terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 30, 2010

Duit KWSP yang anda keluarkan..Anda bayar tak zakat dia????


MEMBAYAR zakat adalah satu kewajipan. Bagaimana pula dengan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Apakah pencarum wajib membayar zakat wang mereka yang disimpan dalam KWSP itu? Jika ya, berapakah pecahannya? Ali H
Melaka

ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Taubah ayat 103 yang bermaksud: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk). Begitu juga dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat olehmu semua dan berikanlah zakat.

Imam Ibnu Kathir ketika mentafsirkan surah al-Baqarah ayat 110 yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat dan tunaikan zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapatkan pahalanya di sisi Allah SWT,” menyebut Allah SWT memerintahkan mereka untuk melakukan hal yang bermanfaat bagi mereka yang pahalanya untuk mereka sendiri pada hari kiamat kelak seperti mendirikan solat dan menunaikan zakat, sehingga Allah SWT memberikan kemenangan kepada mereka dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya kalangan saksi (hari akhirat). Zakat dari segi bahasa bererti bersih dan suci, manakala dari segi syarak pula bermaksud mengeluarkan sebahagian harta atau hak milik kepada mereka yang layak menerimanya dengan kadar tertentu selepas mencukupi nisab dan sampai masa satu tahun atau selepas sempurna menuai (bagi tanam-tanaman). Zakat terbahagi kepada zakat fitrah dan zakat harta. Zakat harta termasuk zakat emas dan perak, zakat wang dan perniagaan, zakat saham, zakat binatang ternakan dan zakat KWSP. Saidina Ali sudah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan sudah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya lima dirham dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu mata wang zaman dulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan sudah cukup haulnya, diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.” (Riwayat Abu Daud). Dalam buku Indahnya Hidup Bersyariat, menyebut KWSP dikenakan zakat kerana konsepnya sama seperti simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan secara mudah seperti akaun simpanan biasa. Tidak ada dalil yang mengecualikan zakat KWSP sekalipun ia untuk simpanan hari tua. Caruman wang pekerja dan majikan ke dalam KWSP dikenakan zakat apabila cukup nisab dan haul. Oleh itu dalil wajib zakat KWSP adalah dalil wajib simpanan secara amnya. Zakatnya 2.5 peratus sekiranya mencukupi nisab semasa pada setiap kali ia dikeluarkan. Contohnya, sekiranya saudara mengeluarkan RM15,000, zakatnya adalah 2.5 peratus iaitu RM375. Wang caruman KWSP yang masih disimpan tidak wajib dizakat kerana ia belum sempurna milik dan si pencarum tidak dapat menggunakan wang itu. Saya menyarankan agar saudara mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengiraan dan sebagainya di pusat zakat negeri. Sebenarnya banyak hikmah diwajibkan zakat. Ini termasuk pertama, zakat adalah satu cara pengabdian diri terhadap Allah SWT dengan cara mengeluarkan sebahagian harta untuk diberikan kepada orang lain yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin agar turut sama mengecapi nikmat Allah SWT. Kedua, kesanggupan mengeluarkan sebahagian kecil daripada harta yang disayangi dianggap sebagai satu amalan jihad (pengorbanan) melalui harta benda demi menegakkan salah satu rukun Islam yang lima. Ketiga, membersihkan perasaan dendam dan hasad dengki orang fakir miskin terhadap golongan berada. Seterusnya untuk membersihkan segolongan ahli masyarakat umum daripada kekecewaan, yang merasakan diri mereka tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Keempat, melenyapkan sikap cintakan harta, bakhil dan kedekut dan kelima, mensyukuri nikmat pemberian Allah SWT dengan menyumbangkan sebahagiannya demi agama Allah. Wallahualam.

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

1 comment:

  1. wajibkah saya membayar zakat pengeluaran pendidikan? any idea to share?

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...