terima kasih buat kalian semua..

Thursday, May 20, 2010

Kepadatan pelajar dalam kelas perlu ditangani dengan bijak


KEPADATAN pelajar dalam sesebuah kelas dikenal pasti menyumbang beberapa perkara negatif kepada guru dan mutu pelajar. Rata-rata guru mengaitkan beban kerja mereka dengan masalah berdepan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelas yang sesetengah mencecah 45 hingga 50 orang. Akibatnya, guru hilang fokus mengajar. Mereka turut mengalami tekanan emosi dengan telatah dan kerenah pelajar dalam suasana kelas yang ‘tidak terkawal’. Isu itu juga memberi kesan negatif kepada pelajar kerana belajar dalam suasana tidak tenteram. Ini menjejaskan pencapaian dalam pelajaran dan peperiksaan mereka. Gangguan rakan yang nakal boleh menjejaskan minat untuk tekun menuntut ilmu. Lantas, cadangan mengehadkan hanya 25 pelajar dalam setiap kelas dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran sebagai antara 40 cadangan mengurangkan beban tugas guru, sewajarnya diperhalusi. Cadangan ini menarik kerana mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif untuk murid mahupun guru. Bagaimanapun pelaksanaan cadangan ini membabitkan kos sangat tinggi. Jumlah guru perlu ditambah secara drastik daripada 360,000 orang yang sedia ada. Kelas, makmal dan kemudahan pembelajaran tambahan lain perlu disediakan. Sesi persekolahan terpaksa diadakan pagi dan petang. Pembinaan kelas dan makmal juga membabitkan ruang tanah baru atau mengambil kawasan sekolah sedia. Di sini, mungkin ruang padang terpaksa dikorbankan sedangkan kementerian mahu membangunkan sukan di sekolah. Ini pasti menjejaskan pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan, yang dijangka mulai tahun depan. Jika padang sekolah tidak dikorbankan, kerajaan perlu membeli tanah untuk menampung projek kelas dan makmal tambahan. Ringkasnya, untuk mewujudkan kelas dengan 25 pelajar, memerlukan satu perancangan bersepadu dan menagih sejumlah peruntukan besar. Ia bukan setakat sekali untuk menyediakan infrastruktur, tetapi gaji guru baru serta kos penyelenggaraan dan pembelian peralatan kemudahan pembelajaran setiap bulan.

Apapun, perancangan mengurangkan kepadatan pelajar dalam kebanyakan kelas sekolah di bandar mesti ditangani mulai sekarang. Jika masalah ini berterusan, ia bukan saja menjejaskan mutu pelajar, malah tenaga guru yang mendukung tanggungjawab mendidik anak bangsa itu juga semakin tidak bermaya. Tidak mustahil kerajaan melaksanakan kaedah menyuraikan kepadatan itu dengan membina lebih banyak asrama desa untuk membawa masuk pelajar dari bandar. Menghantar lebih ramai pelajar ke luar bandar mampu memberi kesan sosioekonomi. Mungkin ada ibu bapa enggan menghantar anak ke sekolah desa. Tetapi jika sekolah itu menyediakan infrastruktur dan guru berkemampuan tinggi, maka lebihan puluhan ribu pelajar pandai dari bandar boleh ‘dieksport’ ke sekolah pintar di desa. Lagipun, kawasan yang boleh dibangunkan dengan infrastruktur tambahan secara drastik bagi merealisasikan 25 pelajar satu kelas ialah luar bandar. Kawasan bandar yang sesak pasti tidak mengizinkan bangunan baru dibina begitu mudah dalam masa singkat. Kecuali kerajaan membina kompleks sekolah pangsa yang turut ada padang, gimnasium, makmal dan kantin, maka kaedah itu juga mungkin perlu difikirkan rasionalnya dalam membantu penjimatan ruang dan wang bagi projek baru di bandar.
sumber: bharian

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...