terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 9, 2010

Mendambakan jenayah sifar

KETIKA keluar untuk ke tempat kerja Rabu lalu, terkejut penulis apabila mendapati salah sebuah lorong dalam kawasan perumahan telah mempunyai seorang pengawal. Dia meletakkan sebuah meja plastik sebagai pos kawalannya. Tertera di atas kadbod di situ sebagai home guard, atau pengawal rumah.

Istilah home guard ini dulu digunakan semasa Darurat sebagai pengawal kampung yang terdiri daripada orang kampung yang dilatih sedikit sebanyak dalam penggunaan senapang patah untuk mengawal kawasan masing-masing daripada ancaman pengganas komunis.

Melihat pos kawalan itu, penulis terkejut. Ini kerana dalam fasa di kawasan itu selama ini tidak ada penduduk yang berasa perlu untuk mengupah pengawal bagi memantau keluar masuk kenderaan.

Sememangnya terdengar adanya berlaku kejadian pecah rumah dan rompakan seperti di tempat-tempat lain di seluruh negara, khususnya di Lembah Klang.

Tetapi berbanding dengan kawasan-kawasan perumahan lain, tempat tinggal penulis tidaklah menjadi tempat hangat jenayah hingga memerlukan perlindungan pengawal.

Kalau menyelusuri lorong-lorong di fasa itu, tidak juga kelihatan banyak alat-alat pencegah jenayah seperti penggera dan perkhidmatan ADT.

Sedangkan di kawasan-kawasan perumahan lain, apabila dilihat terdapat kotak-kota ADT itu, maka fahamlah bahawa jenayah berleluasa di situ hinggakan ia memerlukan perlindungan perkhidmatan penggera.

Jadi sejak berpuluh-puluh tahun, kawasan perumahan penulis tidaklah begitu dirasakan bahaya hinggalah Rabu kalau dianggap bahawa kehadiran pengawal di situ bermakna kawasan itu sudah parah dengan ancaman penjenayah.

Sememangnya pelbagai usaha dan perancangan dibuat untuk mengurangkan jenayah. Ia termasuk dalam Program Transformasi Kerajaan. Anggota polis telahpun ditambah dan banyak lagi rancangan lain untuk mengurangkan jenayah.

Malah perangkaan rasmi menunjukkan bahawa kejadian jenayah menurun.

Tetapi angka-angka itu tidak bermakna bagi orang atau keluarga yang menjadi mangsa penjenayah. Selain daripada berita-bertia mengenai jenayah yang tersiar dalam akhbar, banyak lagi cerita-cerita yang didengar daripada pengalaman peribadi mangsa-mangsa jenayah itu.

Biarlah angka itu menurun macam mana pun kalau kita yang menjadi mangsa jenayah, maka ia tidak membawa makna.

Setakat masa ini, jenayah dalam bentuk pecah rumah, ragut dan rompak amat menakutkan.

Minggu lalu ketika bergesa-gesa hendak membeli panadol di sebuah farmasi di Puchong, tiba-tiba penulis dapati pintunya berkunci dan jurujual hanya mahu merenggangkan pintu kedai itu sedikit. Sambil bertanya apa yang penulis mahukan, dia sedikit pun tidak membuka pintu. Maka setelah mengambil ubat dan membayarnya penulis terus beredar.

Bayangkan bagaimana peniaga hendak maju jika pintu kedai pun tidak boleh dibuka kerana takut dengan penjenayah.

Di kawasan situ didapati hampir semua kedai telefon mempunyai gril dan berurusan hanya melalui tingkap kecil secara kaunter.

Terpaksa

Adakah negara ini sudah menjadi seperti Afrika Selatan dengan pekedai-pekedai terpaksa mengupah pengawal dan hanya mengizinkan orang yang dipercayai tidak mengancam masuk ke kedai, iaitu setelah diperiksa.

Tetapi bukan saja pekedai. Bagi orang ramai, bagaimanakah kita semua hendak menjadi masyarakat yang dapat menikmati barang-barang yang kita beli. Ada barang kemas bimbang kena ragut atau rompak. Kalau tidak dipakai barang kemas, bagaimana hendak melaram menikmatinya.

Oleh kerana takut diragut, maka disimpan barang kemas di rumah. Tetapi di rumah bahaya juga. Takut dirompak.

Bagaimanakah ekonomi dan kemakmuran negara dapat dinikmati jika hendak beli gajet-gajet baru pun bimbang takut dicuri. Hendak menggunakan blackberry, i-phone, ipad, notebook dan laptop pun kena sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga takut barang-barang itu menjadi perhatian kepada para pencuri.

Keadaan inilah menyebabkan orang ramai mencari jalan sendiri untuk melindungi daripada penjenayah. Mereka masih amat mengharap perlindungan daripada polis kerana siapa lagi yang mampu memberi perlindungan.

Tetapi hakikatnya perkhidmatan polis tidak mencukupi dan orang ramai faham kekangan daripada kerajaan ketika mana bilangan penjenayah semakin dirasakan terus meningkat dan mengancam.

Maka tidak hairanlah banyak kawasan perumahan terutama di Lembah Klang sudah bertukar menjadi seperti kem-kem yang mempunyai pengawal. Itupun tidak menjamin penjenayah dapat dihindarkan tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meningkatkan lagi kawalan keselamatan.

Begitu juga antara sebab ada majlis tempatan yang memohon untuk mempunyai pasukan polis bantuan sendiri bagi mengawal pengguna-pengguna pusat membeli belah.

Tujuannya adalah untuk membantu polis tetapi hakikatnya adalah untuk memberi perlindungan kepada orang ramai yang bertambah ancamannya.

Kalau dilihat di seluruh negara akan didapati bahawa pengawal keselamatan kini memainkan peranan penting, iaitu kedua selepas polis bagi memberi perlindungan

Tetapi pengawal keselamatan ini merupakan industri komersial, tidaklah dapat diharapkan seperti apa yang dapat diberikan oleh polis.

Dalam pada itu, membanteras jenayah tidak boleh diharapkan daripada pihak berkuasa dan dalam bentuk penguatkuasaan semata-mata. Ini kerana gejala jenayah adalah juga isu sosio-ekonomi.

Maka di samping kawalan dan penguatkuasaan, dimensi sosial dan ekonomi mesti diberi perhatian bersungguh-sungguh.

Dato' Salleh Majid

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...