terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, May 5, 2010

Makan gaji dan berniaga..yg mana lebih berkat?

ISLAM menggalakkan umatnya makan gaji atau membayar gaji (usahawan). Tetapi yang mana satukah lebih mulia di sisi Allah SWT. Apakah pandangan Rasulullah SAW mengenai perniagaan?
AMIR,
Borneo.

Jawapan:

Dalam hadis diriwayatkan Al-Bukhari daripada Miqdam ra, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada makanan yang dimakan seseorang sama sekali tidak yang lebih baik daripada memakan makanan hasil usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah Daud memakan hasil usaha tangannya sendiri.”

Begitulah pujian dan keutamaan bagi yang bekerja sendiri sama ada berniaga atau bercucuk tanam dan seumpamanya. Pekerjaan yang dibuat itu mesti halal dan tidak melanggar hukum syarak.

Hadis daripada Aisyah, kata beliau yang bermaksud: “Ketika akhir surah al-Baqarah diturunkan, Nabi SAW membacakannya kepada orang ramai di dalam masjid. Kemudian Baginda mengharamkan arak (minuman keras atau memabukkan). Pekerjaan usaha tangannya yang halal itu membawa kepada hasil yang berkat.”

Sebuah hadis daripada Hakim Hizam, katanya: “Aku meminta (sedekah) kepada Nabi SAW, lalu Baginda memberi kepadaku. Kemudian, aku meminta lagi kepada Baginda, lalu diberinya lagi. Kemudian Baginda SAW bersabda bermaksud: “Harta itu lazat dan manis. Maka siapa yang menerimanya dengan hati yang bersih (tidak rakus), dia akan mendapat berkat dengan harta berkenaan.

“Tetapi siapa menerimanya dengan harta yang nafsu serakah, dia tidak mendapat berkat dengan harta itu dan seperti orang yang makan dan tidak pernah kenyang” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Begitu juga hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri yang katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: “Siapa yang beroleh harta dengan jalan halal, dia akan mendapat berkat. Siapa yang memperoleh dengan jalan tidak halal, maka contohnya seperti orang makan yang tidak pernah kenyang.”

Untuk memperoleh keberkatan harta kita perlu memperbanyakkan bersedekah seperti hadis daripada Abu Hurairah: “Seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW, lalu bertanya: “Ya Rasulullah! Sedekah bagaimanakah yang besar pahalanya?” Rasulullah SAW menjawab: Sedekah ketika anda sedang sihat, ketika anda kikir, takut miskin, ketika anda mengharapkan akan menjadi hartawan yang kaya-raya. Maka pada ketika itu janganlah lalai, bersedekahlah.
“Jangan ditangguh sehingga nyawa sampai di halkum, baru membahagikan sedekah. Ingatlah, sesungguhnya harta itu memang untuk mereka.”

Untuk dimudahkan rezeki, hendaklah menjalinkan hubungan silaturahim seperti dinyatakan hadis daripada Anas Mal: “Dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, siapa ingin dimudahkan (Allah SWT) akan rezekinya atau dipanjangkan (Allah SWT) umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim (hubungan kasih sayang)”. Wallahualam

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...