terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 9, 2010

Ketahui risiko selam snorkel


MENYAKSIKAN keindahan hidupan laut dengan melakukan selaman snorkel sememangnya pengalaman yang mengasyikkan. Bahkan percutian di pulau boleh dikatakan tidak lengkap tanpa melakukan aktiviti itu.

Namun ramai yang tidak menyedari risiko dan bahaya yang dihadapi ketika bersnorkeling walaupun kita sering didedahkan dengan kecelakaan di laut.

Sebagai jaminan penerokaan di bawah permukaan air yang lebih selamat, beberapa persediaan dan potensi bahaya perlu diketahui untuk mengelak kemalangan berulang.

Tiub snorkel

Pastikan anda memeriksa setiap peralatan yang disediakan oleh pihak resort kerana penggunaan peralatan sewa secara berulang-kali dalam tempoh yang lama mungkin menyebabkan kerosakan dan kegagalan fungsi.

Antara masalah yang sering berlaku adalah kebocoran pada alat bernafas iaitu tiub snorkel dan tali jaket keselamatan yang sudah reput atau lebih teruk lagi jika ia langsung tidak bertali. Bernafas menggunakan tiub snorkel yang dimasuki air boleh menyebabkan masalah tersedak dan tertelan air yang akhirnya membawa kepada panik dan lemas.

Untuk lebih keselesaan dapatkan tiub snorkel dan topeng selam yang dijual pada harga bawah RM100 di kedai-kedai peralatan sukan.

Pemilihan topeng muka dengan saiz yang tepat juga dapat membantu mengelakkan kebocoran lagipun anda mungkin tidak suka menggunakan peralatan yang sudah dikongsi oleh beratus-ratus orang.

Bagi yang tidak memiliki keyakinan ketika di dalam air, persediaan awal seperti mengikuti kursus snorkeling di kolam renang sebelum turun ke laut adalah yang sebaik-baiknya.

Membiasakan diri dengan peralatan snorkeling sekurang-kurang dapat mengurangkan panik.

Selain itu, ada juga beberapa perkara penting yang boleh dipelajari misalnya teknik untuk membuang air yang bertakung di dalam injap tiub snorkel. Teknik blow out yang sangat berguna itu bagaimanapun sangat jarang diketahui oleh penyelam snorkel.

Jaket keselamatan

Alasan yang paling kerap mengundang padah di kalangan penyelam snorkel adalah keengganan memakai jaket keselamatan. Walaupun sehebat mana anda mampu berenang, jangan sesekali memperkecil kuasa ombak.

Malah di dalam kebanyakan kes lemas, mangsa adalah penyelam snorkel yang tahu berenang.

Hakikatnya, pemakaian jaket keselamatan diwajibkan bukan hanya kepada mereka yang tidak tahu berenang tetapi kepada semua kerana keupayaan fungsinya menyelamatkan pemakai dalam pelbagai situasi kritikal, terutama di laut.

Berbeza dengan kolam renang, bahaya laut yang tidak dapat diperkecilkan adalah arus dan ombak. Walaupun di kawasan yang nampak tenang, arus bawah laut adalah perkara yang tidak selamat untuk diduga.

Oleh itu, jaket keselamatan adalah penyelamat pertama dan terakhir yang ada di badan penyelam.

Bukan sahaja dipakai, jaket keselamatan juga wajib dipakai dengan cara yang betul. Langkah terbaik adalah dengan mendengar arahan dan taklimat yang disampaikan oleh juru pandu snorkel sebelum turun ke laut.

Pastikan semua ikatan diikat dan lebihan tali diperkemaskan. Jaket keselamatan yang dipakai dengan betul membolehkan pemakai timbul di permukaan air pada paras bahu. Jaket yang tidak dipakai dengan betul boleh menyebabkan pelampung melonjak tinggi menenggelamkan kepala di dalam air.

Ketahui had kawasan

Selepas menguji dan memastikan fungsi peralatan sila berikan perhatian kepada setiap arahan dan taklimat yang disampaikan

Ketahui keluasan kawasan yang dibenarkan untuk aktiviti snorkeling dan perhatikan garis sempadan antara kawasan snorkeling Taman Laut dengan perairan terbuka.

Jangan sesekali melepasi sempadan kawasan yang ditanda dengan pelampung untuk mengelak bahaya dirempuh bot.

Jika kawasan snorkeling terlalu besar dan di laut terbuka, pastikan anda mempunyai titik orientasi sebagai panduan, misalnya ketulan batu atau pulau.

Spesies berbahaya

Keindahan terumbu karang sememangnya seronok untuk didekati, lebih cantik jika dipenuhi pelbagai spesies ikan tetapi harus diingat bahawa ancaman berada di sekeliling anda ketika di laut.

Justeru, adalah lebih baik untuk mengenali sebahagian daripada hidupannya untuk mengelak ancaman yang memudaratkan. Jika duri-duri yang terpacak pada badan landak laut begitu nyata untuk dijauhi bagaimana pula dengan Titan Triggerfish?

Bagi yang tidak mengetahui potensi bahaya yang dimiliki oleh ikan yang meriah dengan warna itu sila perhatikan gambar di muka surat ini dan mula mengecam.

Berlindung di sebalik perwatakan jinak, patukan gigi ikan ini mampu memecahkan cermin topeng muka dan merobek isi-isi pada badan anda. Ia juga antara spesies yang dijauhi penyelam-penyelam skuba.

Pengalaman melihat seorang penyelam snorkel mendekati Titan Triggerfish di Taman Laut Pulau Redang baru-baru ini menyedarkan penulis bahawa masih ramai yang tidak menyedari bahaya-bahaya di sekeliling.

Begitu juga dengan terumbu karang. Selepas penguatkuasaan larangan memakai sirip kaki (untuk melindungi terumbu karang), penyelam snorkel kini lebih terdedah kepada luka akibat terkena batu karang. Sebaik-baiknya jauhi terumbu karang di kawasan berair cetek.

Oleh ABD. HALIM HADI

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...