apabila kita menderma darah, kita juga akan mendapat pahala amalan yang dilakukan oleh penerima darah sehinggalah akhir hayatnya. Saya juga ingin tahu hadis dan petikan al-Quran yang menyokong perkara itu.

Jurulatih
PLKN Desa Rimba.

SEGOLONGAN fuqaha berpendapat harus berubat dengan benda haram dan najis, jika tidak ada ubat-ubatan yang diharuskan dan suci. Apabila seorang doktor Islam yang pakar berpendapat keselamatan nyawa pesakit bergantung kepada pemindahan darah daripada orang lain kepadanya, ketika itu haruslah menurut pandangan syarak melakukan pemindahan darah, apa lagi darurat mengharuskan perkara haram. Dalam surah al-Haj ayat 78 bermaksud: “Dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah alam perkara agama.”

Bagaimanapun dalam keadaan ini, hendaklah pihak yang diambil darah daripadanya tidak ditimpa sebarang kemudaratan daripada sudut kesihatan, manakala perpindahan darah dilakukan dalam batasan darurat dan dengan kadar ditetapkan saja.

Pengambilan darah atau pendermanya daripada orang yang sihat untuk dimanfaatkan oleh pesakit yang memerlukannya demi menyelamatkan mereka daripada menderita menanggung sakit, adalah suatu rahmat kepada manusia.

Rahmat adalah satu tuntutan kemanusiaan dalam Islam. Seperti dimaklumi, tidak ada hukum dalam Islam melarang menyumbang darah. Berdasarkan kaedah fikah menyatakan: “Dalam muamalah (bukan ibadat khusus) segalanya boleh selama tidak ada larangan, sedangkan dalam ibadat khusus, segala-galanya tidak boleh kecuali jika ada petunjuk agama ataupun nas.”
Agama sangat menganjurkan kerjasama sesama manusia dalam hal kebajikan dan ketakwaan, lebih-lebih lagi perkara membabitkan nyawa manusia. Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah tolong menolong untuk membuat kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu menolong untuk melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan...”

Sebuah hadis riwayat al-Tabarani, pula merujuk Rasulullah SAW sebagai bersabda: “Kamu tidak beriman sehingga kamu mengasihani. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah SAW, kami semua mengasihani.” Baginda bersabda: Sesungguhnya yang dimaksudkan mengasihani bukanlah mengasihani seseorang daripada kamu akan sahabatnya, akan tetapi mengasihani manusia seluruhnya.”

Berdasarkan hadis itu, jelas harus mengambil darah daripada orang yang hidup kemudian menyimpannya dalam tabung darah untuk kegunaan orang yang hidup. Pengambilan daripada mayat lebih-lebih lagi diharuskan dengan perkiraan bahawa mengeluarkan darah daripada mayat selepas kematiannya tidak menyakitkan dan tidak mengurangkan tenaga pergerakannya, malah darahnya akan rosak apabila mana badannya dikandung tanah.

Oleh itu bank darah ataupun tabung darah adalah halal di sisi syarak. Wallahualam

Bersama Ustaz Zahazam Mohamed

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...