terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 30, 2010

Mukallaf terhalang terima seruan dakwah tidak diseksa


SAYA ingin bertanya, bagaimanakah keadaan orang yang tidak pernah sampai kepadanya dakwah Islam (mungkin kerana tinggal tempat yang jauh dalam hutan dan seumpamanya), pada hari akhirat kelak? Adakah dia turut diseksa? Apakah ada sebarang dalil mengenainya? Diana
Lembah Keramat.

SESUNGGUHNYA Allah SWT berfirman dalam surah al-Israk ayat 15 yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehinggalah Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)

Jika dakwah Islam tidak pernah sampai kepada seseorang, ia bukanlah mukallaf yang patut diseksa. Maksud mukallaf iaitu orang yang terkena beban taklif atau keberatan syariat. Allah SWT berfirman pada ayat 286 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Allah tidak mentaklifkan (memberati) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” Syarat taklif itu adalah pertama, berakal; kedua, dewasa; ketiga, selamat pancaindera, walaupun hanya pendengaran atau penglihatan saja manakala keempat, sampai kepadanya dakwah rasul. Maka seseorang yang dilahirkan dalam keadaan buta dan tuli, bukanlah ia mukallaf. Tidak mungkin dakwah rasul sampai kepadanya kerana penglihatan dan pendengaran adalah pancaindera penting untuk seseorang memperoleh ilmu. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 78 yang bermaksud: “Dan Allah mengeluarkan kamu dalam perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur.” Demikianlah juga bagi orang yang tinggal di pergunungan pedalaman yang tidak pernah sampai dakwah rasul. Maka orang seperti ini tidak akan diseksa kerana melanggar peraturan syariat yang tidak sampai kepadanya. Di dalam kitab Tahqiqul Maqam ala Kifayatil Awam bagi al-‘Allamatul Bajuri, halaman 13, sebagai berikut: Maka tiap orang yang sampai kepadanya ajakan rasul daripada rasul-rasul, sekalipun Adam ditaklifkan kepadanya iman, sekalipun ia bukan diutus kepadanya. Maka barang siapa yang ingkar dan angkuh untuk mengikutinya, berhaklah ia mendapat seksaan. Dan adapun orang yang tidak sampai kepadanya ajakan rasul dengan bahawa terpencil di sudut-sudut negeri, maka dia mendapat uzur (pengecualian). Dan ada orang yang mengatakan: “Tidaklah memadai hal itu padanya. Bahkan diiktibarkan tiap-tiap rasul serta umatnya. Dan ini ialah sahih. Maka ahli fatrah dan mereka itu adalah orang yang tidak adalah mereka pada masa rasul atau tidak pernah diutus kepada mereka sesuatu, selamatlah mereka, walaupun kiranya mereka itu menyembah berhala kerana keuzuran mereka dan Allah SWT akan memberikan kepada mereka itu tempat daripada Jannatul Ikhtishah iaitu syurga khusus yang bukan daripada Jannatul Amal kerana mereka belum mempunyai amal. Inilah pentahqiqan masalah ini, perhatikan sungguh-sungguh. Wallahualam.

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...