terima kasih buat kalian semua..

Friday, May 14, 2010

Merisik..bertunang...Perlu ke?


SAYA bukan seorang yang rigid atau jumud terhadap aktiviti dalam kehidupan. Pada pandangan saya, setiap Muslim yang beriman pasti memiliki persoalan yang mampu memotivasikan iman dan taqwa.

Cuma saya selalu berfikir dan ingin berusaha agar rasa selesa bila dapat mengatasi semua perbuatan dalam kehidupan dengan berpandukan hukum Allah SWT melalui nas al-Quran atau riwayat hadis Nabi Muhammad Rasulullah SAW yang sebenar.

Justeru itu, perkara sebenar yang ingin saya ketahui ialah mengenai proses-proses seorang lelaki dan wanita untuk bernikah. Hukum/Aktiviti merisik, bertunang, nikah dan walimaht-al-urus itu wujud. Ekoran pernyataan di atas persoalan saya ialah:

1. Adakah terdapat nas Al-Quran atau riwayat hadith Nabi Muhammad Rasulullah SAW mengenai hukum wajibnya mengadakan "majlis" untuk merisik, bertunang? Adakah terdapat tempoh masa yang ditentukan untuk setiap "sesi" tersebut?

2. Apakah hukum melaungkan secara kuat lafaz takliq/taqlid kepada isteri? Bukankah itu semua perjanjian antara suami isteri, buat apa nak orang lain tau hal suami isteri tersebut.

3. Adakah terdapat pembaziran dan perbuatan yang sia-sia dengan memakai pakaian perkahwinan tradisi bangsa, mengadakan perarakan pengantin dan persandingan pelamin selepas nikah dan lain-lain? Adakah terdapat nas atau hadith yang menyatakan perlunya berpakaian baharu putih sewaktu bernikah? Adakah perlu dibuat dua kali majlis keraian selepas nikah (majlis pihak lelaki dan majlis pihak perempuan)?

4. Bagaimanakah konsep sebenar Islam bagi menjalankan aktiviti merisik, bertunang, aqad nikah dan walimaht-al-urus?

5. Adakah wang perbelanjaan dan nilai mahar/mas kahwin perlu dinyatakan sewaktu majlis merisik/bertunang dan aqad nikah?

Jawapan:

Tidak nafikan di antara punca hilangnya keberkatan sesebuah rumah tangga yang dibina adalah kerana tidak memelihara batasan-batasan syariat dalam majlis tersebut. Ingat rumah tangga yang dibina selalu diumpamakan seperti membina masjid. Puncanya terlalu banyak bercampur aduk dengan budaya dan adat yang bukan asal usul daripada Islam.

Justeru, kembali melihat dan meneliti cara dan ciri yang dianjur oleh Islam dalam membina rumah tangga adalah sangat mendesak, demi kelangsungan syariat dan demi kesejahteraan generasi yang akan datang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui. (al-Nur:32 ).

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami). (al-Zariyat:49)

Dan banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang memperakui bahawa manusia dijadikan berpasang-pasangan, dan inilah juga sunnah alam yang mana Allah SWT menjadikan segala sesuatu itu berpasangan.

Sebelum seorang lelaki dan perempuan bergelar pasangan hidup Islam telah menetapkan syariat yang penuh dengan adab bagi memastikan hasrat tercapai. Maka adanya pinangan dan bertunang.

Pertunangan atau bertunang merupakan suatu ikatan janji pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Meminang juga pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Fatimah binti Qais yang bermaksud: Fatimah binti Qais telah berjumpa Rasulullah SAW menceritakan bahawa Mu'awiyah dan Abu Jahm telah meminangnya, baginda bersabda yang bermaksud: Mua'awiyah seorang yang miskin tiada harta, manakala Abu Jahm pula seorang yang sentiasa mengantung tongkat di atas tengkoknya (garang dengan isterinya), maka kahwinlah dengan Usamah bin Zaid. (al-Bukhari dan Muslim ).

Dalam hadis ini Baginda Rasulullah SAW tidak melarang, malahan Nabi SAW membantu Fatimah binti Qais untuk mendapatkan pasangan yang sesuai dengannya. Peminangan adalah permulaan proses perkahwinan. Hukum peminangan adalah harus dan hendaklah bukan isteri orang, bukan mahram sendiri, tidak dalam idah, dan bukan tunangan orang.

Pemberian seperti cincin kepada wanita semasa peminangan merupakan tanda ikatan pertunangan. Apabila berlaku keingkaran yang disebabkan oleh lelaki, pemberian tidak perlu dikembalikan dan jika disebabkan oleh wanita, maka hendaklah dikembalikan, namun persetujuan hendaklah dibuat semasa peminangan dilakukan.

Melihat bakal suami dan bakal isteri adalah sunat, kerana tidak mahu penyesalan berlaku setelah berumahtangga. Anggota yang harus dilihat bagi seorang wanita ialah muka dan kedua-dua tangan sahaja.

Hadis Rasulullah saw berkenaan kebenaran untuk merisik (melihat tunang) dan meminang: "Daripada Abu Hurairah ra berkata, sabda Rasullullah SAW kepada seorang lelaki yang hendak berkahwin dengan seorang perempuan: "Adakah kamu telah melihatnya? Jawabnya tidak (kata lelaki itu kepada Rasullullah). Pergilah melihatnya supaya perkahwinan kamu terjamin berkekalan." (riwayat Tarmizi dan Nasai). Maksudnya, melihat dengan mengikat pertunangan.

Hadis Rasullullah berkenaan larangan meminang wanita yang telah bertunang: Daripada Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Kamu tidak boleh meminang tunang saudara kamu sehingga dia (membuat ketetapan untuk) memutuskannya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

Rasulullah SAW melarang seorang meminang wanita yang telah sedia dipinang oleh orang lain. Maksudnya sistem pertunangan sudah ada di awal perkembangan Islam. Maka hasil dari pinangan akan berlakunya pertunangan.

Kebiasaannya di negara kita, anak lelaki akan memberitahu hajatnya untuk memperisterikan gadis kesukaannya, dan yang melangsungkan hasrat anak itu oleh si ayah dengan mengunjung dan sekali gus melamar dan mengikat satu perjanjian yang dikenali sebagai pertunangan.

Manakala mengadakan majlis pertunangan, sebenarnya saya belum bertemu mana-mana riwayat yang menyuruh atau menghalang dari mengadakan majlis pertunangan. Namun ini tidak bermaksud haram mengadakan sedikit majlis.

Kebiasaan majlis pertunangan adalah proses mengenal kedua belah keluarga yang bersetuju menjodohkan anak mereka menjadi suami isteri. Maka dalam kesempatan itu diadakan jamuan dengan menjemput sanak saudara.

Kadang-kadang kegembiraan itu dikongsi bersama. Asalkan majlis itu tidak ada acara-acara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Adapun tempoh pertunangan ikut kepada keselesaan kedua belah pihak. Islam tidak mengehadkan sesuatu tempoh bagi pertunangan. Di sini dapat kita perhatikan keindahan syariat Islam.

Sekiranya Islam menetapkan sesuatu tempoh dan dalam tempoh tersebut perkahwinan tidak dapat dilangsungkan maka akan berdosalah kedua pasangan dan sesiapa yang terlibat. Sebab itulah tempoh pertunangan diserahkan kepada kebijaksanaan kedua belah pihak, dari pihak lelaki dan pihak perempuan untuk sepakat dengan satu tarikh bagi melangsungkan perkahwinan. Walaupun demikian tidak harus dilewatkan tanpa sebarang sebab munasabah.

Insya-Allah ustaz akan membicarakan keharusan lafaz ta'liq dan majlis perkahwinan pada minggu hadapan.

1 comment:

  1. Apakah boleh jika keluarga pihak lelaki hanya mahu bertandang ke rumah keluarga perempuan sekali shj(pd hari nikah dan kenduri shj) dgn alasan jarak ke rumah prempuan sgt jauh.
    Buat pengetahuan, Pihak keluarga lelaki tidak pernah berkenalan dgn kluarga pihak perempuan. Tidak pernah merisik.
    Kalo ikut adat, mmg tidak manis..tp pada pandangan ustaz adakah ini biasa?

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...