terima kasih buat kalian semua..

Thursday, May 13, 2010

Doktor baru lulus wajar dibon jika hijrah

Pelajar perubatan IPTA patut patriotik demi manfaat rakyat

FENOMENA doktor dari Malaysia diumpan untuk berkhidmat di Singapura nampaknya semakin menjadi-jadi apabila yang baru lulus pun kini sudah menjadi sasaran republik itu.

Sebelum ini, mereka hanya menarik yang sudah berpengalaman dan mempunyai kepakaran. Maka itu tidak menghairankan sehingga 40 peratus daripada doktor pakar yang berkhidmat di hospital dan sekolah perubatan mereka adalah rakyat Malaysia. Yang membuka mata semua daripada mereka ini adalah bukan Melayu.

Ini menimbulkan pelbagai persoalan. Misalnya kenapa begitu ramai pakar kita berhijrah ke sana? Dan kenapa pula semuanya terdiri daripada bukan Melayu?

Sememangnya diketahui republik itu sedia memberikan upah berganda kepada doktor dari negara ini sama ada yang baru lulus mahu pun berpengalaman dan bergelar pakar berbanding jika mereka berkhidmat di Malaysia. Ditambah pula dengan nilai dolar yang hampir dua setengah kali ganda daripada nilai ringgit kita, tarikannya memang sukar ditangkis.

Selain tarikan ini dan mungkin juga tarikan lain. Ada juga tohmahan kononnya doktor bukan Melayu semuanya menghadapi diskriminasi dalam perkhidmatan. Kononnya, mereka tidak diberi layanan sewajarnya seperti layanan yang diberikan kepada doktor Melayu. Inilah yang mendorong mereka memilih berhijrah ke republik itu. Tetapi apakah tohmahan ini benar?

Terakhir, wujud pula berita bahawa sehingga 80 graduan baru dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) yang belum pun sempat menjalani khidmat wajib selama tiga tahun dengan kerajaan sudah diumpan mereka. Dan semua mereka juga bukan Melayu.
Sebenarnya republik itu berusaha mendapatkan lebih ramai daripada 80 graduan itu, tetapi sememangnya ada bukan Melayu yang tetap bersikap patriotik terhadap negara ini dengan tidak melayan tawaran diterima.

Gejala ini menimbulkan persoalan kenapa kita harus melihat saja usaha tidak bermoral republik itu mengumpan graduan kita yang belum pun sempat memberikan khidmat yang amat diperlukan rakyat negara ini.

Kita juga tahu bagaimana rakyat negara ini baik di luar bandar mahu pun di bandar memerlukan khidmat kesihatan yang baik yang kadang kala terbantut kerana kekurangan doktor. Lihat saja berita bagaimana lima orang doktor bertungkus-lumus memberikan khidmat perubatan kepada pesakit di sebuah klinik di Sungai Buloh. Kelima-lima doktor bertugas itu terpaksa merawat sehingga lebih 100 pesakit setiap orang sehari hingga terpaksa menemui pesakit tanpa henti dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang kerana begitu ramainya pesakit memerlukan khidmat.

Selagi ramai doktor kita tidak sanggup berkhidmat kepada warga sendiri, selagi itulah keadaan kesesakan demikian tidak dapat diatasi. Tekanan khidmat yang tidak menyenangkan ini juga adalah pendorong kepada sesetengah daripada mereka itu sanggup berhijrah.

Singapura juga pernah membuat semacam ‘roadshow’ misalnya ke Sabah untuk menarik lulusan kedoktoran kita berkhidmat di hospitalnya. Persoalannya bagaimanakah kita boleh membenarkan mereka terang-terangan ke mari menarik doktor yang amat diperlukan hingga boleh menjejaskan khidmat yang diperlukan rakyat negara ini? Usaha republik itu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai perkhidmatan perubatan dan kesihatan serta usaha kita memenuhi kehendak rakyat mendapatkan khidmat perubatan yang baik.

Sememangnya tidak boleh dinafikan kebanyakan daripada mereka yang mudah dipikat ini sebenarnya tidak mahu berkhidmat di luar bandar jauh sekali di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak. Mereka ini juga terdiri daripada yang tidak kental dan mahu mengelak daripada terpaksa bertungkus-lumus bekerja kadangkalanya sehingga 36 jam tanpa rehat hanya kerana kekurangan doktor.
Keadaan ini tentunya tidak akan dapat diselesaikan atau diatasi dalam jangka masa singkat dan tentunya dikusutkan lagi dengan godaan Singapura itu.

Sebenarnya masa sudah tiba bagi kerajaan bertindak menyekat penghijrahan doktor kita itu lebih-lebih lagi yang baru lulus pengajian. Harapnya tindakan boleh dilakukan membenam sikap tidak kisah kepada jiran oleh sebuah negara yang tidak langsung menghormati kita. Graduan terbabit pula sedikit pun tidak mempunyai sikap patriotik terhadap negara sendiri yang memberi peluang kepada mereka menjadi doktor.

Kita tahu bahawa sememangnya ramai daripada lulusan sekolah kita mahu mengikuti pengajian perubatan untuk menjadi doktor hingga ramai yang mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh A bagi semua mata pelajaran yang mereka ambil pun tidak mendapat tempat.

Sememangnya tempat belajar untuk menjadi seorang doktor amat terhad di semua IPTA yang menyediakan pengajian jurusan ini dan persaingan mendapat tempat sungguh sengit sekali. Tetapi kiranya ramai pula daripada lulusan ini seolah-olah tidak boleh tunggu tarikh kelulusan sudah pun tergamak berhijrah ke sebuah negara lain tentunya negara berhak memberikan pertimbangan sewajar untuk mengelak perlakuan begini dari berulang.

Mereka ini jelas tidak langsung bersyukur dengan apa yang mereka nikmati. Benarlah mereka peroleh tempat belajar menjadi doktor adalah atas kelulusan peribadi. Tetapi apabila mereka ini tidak mahu akui peluang yang mereka peroleh juga menidakkan orang lain yang mungkin lebih patriotik mendapat tempat belajar sebagai doktor, masanya sudah tiba bagi kita tidak lagi menerima pelajar demikian menyertai jurusan kedoktoran.

Jadi masanya sudah tiba bagi kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi menimbang semula cara pemilihan calon memasuki bidang kedoktoran di semua IPTA yang menyediakannya.

Lulusan cemerlang dalam peperiksaan sekolah saja tidak memadai lagi. Mereka ini harus juga dipilih berdasarkan sikap patriotisme dan kesanggupan berkhidmat dengan negara sendiri hatta di tempat terpencil. Mungkin hal ini sukar untuk diukur, tetapi kita juga tahu siapa yang boleh diharapkan bersikap demikian.

Hendaknya tidak berlaku lagi sesetengah akhbar biasanya akhbar berbahasa Inggeris tertentu melaungkan kenapa lulusan yang cemerlang tidak dapat tempat belajar bidang perubatan di IPTA. Luahan demikian hendaknya jangan dilayan lagi.

Selain itu, mereka yang dipilih juga harus dikenakan bon yang mereka atau pun majikan mereka mesti lunaskan (dalam kes ini penguasa hospital Singapura) untuk membayar balik keseluruhan kos ditanggung kerajaan selama enam tahun tempoh pengajian mereka itu. Bagi graduan yang mendapat biasiswa kos yang perlu dibayar balik ialah keseluruhan kos menyediakan tempat ditambah kos biasiswa.

Mungkin syarat ketat seperti itu saja boleh menyekat mereka yang tidak patriotik ini sekurang-kurangnya terpaksa memberikan khidmat mereka kepada rakyat negara ini, walaupun sesingkat tiga tahun.

Oleh Rejal Arbee


Penulis ialah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...