terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, May 12, 2010

Kesan Pinjam Sama Along: Hentikan dana kepada bank kerajaan


Konsortium Usahawan Makanan Dan Industri Asas Tani (Komita) bersetuju dengan rencana Bisik-Bisik Mingguan - Awang Selamat - "Bank dan putaran ganas'' yang diterbitkan pada Ahad, 9 Mei 2010 terutama kemudahan mendapat pinjaman oleh usahawan kecil dan sederhana di bank- bank milik kerajaan seperti Bank Pembangunan, SME Bank, Exim Bank dan Agro Bank.

Komita menerima banyak rungutan daripada ahli-ahli kami yang memaklumkan permasalahan pinjaman dengan SME Bank yang kelihatan mudah dan senang tetapi apabila permohonan dibuat berbagai-bagai syarat dikenakan yang membebankan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya bumiputera.

Ada di antara permohonan yang dibuat oleh usahawan PKS mengambil masa lebih daripada 12 bulan dan pihak bank tidak meluluskan pinjaman sebagaimana yang dipohon sedangkan kertas cadangan keperluan PKS telah pun dinyatakan semasa permohonan dibuat.

Kita sedia maklum, SME Bank diterajui oleh kakitangan yang asalnya daripada Bank Pembangunan yang matlamatnya tidak sama dengan objektif penubuhan SME Bank yang digariskan oleh kerajaan.

Komita menggesa kerajaan supaya melakukan transformasi bagi meningkatkan keupayaan dan kecekapan SME Bank dan Agro Bank serta Exim Bank bagi membolehkan usahawan PKS mendapat pinjaman yang diperlukan bukan sahaja untuk modal pusingan di dalam negara tetapi juga untuk memenuhi permintaan pasaran di luar negara.

Komita menyokong penuh resolusi Simposium Usahawan PKS Dalam 1Malaysia yang telah diadakan pada 22 April 2010 di Kelantan yang menggesa kerajaan menubuhkan kementerian baru yang diberi nama Kementerian Perusahaan Kecil Dan Sederhana dengan menggabungkan agensi-agensi seperti SME Bank, SME Corp, Tekun, Insken dan Mara di bawah satu kementerian bagi memastikan usahawan PKS mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Kami juga menggesa kerajaan menghentikan penyaluran dana kerajaan kepada SME Bank, Agro Bank dan Exim Bank kerana didapati dana-dana ini tidak dapat memberi manfaat terus kepada rakyat kerana ketiga-tiga bank itu sering kali memaklumkan bahawa mereka tidak dapat melonggarkan syarat-syarat pinjaman kerana terikat dengan BAFIA (Bank Negara) yang telah menetapkan kadar NPL tidak melebihi 3 peratus. Sedangkan kadar NPL telah disamaratakan antara bank komersial dan bank yang diberi tanggungjawab membangunkan usahawan.

Kami berpendapat sudah tiba masanya dana kerajaan diuruskan oleh kakitangan kerajaan yang pada hari ini telah dapat meningkatkan kecekapan serta keupayaan mereka dalam melaksanakan hasrat Kerajaan '1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Pengalaman Komita berurusan dengan SME Corp, Mara dan FAMA membuktikan bahawa ketiga-tiga agensi ini adalah cekap dalam pengurusan kewangan dan pembangunan usahawan PKS.

Sejak pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), rata-rata usahawan PKS bumiputera telah kehilangan arah dan banyak di antara usahawan PKS telah gulung tikar kerana tidak mendapat bantuan dan pembiayaan yang sepatutnya bagi membolehkan mereka maju dan berjaya.

Oleh SHEIKH AHMAD DUSUKI SHEIKH MOHAMAD

Penulis ialah Pengerusi Konsortium Usahawan Makanan Dan Industri Asas Tani (Komita).

gambar: kesan pinjam sama along..

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...