terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 29, 2010

OKU tiada keistimewaan guna wad kelas satu


TULISAN saya mengenai orang kurang upaya (OKU) minggu lalu mendapat maklum balas daripada golongan senasib. Semua menyuarakan rasa kurang puas hati terhadap keperluan, kemudahan dan perkhidmatan disediakan untuk OKU. Masalah yang diceritakan memang kurang enak dibaca atau didengar, seolah-olah golongan ini dipinggirkan dalam menikmati kehidupan sebagai manusia biasa. Bagi mereka, masalah yang diutarakan bukan perkara baru, ia bagaikan sudah menjadi darah daging OKU di Malaysia.

Seperti yang disebutkan, masalah saya mungkin tidak seteruk OKU lain. Begitu pun dalam tempoh empat tahun menjadi OKU, saya dapat berasakan kesulitan dialami golongan ini.

Dalam beberapa e-mel diterima, saya tertarik dengan kiriman dua pembaca yang mengungkapkan kemudahan dan keistimewaan OKU yang diberikan kerajaan hanya untuk orang tua, kanak-kanak, miskin dan berpendidikan rendah. Menceritakan pengalamannya, pembaca ini pernah memohon Elaun Pekerja Cacat, tetapi ditolak kerana gajinya dikatakan tinggi. Seorang lagi pembaca, kurang puas hati kerana terpaksa membayar rawatan di hospital kerajaan kerana tinggal di wad kelas satu. Katanya, beliau faham perlu membayar RM70 sehari untuk tinggal di wad kelas pertama. Ia tidak menjadi masalah dan bayaran itu ditanggungnya sendiri. Namun, ketika membuat pembayaran, beliau dikenakan bayaran rawatan selain bilik. Apabila ditanya, petugas kaunter memberitahu perlu membayar perkhidmatan rawatan lain kerana tinggal di wad kelas satu. Apa yang dipertikaikan pembaca ini dia memang layak menerima rawatan percuma kerana memiliki kad OKU. Apa yang lebih menghairankannya, beliau tidak perlu membayar sesen pun ketika menerima rawatan di hospital kerajaan pada masa lain. Malangnya, ketika tinggal di wad kelas satu, keistimewaan dan kelayakan itu hilang. Soalannya, adakah OKU tidak layak tinggal di wad kelas satu walaupun mampu? Katanya, menjadi haknya untuk mendapat rawatan percuma sebagai OKU tidak kira di wad kelas mana dia tinggal di hospital kerajaan. Kita masih ingat dengan berita rasa tidak puas hati sekumpulan OKU tidak lama dulu apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikatakan menarik semula bantuan kepada mereka hanya kerana memiliki televisyen dan Astro. Persoalan mereka juga sama, adakah OKU tidak boleh hidup seperti orang upaya lain dengan menonton televisyen atau memiliki Astro. Adakah OKU mesti hidup susah atau miskin untuk mendapat bantuan atau menerima keistimewaan yang disediakan kerajaan? Dakwaan ini mungkin tidak benar, tetapi seorang lagi pembaca menyarankan saya melihat senarai OKU yang menerima bantuan kerajaan untuk mendapat jawapannya. Beliau pasti, kebanyakan mereka adalah orang miskin, tua, kanak-kanak dan berpendidikan rendah. Pada saya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku seperti yang termaktub dalam Akta OKU yang diluluskan di Parlimen pada 24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008 serta dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008. Akta ini memberikan pengiktirafan hak OKU dan menukar konsep OKU daripada konsep kebajikan kepada konsep berasaskan hak. Akta ini membolehkan OKU mempunyai hak penyamaan peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat setara dengan ahli masyarakat lain. Akta ini memperuntukkan perihal pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pemban-gunan dan kesejahteraan OKU. Tidak sepatutnya timbul masalah seperti itu kerana OKU perlu diberikan hak yang layak diterima sebagai OKU. Begitu pun, kita tidak boleh menafikan bahawa kerajaan, khususnya melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat banyak berusaha menjadikan hidup OKU bertambah baik dari semasa ke semasa. Pelbagai usaha program dilaksanakan untuk kesejahteraan OKU di negara ini. Dalam bajet setiap tahun, kerajaan tidak pernah melupakan golongan ini. Ada saja galakan, imbuhan dan elaun disediakan untuk kita. Saya juga berpandangan, usaha kerajaan, terutama dalam menyediakan persekitaran mesra OKU dapat dilaksanakan tanpa kesedaran orang ramai, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan dan garis panduan piawai dalam pembinaan infrastruktur untuk golongan ini. Kurangnya kesedaran awam menyebabkan infrastruktur yang dibina untuk OKU disalah gunakan orang ramai. Undang-undang yang baik pula tanpa penguatkuasaan sewajarnya tidak dapat mewujudkan persekitaran mesra OKU. Kurangnya kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan menjadikan hampir mustahil untuk mewujudkan persekitaran mesra OKU kerana pihak berkuasa tempatan mempunyai bidang kuasa sendiri, hak untuk membuat undang-undang dan merancang bajet mereka. Kini tidak ada dasar selaras dan jelas mengenai piawaian yang diperlukan dalam pembinaan infrastruktur yang mesra OKU. Hal ini menyukarkan pemilik bangunan menyediakan kemudahan sesuai bagi golongan itu. Contohnya, Jabatan Kerja Raya mempunyai spesifikasi sendiri bagi kaki lima dan kawasan pejalan kaki yang berbeza daripada piawaian Malaysia.

sumber: bharian

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...