terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, May 11, 2010

Penguatkuasa Rasuah: Sampai bila beri muka kepada warga asing?


KITA sering mendengar rungutan para peniaga kecil tempatan berebut peluang perniagaan yang ada dengan warga asing terutama Indonesia. Ke mana sahaja kita pergi, akan terdapat peniaga warga Indonesia menjalankan perniagaan mereka. Ada yang menjadi pembantu, namun tidak kurang yang menjadi tuan punya tempat perniagaan tersebut.

Contoh terbaik ialah jika kita pergi ke semua pasar di persekitaran Lembah Klang ini. Menghairankan. Di manakah semua penguat kuasa kita yang diamanahkan untuk membenteras para warga asing ini daripada mengambil peluang yang dikhaskan kepada warga tempatan tapi dirampas oleh warga asing?

Mahu tidak mahu, andaian pertama datang ke fikiran ialah penguat kuasa-penguat kuasa kita ini telah diberi habuan untuk tidak mengambil tindakan atau memejamkan mata di atas kehadiran peniaga warga asing ini.

Bukti yang jelas, pergi saja ke pasar Chow Kit dan Pasar Keramat. Lihat sendiri berapa ramai peniaga warga Indonesia yang berniaga di sana. Boleh dikatakan, semua bahagian sayur-sayuran didominasi oleh warga Indonesia. Apakah penguat kuasa kita tidak melihat kehadiran warga Indonesia ini?

Di sekitar pusat pentadbiran negara iaitu Putrajaya, lihat sahaja kepada para peniaga yang menjalankan perniagaan mereka di sekitar pejabat di Putrajaya. Warga Indonesia mendominasi ruang-ruang perniagaan yang sepatutnya dikhaskan kepada peniaga kecil tempatan. Kalau di depan mata penguatkuasa di Putrajaya pun mereka boleh menjalankan perniagaan tanpa diganggu oleh penguat kuasa, apa lagi di lokasi lain.

Di Perpuskataan Negara di Jalan Tun Razak, tempat perniagaan yang sepatutnya dikhaskan kepada peniaga tempatan telah dibolot oleh satu keluarga (adik-beradik) warga Indonesia. Pada mulanya, peniaga ini cuma bekerja sebagai pembantu kepada peniaga tempatan. Dalam menjalankan urusan sebagai pembantu, mereka lama-lama telah masuk jarum dengan pihak yang mengawas selia tapak perniagaan tersebut sehingga kini tempat-tempat tersebut telah dikuasai oleh tiga beradik warga Indonesia ini.

Anehnya, bila kita warga tempatan ingin menempah tapak berniaga di situ, penyelia tersebut akan memberitahu tapak perniagaan telah penuh. Walhal yang berniaga adalah ketiga-tiga beradik warga Indonesia ini, yang menjual kesemua barangan yang pernah di jual semasa menjadi pembantu kepada peniaga tempatan dahulu.

Kepada siapa sebenarnya peniaga-peniaga kecil tempatan ini mahu bergantung harap jika para penguat kuasa yang diamanahkan untuk membenteras peniaga warga asing ini bersubahat dan bersengkongkol pula dengan warga asing?

Apabila negara dilanda penerima rasuah, kita salahkan kerajaan. Tapi, apakah kerajaan telah tidak menubuhkan badan penguatkuasaan bagi melindungi warga tempatan? Yang mencemarkan nama kerajaan adalah mereka yang bernama penguat kuasa. Mereka inilah setelah diberi amanah dan kepercayaan untuk menjalankan tugas, tapi tidak menyempurnakan amanah tersebut.

Cubalah jenguk-jenguk keperitan peniaga kecil tempatan. Sudahlah warga asing ini merampas keseluruhan keselesaan warga tempatan, kini periuk nasi kita pula dirampas mereka. Kesusahan dan kesengsaraan yang kita alami baik di jalan raya, di hospital, di sekolah dan di mana-mana adalah disebabkan limpahan kehadiran warga asing. Kepada semua penguat kuasa, tugas yang diamanahkan adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksana kan dan bukan untuk dicabuli.

Pemerhati Sedih

Keramat Permai

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...