terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 22, 2010

Dibenci mentua kerana fitnah adik ipar


BAGI sesetengah pihak, melayari bahtera perkahwinan bersama sambil berkongsi bumbung dengan ahli keluarga yang lain boleh memberi keseronokan dan kesenangan. Apa saja dimiliki dan dikongsi selain diagihkan tanpa sedikit pun lahirnya perasaan dengki atau berkira.

Namun, ada juga setengah pihak yang tidak mampu mencapai nikmat berkongsi hidup sebumbung seperti digambarkan di atas. Sikap dan hasrat dengki dicerminkan sesetengah ahli keluarga, menjadikan keadaan bertambah tegang dan haru-biru sekali gus merenggangkan hubungan suci antara suami isteri.
Rahmah (bukan nama sebenar) berkata, pengenalan singkat antara dia dengan bekas suaminya tersimpul rapi dengan adanya ikatan perkahwinan dirancang oleh keluarganya. Bapanya yang tegas dalam perhubungan memutuskan untuk mengahwinkan mereka supaya tiada perkara tidak diingini berlaku.
“Kami baru saja berkenalan selama tiga bulan, belum sempat hendak mengenali hati budi masing-masing, saya sudah pun dipaksa untuk berkahwin dengannya kerana bapa saya mengenali orang tua suami dan mereka bersetuju untuk menyatukan kami.

“Walaupun berkeras untuk menolak keputusan itu, saya tetap dipaksa bapa untuk berkahwin kerana menganggap sudah tiba masanya untuk saya mempunyai keluarga sendiri. Saya akur dengan kenyataan itu akhirnya memandangkan usia ketika itu sudah pun menjangkau 29 tahun,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, Berita Harian, baru-baru ini.

Rahmah berkata, majlis perkahwinan yang dijalankan sangat sederhana rentetan tiada persediaan awal dilakukan. Walaupun berat hati pada mulanya untuk menerima kenyataan itu, selepas tiga bulan melayari bahtera dengan Amir, akhirnya beliau akui gembira dengan perkongsian hidupnya itu.

Wanita berusia 32 tahun itu mendakwa, walaupun bekas suaminya ketika itu tidak mempunyai kerjaya yang tetap, dia tahu akan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Melihat kegigihannya itu, dia bersedia untuk melaburkan wang simpanan untuk bekas suaminya menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
“Perniagaan kami mula berjalan dengan lancar. Hubungan antara kami berdua juga semakin mesra dan mula mendampingi antara satu sama lain. Selain itu, kami juga tidak berkira untuk membelikan barang buat keluarga dan tidak kisah untuk hidup sebumbung dengan mereka.

“Tapi siapa sangka, kebaikan dicurahkan itu langsung tidak dihargai oleh adik perempuan Amir (bukan nama sebenar) yang mula berubah selepas melihat kejayaan kami berdua. Ada saja yang akan diperkatakan olehnya setiap kali saya membelikan sesuatu buat ibu mentua atau ahli keluarga yang lain,” katanya.

Rahmah berkata, adik iparnya yang bersikap pelik itu juga mengubah seluruh kehidupannya selepas sewenang-wenangnya menuduh dia menggunakan sihir untuk merebut kasih sayang keluarga mentua.

“Terkejut saya apabila ibu mentua menelefon saya ketika sedang bekerja lalu menyatakan adik Amir terjumpa sebungkus kemenyan di dalam bilik saya dan juga cebisannya yang diletakkan di bawah pengalas kaki pintu masuk ketika dia mengemas rumah.

“Tiada kesempatan untuk menceritakan perkara sebenar kepada Amir, dia sudah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan kekecewaannya terhadap sikap buruk saya itu. Tanpa berlengah, saya terus bergegas pulang ke rumah,” katanya sambil mengesat air mata yang mula gugur ke pipinya.

Jelasnya, sejurus sampai ke rumah, dia terkejut melihat ahli keluarga lain turut berada di sana untuk mendengar penjelasannya. Walaupun sekeras mana wanita itu menegakkan kebenaran, tetap ditepis oleh adik Amir yang berlagak suci di hadapan semua.

“Saya tahu itu angkara siapa. Tapi apakan daya saya tidak ada bukti dan tidak baik untuk menuduhnya. Cuma yang mematahkan hati ini adalah suami sendiri tidak mahu mencari kebenaran lantas menerima dakwaan orang lain sebulat-bulatnya.

“Keadaan antara saya, suami dan keluarga semakin tegang dan menjadi rumit. Tiada ruang untuk saya berceloteh mahupun berseloroh seperti sedia kala. Amir juga tidak seperti sedia kala. Dia semakin renggang dan tidak mahu menikmati masakan saya lagi mungkin kerana takut disihirkan,” katanya sambil tersenyum sinis.

Rahmah berkata, dia dan Amir akhirnya mengambil jalan penyelesaian untuk bercerai secara baik di luar mahkamah untuk membawa haluan masing-masing. Walaupun kesal dengan sikap pihak yang menjadi gunting dalam lipatan, wanita itu pasrah dengan ketentuan yang ditetapkan.

“Saya reda dengan apa juga perkara yang berlaku dan hanya mengharapkan yang terbaik untuk bekas suami saya dan juga keinsafan buat adiknya. Bagaimanapun, segala yang terjadi itu mengajar diri ini untuk sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan seterusnya,” katanya sebelum menamatkan perbualan.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...