terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 9, 2010

Kisah bahasa Melayu di Jepun


SEBILANGAN orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu, demikian menurut Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih dari 200 buah.

Beliau mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang Pasifik.

Essei tersebut terbit dalam buku berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore 2009). Lalu disiarkan gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.

Moriyama mulanya bercerita mengenai sebilangan kecil warga Jepun merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun. Antara mereka ialah peniaga-peniaga kecil dan juga pelacur.

Sebilangan dari mereka berjaya memiliki ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah. Kerana itu pengetahuan bahasa Melayu digalakkan.

Seperti dicatat oleh Moriyama: "Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda."

Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajar bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.

Moriyama menambah: "Oleh kerana tiada guru Jepun boleh mengajar bahasa Melayu di sekolah maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo."

Lantas disebut nama salah seorang dari mereka. Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik) yang kemudian menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurnia bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.

Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris ialah Marai-go yon shu-kan (bahasa Melayu dalam Ampat Minggu) yang terbit pada tahun 1937. Ia kemudian diulang cetak hingga 30 kali.

Turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo.

Pelajaran bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan perbezaan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda.

Diperturunkan

Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula.

Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28 mengandungi cerita-cerita dari Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.

Pada satu peringkat lain diperturunkan kata-kata mengenai harimau: "Untung sekali sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia."

Kata-kata tersebut ialah dari Marquis Tokugawa yang gemar memburu beruang dan harimau. Menurut yang empunya cerita beliau akhirnya memilih Tanah Melayu dan Pulau Jawa kerana kegemarannya itu.

Juga diceritakan betapa beliau menjalin hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim Negeri Johor setelah bersama-sama memburu. Dalam surat menyurat kedua menggunakan tulisan Jawi.

Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru. Baginda menulis: "Sahabat saya Marquis Tokugawa." Selanjutnya pujian dari Baginda pada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis rumi.

Seperti diketahui semasa pemerintahan tentera Jepun di Malaysia setelah tewas tentera Inggeris dan Belanda, bahasa Jepun (Nippon-go) diajar di sekolah-sekolah yang dulu mengajar bahasa Inggeris.

Mazlan Nordin

1 comment:

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...