terima kasih buat kalian semua..

Friday, May 14, 2010

Mungkinkah satu hari nanti kita tak perlu bayar tol?

ORANG berniaga kadang-kadang dia buat cadangan yang nampak tak masuk akal kepada orang yang tak berniaga. Tapi itulah cara berniaga. Sekali-sekala kena buat yang orang lain tak buat.

Jadi inilah cara Kunta Kinte tengok cadangan sebuah syarikat sendirian berhad Melayu bernama Asas Serba. Ada empat orang yang jadi pengasas syarikat ini.

Mereka adalah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Aljeffri; Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd, Syed Budriz Putra; bekas Pengarah Babcock & Brown dan Fieldstone International, Wan Kamaruddin Wan Mohamed Ali dan bekas eksekutif kanan Plus Berhad, Ibrahim Bidin.

Apakah cadangan mereka yang tak masuk akal itu? Mereka cadang hendak beli semua lebuh raya di negara ini dengan harga RM50 bilion.

Kemudian mereka nak potong kadar tol 20 peratus dan lepas tu tak ada lagi kenaikan kadar tol sepanjang hayat konsesi Lebuh Raya Utara-Selatan selama 18 tahun lagi.

Ertinya mereka nak kurangkan kadar tol daripada 12.36 satu kilometer sekarang kepada 11.97 satu kilometer dan lepas itu tak naik-naik lagi.

Ini bukan cadangan main-main di kedai kopi atau bawah pokok ceri, tapi cadangan yang mereka bagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerjaraya.
Kunta Kinte dengar cerita, mereka dah lama bagi cadangan ini kepada kerajaan. Ikut ceritalah, mereka serah kepada Najib sebaik saja dia naik jadi Perdana Menteri tahun lalu.

Tapi baru pada 3 Mei lalu saja mereka buat sidang media di ibu negara untuk bagi tahu kepada media massa butir tawaran mereka yang luar biasa itu. Sebelum itu, mereka cuba sorok-sorok pasal nak bagi peluang kepada kerajaan kaji cadangan itu.

Kunta Kinte ucap terima kasihlah kalau ada orang nak buat kerja tak masuk akal dengan belanja RM50 bilion kemudian tolong kadar tol yang Kunta Kinte kena bayar. Alhamdulillah syukur.

Bukan itu saja, mereka pun janji nak ringankan beban pembayar cukai dengan ambil alih hutang lebuh raya dan hapuskan subsidi yang kerajaan bagi kepada pemenang konsesi lebuh raya.

Hutang lebuh raya dianggarkan RM30 bilion, manakala kerajaan pula kena bagi ganti rugi kepada pemenang konsesi lebuh raya setiap kali kerajaan sekat kenaikan tahunan kadar tol.

Walaupun pengguna lebuh raya bersungut pasal kadar tol, sebenarnya kadar tol Lebuh Raya Utara-Selatan tak naik dah banyak tahun. Kalau naik pun tak setinggi dalam perjanjian konsesi.

Kalau ikut dalam perjanjian konsesi, tahun ni dah naik kepada 15 sen satu kilometer dan akan naik sampai 20 sen satu kilometer sebelum tempoh konsesi habis.

Bila kerajaan tak benar kadar tol naik, kerajaan kena bagi ganti rugi kepada pemegang konsesi. Misalnya, antara 2005 hingga 2009 saja, kerajaan bayar ganti rugi RM3.06 bilion kepada Plus.

Tahun lepas saja, kerajaan bayar ganti rugi RM813 juta kepada syarikat konsesi itu. Daripada mana duit ni datang kalau bukan daripada poket orang yang bayar cukai.

Asas Serba anggarkan kalau cara ini terus dibuat, kerajaan kena bayar ganti rugi RM114 bilion pada Plus sepanjang hayat konsesi Lebuh Raya Utara-Selatan.

Ini semua Asas Serba nak buat. Nak kurangkan kadar tol 20 peratus serta-merta. Tak nak naikkan lagi kadar tol dan nak hapuskan beban ganti rugi yang kerajaan kena tanggung.

Asas Serba akan tubuh sebuah syarikat konsesi baru (new concession company) dan jual bon berdividen kepada pelabur. Asas Serba tidak akan pegang semua saham.

Asas Serba cukup yakin yang kaedah atau model pelaburan mereka berdaya maju kerana mereka janji nak bagi dividen tahunan sembilan sampai 12 peratus kepada pelabur berbanding dengan enam atau tujuh peratus yang Plus bayar.

Masuk akal atau tak masuk akal, kerajaan wajib kaji dulu. Jangan tolak bulat-bulat sebab kalau cadangan ini boleh dilaksana, faedahnya kepada pengguna lebuh raya, rakyat jelata dan kerajaan sangat besar.

Mestilah ada orang yang pertikai dan perli. Lebih-lebih lagilah pasal yang cadang orang Melayu. Bila Melayu cadang sesuatu mengenai perniagaan, ramailah yang ragu dan buat lawak. Tapi kalau tauke Cina atau India macam Robert Kuok dan Ananda Krishnan, ramailah yang kata hebat.

Kunta Kinte rasa ramai orang Melayu dan bukan Melayu iri hati bila ada Melayu dalam perniagaan. Bila Melayu dibagi bantuan, mereka kata subsidi dan tongkat.

Tapi bila Petronas disuruh jual gas cecair asli dengan harga diskaun kepada loji penjana elektrik dan industri, mereka kata untuk kebaikan negara. Mereka kaut untung beratus-ratus juta ringgit setiap tahun, kita yang guna elektrik kena tanggung.

Jadi Kunta Kinte nak tengok macam mana kerajaan respons kepada cadangan luar biasa empat budak Melayu ini. Kalau tak boleh terima, kerajaan kena bagi tahu pasal apa.

Bukan apa, masa kita nak merdeka dulu pun ada orang kata tak masuk akal. Mereka kata macam mana nak merdeka dan perintah negeri kalau buat jarum pun tak tahu.

sumber: kunta kinte bharian

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...