terima kasih buat kalian semua..

Thursday, May 27, 2010

Giler!!! Penduduk Malaysia makan 1.2 bilion paket mi segera setahun


SETIAP kali perkataan mi segera disebut, mungkin ramai di antara kita terbayangkan pelbagai slogan iklan produk makanan itu yang sering dipaparkan di kaca televisyen. Ramai berpendapat walaupun wujud banyak hidangan enak pelbagai bangsa, mi segera tetap menjadi pilihan ramai walaupun dimakan hanya sekali dalam sebulan.

Apakah sebenarnya rahsia perencah makanan berasal dari negara matahari terbit ini sehingga menyebabkan rakyat di negara ini terus menyukai makanan ringkas ini?
Menurut Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan Makanan Nestle Products Sdn Bhd, Izham Mohamed, pada tahun lalu saja sebanyak 1.2 bilion paket hidangan mi segera dinikmati rakyat Malaysia.

Puratanya 38 paket seorang bagi penduduk di Semenanjung dan 44 paket seorang bagi penduduk di Sabah dan Sarawak.

Untuk mengekalkan prestasi mi segera sebagai antara makanan paling digemari bukanlah satu perkara mudah memandangkan mi segera mempunyai banyak saingan.

Izham berkata, satu daripada perkara yang perlu dititikberatkan dalam memastikan keunggulan mi segera sebagai hidangan kegemaran ramai ialah daya usaha pengeluar mi segera dalam inovasi produk mereka.

“Pengubahsuaian dan inovasi ialah amat penting untuk mengekalkan pertumbuhan industri mi segera pada jangka masa panjang. Sebagai pembuat mi segera, kita perlu sentiasa inovatif. Contohnya, mencipta perisa baru, meningkatkan khasiat mi segera atau memberikan produk berkualiti tinggi kepada pengguna,” katanya pada Persidangan Persatuan Mi Segera Dunia (WINA) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kecekapan pengusaha amat penting dalam memastikan peningkatan kos tambahan tidak ditanggung oleh pengguna yang sekali gus boleh menaikkan harga mi segera.

“Kerana faktor harga murah menjadi tarikan utama menjadikan mi segera mampu dinikmati segenap lapisan masyarakat,” kata Izham.

Izham berkata, mi segera kini semakin digemari di seluruh dunia dan menuju ke arah di mana WINA mahu menjadikan mi segera sebagai makanan global seperti nasi dan roti pada masa akan datang. Ini disokong oleh Pengerusi WINA, Koki Ando, yang menyatakan industri mi segera dunia kini dianggarkan bernilai AS$25 bilion.

“Penggunaan mi segera dunia juga dijangka meningkat kepada 100 bilion sajian dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi berbanding 92 bilion sajian tahun lalu,” katanya pada persidangan yang sama.

Menurut Ando, mi segera kini boleh dikategorikan sebagai makanan dunia disebabkan ia selamat dari segi tempoh lupusnya yang panjang dan boleh dibawa ke mana saja dengan mudah.

Ando adalah Ketua Pegawai Eksekutif Nissin Foods Holdings Co Ltd dari Jepun dan anak kepada pencipta mi segera, Momofuku Ando.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif WINA, Norio Sakurai menjelaskan dengan hidangan 93.6 bilion seluruh dunia pada 2008 saja, WINA merasakan wujudnya asas kukuh mi segera boleh menjadi makanan ruji global.

“Penggunaan mi segera dijangka mencecah 100 bilion hidangan dalam tempoh dua hingga tiga tahun, ditambah pula dengan kemunculan pasaran baru seperti Ukraine, Nigeria dan Russia,” katanya.

Walaupun dilihat industri mempunyai masa depan cerah, industri mi segera juga tidak terlepas daripada cabaran yang perlu dihadapi pengusaha. Antara cabaran itu ialah penggunaan bahan perisa seperti sodium (garam) yang sering menjadi punca terhadap pelbagai dakwaan yang mengatakan mi segera tidak mempunyai zat secukupnya untuk menjadi makanan berkhasiat.

“Pengurangan sodium di dalam mi segera adalah cabaran terbaru industri ini... kita tidak boleh mengurangkannya secara drastik, tetapi boleh melakukannya secara berperingkat,” kata Ando.

Bagi pengusaha mi segera utama di Malaysia pula iaitu Nestle, Izham berkata, pihaknya sendiri berusaha mengurangkan penggunaan sodium sebanyak 15 peratus dalam kandungan perisa mi segeranya sejak lima tahun lalu.

Namun katanya, selepas menerima maklum balas pengguna yang merungut akibat rasa mi segera yang kurang sedap menyebabkan Nestle mengurangkan kandungan sodium sebanyak lima peratus saja dalam perisa mi setiap tahun.

Dalam pada itu WINA yang diadakan julung-julung kali di Kuala Lumpur pada 21-22 April lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menghimpunkan lebih 120 delegasi. Pada persidangan dua hari itu, pakar-pakar ini membincangkan semua aspek ekonomi, diet, persekitaran, teknikal dan impak sosial mi segera.

Antara negara yang turut serta ialah Russia, Brazil, Vietnam, Filipina, Indonesia, Jepun, Korea, Thailand, Taiwan, China, India dan tuan rumah Malaysia.

Ando dalam membicarakan mengenai impak sosial mi segera berkata, sejak 2004, Tabung Bencana WINA mengagihkan sebanyak 1.8 juta sajian mi segera kepada mangsa bencana alam. – Bernama

2 comments:

  1. laa, apa masalahnya? banyak sangat makan mee segera? mudah tu, naikkan rega macam gula dan minyak, musti rakyat 1malaysia kurang makan nanti. tak percaya? tanya idris jala

    ReplyDelete
  2. kalau BN terus memerintah tambah lagi 5 billion rakyat makan megi...

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...