terima kasih buat kalian semua..

Thursday, May 20, 2010

Majikan tetap risau amah simpan pasport

LANGKAH membenarkan pembantu rumah memegang pasport sendiri dan diberi cuti sehari seminggu mendapat reaksi berbeza di kalangan majikan. Ada yang setuju ada sebaliknya.

Sebaiknya, kita perlu menerima keputusan dipersetujui antara kedua-dua ketua negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dengan positif.
Kita perlu ingat kes pembantu rumah didera hingga parah dan membawa kematian masih panas dibicarakan. Nama seperti Nirmala Bonat dan Siti Hajar hanya dua kes yang menunjukkan pembantu rumah perlu dilayan sebagai manusia biasa yang mempunyai hak.
Apa hak kita memegang pasport pembantu rumah semata-mata takut pelaburan mendapatkan orang gaji daripada agensi RM5,000 hingga RM8,000 lebur di tengah jalan jika pembantu rumah lari siang atau malam.

Masalah pasport digabungkan pula dengan cuti sehari bagi pembantu rumah berehat dan beriadah bersama komuniti mereka. Kalau sudah bercuti di luar, langkah panjang memerlukan pasport untuk pengenalan diri jika tidak dianggap sebagai pendatang tanpa izin pula.

Jika diberi pasport takut pembantu rumah terus tidak pulang. Itu dilema sebenar bukan tidak menghormati ketetapan kedua-dua pimpinan negara.

Oleh itu, suatu mekanisme perlu diwujudkan untuk situasi menang-menang antara majikan dan pembantu rumah dicapai.
Ketika bekerja biar pasport dipegang majikan dan apabila keluar ke bandar pasport diberikan kepada mereka dengan syarat ketat oleh majikan.
Ejen patut menjadi penjamin jika pembantu rumah yang dibekalkan lari dan tidak menyalahkan majikan.

Bukan semua pembantu rumah lari kerana didera, banyak faktor boleh digariskan antaranya mengikut teman lelaki, bekerja di negeri lain dan balik kampung selepas mendapat wang.

Cuti sehari yang diberikan bermakna dalam sebulan mereka mendapat empat hari. Peluang bersosial kelak menjadi punca mereka mengabaikan tugas hakiki di rumah majikan. Apabila bercinta mula sibuk SMS dan tugas diamanahkan dibuat sambil lewa.

Pembantu rumah sebenarnya bukan 24 jam bekerja kecuali mendapat majikan spesies pemalas dan kaki perah keringat kerana mereka memikul tugas sebagai suri rumah ada masa rehat dan masa menonton sinetron, jika tidak masakan televisyen kita suatu ketika asyik menayangkan kisah dari seberang.

Majikan di negara ini bukan kejam cuma mereka takut wang yang dilabur menjadi lebur kerana pembantu rumah leka berlibur lalu akhirnya ‘kabur’ (lari). Situasi menang-menang perlu wujud antara majikan, ejen dan pembantu rumah.
Mungkin insurans pembantu rumah melarikan diri dari majikan diwujudkan oleh kerajaan kedua negara.

Paling afdal insurans ini dibayar sendiri oleh pembantu rumah.
Jika lari daripada majikan dengan membawa pasport ganti rugi dapat dibayar syarikat insurans dengan syarat yang khusus. Malaysia Boleh! dan Indonesia Bisa!

ABDUL RAZAK IDRIS,
Banting, Selango

1 comment:

  1. spot on.. memang patut majikan takut dengan isu ini. tetapi ianya telah menjadi peraturan. sepatutnya kerajaan dan PM mendapat pandangan dari majikan terlebih dahulu sebelum membuat apa apa keputuasan..

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...