terima kasih buat kalian semua..

Monday, May 24, 2010

Rafflesia boleh gagalkan hati, limpa - UKM


Ujian klinikal ke atas tikus menunjukkan bahawa perubatan tradisional yang menggunakan bunga Rafflesia boleh menyebabkan kesan serius ke atas hati dan limpa, dakwa seorang pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr. Nazlina Ibrahim dari pusat pengajian Biosains dan Bioteknologi universiti itu berkata, penyelidikan pelajar sarjana, Khairunnadwa Jemon mendapati organ dalaman tikus putih yang telah melahirkan anak dan diberikan beberapa sebatian tunas Rafflesia, selama 14 hari telah menjadi kecil.

Katanya, perubatan tradisional menggunakan bunga itu biasanya diambil oleh wanita yang baru lepas bersalin untuk mengecutkan rahim dan oleh lelaki dikatakan untuk kekuatan seksual.

Dr. Nazlina berkata, dalam satu artikel portal berita universiti itu bahawa penyelidikan oleh Khairunnadwa, di bawah penyeliaannya, mendapati limpa itu mampu mendetoksifikasi bahan daripada tunas Rafflesia azlanii.

"Tapi proses ini juga mengecutkan limpa daripada saiz asalnya. Dengan itu ujian itu mengesahkan keupayaan tunas bunga itu. Tetapi risiko yang memberi kesan ke atas organ penting lain juga wujud, iaitu limpa," kata Dr. Nazlina dalam artikel itu.

Beliau berkata, wanita yang mengamalkan meminum air dimasak dengan tunas Rafflesia selepas rawatan kelahiran perlu menimbangkan dengan serius keburukan dan kesan berbahaya ini.

Dr. Nazlina berkata, kadar ketoksikan dalam kajian ini perlu menjadi amaran kepada orang yang mengambil 'jamu' seperti ini memandangkan penggunaan bahagian Rafflesia azlanii sebagai sumber ubatan tradisional adalah tidak selamat.

"Jika seseorang mahu mengurangkan berat badan, mereka perlu mempunyai diet seimbang dan beriadah. Ini lebih berkesan dan selamat," katanya.

Dr. Nazlina berkata, orang ramai juga perlu mengelak daripada merosakkan keindahan bunga Rafflesia, yang telah menjadi satu ikon dalam industri pelancongan di Malaysia, untuk tujuan melangsingkan badan, dan dalam proses itu membahayakan diri sendiri.

Rafflesia, yang terkenal sebagai bunga gergasi di dunia merupakan tumbuhan yang jarang ditemui di kawasan hutan hujan tropika. Ia tergolong dalam keluarga Rafflesiaceae.

Beliau berkata, ia sebenarnya parasit wajib dan tumbuhan menjalar bagi kumpulan genus Tetrastigma (Vitaceae).

Ia hidup antara dua hingga tiga tahun tetapi bunga itu hanya kembang untuk beberapa hari sebelum mengecut dan mereput. Keunikan dan kecantikannya menarik ramai pencinta alam, penyelidik dan pelancong dari dalam dan luar negara.

Penyelidikan mengenai penggunaan dana daripada Skim Pemulihan Rafflesia di Taman Kinabalu mendapati pulangan setahun daripada industri eko-pelancongan lebih tinggi jika kawasan tanah yang sama digunakan untuk tujuan pertanian, katanya.

Sejak beberapa generasi, Rafflesia telah digunakan sebagai sumber pembuatan perubatan tradisional dan tunas Rafflesia dijual pada harga RM9 hingga RM25 bergantung kepada saiznya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...