terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, May 11, 2010

Judi tetap haram walaupun berlesen


Cadangan Timbalan Menteri benar pertaruhan Piala Dunia cemari imej negara Islam

JIKA minggu lalu saya mengupas cadangan Senator Ahmad Hussin di Dewan Negara supaya bapa kepada bayi yang dibuang dikenakan hukuman 'kasi' bagi mengajar lelaki terbabit supaya bertanggungjawab, minggu ini saya mengupas mengenai pertaruhan haram.

Dilaporkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen bagi pertaruhan sukan terutama kejohanan bola sepak Piala Dunia, awal Jun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata keputusan mengenainya akan diumumkan sebelum kejohanan Piala Dunia bermula. Beliau mengakui sudah ada pihak mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen pertaruhan.
Katanya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen, pertaruhan haram tetap dijalankan tanpa pemantauan pihak berkuasa. Awang Adek juga dilaporkan berkata, dengan pengawalan kerajaan aktiviti pertaruhan dapat dilakukan lebih teratur dan pada masa sama kerajaan akan mendapat hasil yang boleh digunakan termasuk untuk pembangunan pelbagai sukan di negara ini.

Saya bimbang dengan cadangan sebegini apatah lagi ia datang daripada seorang Timbalan Menteri beragama Islam. Jelaslah cadangan ini langsung tidak mengambil kira kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan malah meminggirkan jati diri kebangsaan bagi rakyat Malaysia yang berteraskan kepada Agama Persekutuan itu.

Rasional pertimbangan kerajaan dalam meluluskan lesen pertaruhan sebegini amat dibimbangi dan tidak bersandarkan kepada kehendak masyarakat Islam arus perdana. Akan muncul suatu ketika nanti sebahagian masyarakat ketagih berjudi sehingga sanggup melakukan apa saja bagi memenuhi tabiat buruk mereka itu. Tidak kurang juga nanti sesetengah golongan menjadi muflis kerana kalah judi.
Menghalalkan perkara yang jelas haram termasuk dalam kategori mengubah hukum Allah walaupun dengan pengeluaran lesen. Walaupun ada kemungkinan lesen yang akan dikeluarkan itu dikenakan syarat bahawa orang Islam tidak dibenarkan berjudi tetapi dasar negara hendaklah digarap dengan mengambil kira kedudukan agama Islam dan sumpah Yang Di-Pertuan Agong mempertahankan Islam pada setiap masa.

Cukuplah dengan pusat perjudian yang wujud di negara ini dan dua pusat perjudian di negara jiran yang baru dibuka. Jangan ditambah lagi dengan lesen perjudian lain. Sedangkan perjudian yang dilesenkan sekarang pun tidak dapat dipastikan sama ada berjaya dijauhi umat Islam, apatah lagi pertaruhan yang berselindung di bawah nama sukan seperti kejohanan bola sepak Piala Dunia ini.

Seharusnya, jika Timbalan Menteri itu sudah mengakui kegagalan kementerian membanteras perjudian haram, segala usaha patut ditumpukan ke arah melipatgandakan program membanteras pertaruhan dan perjudian haram.

Bukan dengan memberi lebih banyak lesen perjudian yang akhirnya akan menambahkan lagi implikasi negatif kepada negara. Saya merasa pelik dengan pendekatan diambil Timbalan Menteri itu berkaitan isu ini. Apakah semata-mata ingin mengaut cukai dan pendapatan yang lebih, pihak kerajaan rela wang haram digunakan bagi pembangunan masyarakat dan negara?

Berjudi bukan amalan yang sihat. Ia menjadikan seseorang ketagih judi, membuang masa, mengabaikan keluarga serta punca kepada gejala sosial dan jenayah setempat. Masyarakat akan menjadi terumbang-ambing jika lesen perjudian diberikan secara berleluasa.

Oleh itu, cadangan sebegini sudah tentunya tidak dialu-alukan masyarakat Islam. Bukan itu saja, ia pasti mencemarkan imej negara yang terkenal sebagai model Negara Islam kepada dunia.

Perjudian yang diberi lesen dan perjudian tidak mendapat lesen - kedua-duanya haram di sisi Islam. Umat Islam tidak harus terpedaya dengan pengeluaran lesen ini. Jika dikatakan lesen diberikan kepada orang bukan Islam saja, namun kesannya tetap akan dirasai oleh orang Islam.

Apabila ia menjadi budaya, orang ramai akan gagal melihat betapa hina dan jelek perjudian itu. Mungkin sesetengah pihak akan melihat perjudian sebagai norma masyarakat. Apabila perkara sedemikian berlaku, maka orang ramai tidak lagi berasa segan silu untuk berjudi atau bertaruh.

Cukuplah dengan ketidakseimbangan sosiobudaya dan masyarakat sekarang. Ia akan menjadi lebih punah jika institusi keluarga dan masyarakat pula dirobek dengan kesan perjudian. Saya menyarankan kerajaan mengkaji semula pertimbangan mengeluarkan lesen pertaruhan baru ini. Walaupun mungkin kerajaan memperoleh pendapatan yang lebih, ia hanya akan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Bagi saya, perjudian harus dibanteras hingga ke akar umbi bukan diberikan lesen bagi menghalalkan operasinya. Sekali lagi saya merayu kerajaan mengkaji semula pertimbangan memberikan lesen bagi pertaruhan atau perjudian ini. Tidak ada faedah seseorang itu berjudi. Adalah lebih baik baginya membuat kerja halal dan mendapat manfaat daripada usaha dan titik peluh sendiri. Tiada jalan pintas untuk kaya.

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...