terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 22, 2010

Nikmat bertemu ibu bagi banduan

KOTA BHARU - Mat Ismail (bukan nama sebenar) berasal dari Kuala Krai sudah meringkuk di penjara hampir tujuh bulan lalu atas kesalahan membunuh tanpa niat.

Selain terpaksa meneruskan kehidupan di sebalik tirai besi selama tujuh tahun lagi, dia juga melukakan hati ibunya yang turut menderita.

Mat, 29, ingin memeluk dan memohon maaf daripada ibunya di atas dosa yang dilakukan itu.

Mujurlah kesempatan itu diperoleh apabila Penjara Pengkalan Chepa mengaturkan pertemuan sempena Hari Ibu, di sini baru-baru ini.

Mendekati ibunya yang sudah lama menunggu, dia nyata tidak bermaya dan jatuh di tanah sambil menangis dan menggenggam erat tangan ibunya.

''Saya bersalah dan sedang menjalani hukuman di sini tetapi saya rasa lebih terkilan dan bersalah jika tidak dapat bertemu emak untuk memohon ampun," katanya.

Dalam pertemuan itu, dia tidak berenggang di sisi ibunya sambil bertanya khabar kehidupan keluarga dalam pertemuan singkat selama setengah jam tersebut.

Bagi ibunya yang datang buat kali pertama bersama dua anak lain, dia telah telah lama memaafkan anak bongsunya itu walaupun berasa amat sedih.

''Sebagai emak, hancur hati makcik apabila dia dipenjarakan namun telah lama makcik maafkan, malah tidak sabar menunggunya keluar," katanya.

Mat Ismail adalah antara 35 banduan yang diberi peluang menemui keluarga masing-masing hari ini dan mereka adalah kalangan banduan terpilih.

Kira-kira 100 ahli keluarga hadir termasuk ibu, bapa, isteri, suami dan anak-anak menemui mereka sebagai tanda kasih sayang walaupun menjadi banduan.

Pengarah Penjara Kelantan, Muhammad Zuki Muhammad Zain berkata, majlis yang diadakan buat kali ketiga berturut-turut itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan ahli keluarga terdekat.

''Program ini merupakan peluang keemasan yang wajar dimanfaatkan oleh kedua-dua belah pihak untuk membuktikan walaupun pernah melakukan kesalahan, mereka masih diterima oleh keluarga.

''Ia juga dapat memberi kesedaran dan rasa insaf penghuni penjara atas kesilapan yang dilakukan dan berjanji kepada keluarga masing-masing bahawa mereka tidak akan mengulanginya lagi," ujarnya.

Sementara itu, dalam pertemuan tersebut, seorang anak berusia enam tahun dilihat menerpa dan memeluk erat bapanya, seorang banduan yang dipenjara atas kesalahan merogol.

Banduan yang dikenali sebagai 'Jai' berusia 34 tahun dari Pasir Mas, mengalirkan air mata keharuan apabila terpandang isteri dan anak lelakinya berusia 10 tahun.

"Saya benar-benar sesal dan insaf kerana perbuatan saya, anak-anak dan isteri juga jadi mangsa. Saya bersyukur kerana memiliki isteri yang baik dan mampu menjaga dan mendidik anak-anak," ujarnya.

Jai yang dihukum penjara 12 tahun dengan dua sebatan sejak 2005 dan dijangka dibebaskan pada 2017, berjanji akan mendapatkan sebanyak mungkin kemahiran di dalam penjara sebagai bekalan memulakan hidup baru kelak.

Pada majlis tersebut turut diadakan ceramah motivasi oleh penceramah jemputan, Mohd Suratmin Mat Yusoff.

Acara memotong kek sempena sambutan Hari Ibu juga diadakan dan penghuni penjara berpeluang menikmati makanan disediakan bersama keluarga masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...