terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 22, 2010

Negara Sendiri tapi yg meniaga warga asing


KUALA LUMPUR - Biarpun telah beberapa kali diserbu pihak berkuasa, pemilik-pemilik gerai berhampiran Stesen Monorel Bukit Bintang di sini masih menggunakan warga Bangladesh sebagai pembantu jualan mereka.

Berpura-pura berdiri di bangunan kedai hadapan gerai, seolah-olah sedang melepak, sekali sekala pembantu gerai warga Bangladesh ini akan menghampiri gerai masing-masing untuk melayani pelanggan yang datang.

''Sebahagian daripada pemilik gerai di sini telah mematuhi undang-undang untuk tidak menggunakan khidmat pekerja warga asing Bangladesh.

''Malah tindakan pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen yang mengadakan operasi bagi membanteras warga asing ini menyebabkan pemilik gerai mengambil keputusan untuk tidak menggunakan khidmat mereka.

''Namun terdapat juga sebahagian pemilik gerai yang masih mengambil mereka bekerja," kata salah seorang pembantu kedai di kawasan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Asri, 26.

Kenyataan ini turut disokong seorang lagi pembantu gerai warga tempatan.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, pekerja Bangladesh berkenaan tidak akan berada di dalam gerai.

"Mereka akan berada di tepi bangunan sambil memerhatikan orang ramai.

"Jika ada pelanggan yang mendekati gerai, barulah mereka menjalankan tugas melayan mereka dan menawarkan barangan kepada pelanggan.

"Ini bertujuan mengaburi pihak berkuasa daripada menangkap mereka," katanya.

Situasi tersebut turut dialami oleh dua petugas Utusan Malaysia yang membuat tinjauan. Sebaik sahaja kami menghampiri mana-mana gerai, maka seorang warga Bangladesh datang memberitahu harga barangan yang dijual.

Kami juga dimaklumkan bahawa pekerja warga asing ini juga cukup takut untuk melayan pelanggan berbangsa Melayu dan berkasut hitam.

''Mereka bimbang pelanggan tersebut adalah pihak berkuasa yang menyamar sebelum menangkap mereka.

''Biasanya pelanggan Melayu akan diuruskan oleh pekerja tempatan sahaja dan warga Bangladesh dilarang melayan mereka," kata wanita itu.

Utusan Malaysia cuba mendapatkan keterangan daripada salah seorang pekerja warga Bangladesh yang menawarkan jam tangan kepada kami.

Namun, mereka tidak menghiraukan pertanyaan yang tidak berkaitan dengan barangan yang hendak dijual.

Oleh ARDYHANSAH AMAT

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...