terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 29, 2010

Saman bukan langkah berkesan didik pemandu

SAYA amat tertarik dengan cadangan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenakan kompaun minimum RM300 bagi pesalah liat membayar denda baru-baru ini. Dalam kenyataan itu juga dinyatakan kira-kira 16.9 juta saman tertunggak antara 2000 hingga 2008 dengan nilai kompaun dianggarkan berjumlah RM2.5 bilion.

Antara cadangan lain bakal dikemukakan JPJ ialah memansuhkan pemberian diskaun, menetapkan kompaun baru (untuk diguna pakai bersama dengan pihak polis dan pihak berkuasa tempatan) bagi setiap kesalahan trafik dan membezakan nilai kompaun bergantung kepada kesalahan berkaitan tingkah laku negatif pemandu, tingkah laku pasif, teknikal dan lain-lain kesalahan.

Kesimpulan yang mungkin diperoleh daripada kenyataan pihak JPJ ialah ramai rakyat Malaysia tidak memandu secara berhemah dan kerap melakukan kesalahan jalan raya. Mereka juga pesalah tegar atau kerap mengulangi kesalahan sama, tetapi pada masa sama, enggan bertanggungjawab di atas kesalahan dilakukan.

Mungkin cadangan itu ada logiknya. Jika dianalisis daripada statistik kemalangan jalan raya, Malaysia merekodkan hampir 1,000 kemalangan dan 17 kehilangan nyawa sehari. Dari segi nilai wang, kita kehilangan lebih RM9 bilion setahun akibat kemalangan. Kebanyakan kemalangan itu berpunca atau berkait rapat dengan faktor manusia.

Ringkasnya, ketidakpatuhan kepada undang-undang dan kecuaian pemandu kita di jalan raya mengundang pelbagai implikasi buruk kepada negara.
Persoalan yang mungkin bermain di fikiran kita ialah mengapa ini berlaku? Mungkinkah rakyat kita ini secara semula jadinya cuai dan tidak bertanggungjawab?

Fahamkah mereka kepada undang-undang atau mungkin juga mereka sengaja enggan mematuhinya? Kenapa pula undang-undang sedia ada, gagal mengawal fenomena ini daripada terus berleluasa? Salah siapa sebenarnya? Pemandu, undang-undang atau penguatkuasaan?
Tentunya ramai daripada kita tidak bersetuju dengan cadangan JPJ itu. Menaikkan nilai kompaun atau menetapkan lebih banyak bentuk hukuman rasanya tidak akan berupaya menyelesaikan masalah sedia ada. Hukuman sedemikian walaupun sudah sekian lama dikuatkuasakan, ia ternyata tidak begitu berkesan dan mungkin boleh agak lapuk ditelan zaman.

Idealnya, kita memerlukan paradigma baru dalam memperbaiki keadaan. Sebagai permulaan, mungkin kita boleh menilai semula sejauh mana keberkesanan modul pendidikan untuk latihan memandu dan sistem pemberian lesen yang diguna pakai pihak berkuasa di negara ini. Adakah ia cukup mantap dan efektif?

Perlukah ia dirombak atau ditambah baik atau mungkin juga boleh dimasukkan elemen lain yang lebih kontemporari dan relevan dengan senario masa kini? Rasanya sistem sedia ada, gagal melahirkan pemandu berdisiplin, patuh kepada undang-undang dan kompeten dalam mengendalikan kenderaan dalam situasi yang semakin mencabar.

Hak menggunakan jalan raya bukan boleh dipandang remeh dan tentunya tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya. Mungkin kriteria penganugerahan lesen yang wujud masa kini tidak cukup komprehensif dan terlalu simplistik.

Dalam erti kata lain, kemahiran psikososial serta kecerdasan emosi juga memainkan peranan penting dalam menentukan kesesuaian dan kelayakan seseorang individu untuk memiliki lesen memandu.

Langkah seterusnya ialah memastikan proses penguatkuasaan dan hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan turut diperbaiki. Penekanan terhadap unsur menghukum dan bukannya mendidik, perlu difikirkan semula.

Teori psikologi mengenai pembelajaran jelas membuktikan menghukum kerap kalinya gagal menghasilkan kesan berterusan atau mencapai objektif disasarkan. Tambahan pula apabila hukuman diberikan tidak setimpal atau tidak boleh menghasilkan impak diingini, maka ia tidak akan memberi sebarang manfaat kepada individu terbabit.

Kalau prinsip ini mahu diteruskan, pengubahsuaian perlu dilakukan. Hukuman harus disesuaikan dengan kesalahan yang boleh memberi keinsafan dan kesedaran kepada pesalah.

Alternatifnya, kita mungkin boleh beralih kepada konsep peneguhan (reinforcement). Kaedah ini dipercayai lebih efektif dalam memberi didikan dan pengajaran terutama untuk mengubah sesuatu tingkah laku manusia.

Secara mudahnya, jika seseorang itu melakukan kesalahan, sesuatu keistimewaan dimiliki mereka akan ditarik balik atau sekiranya mereka melakukan kebaikan, ia akan dikembalikan atau mungkin diberi penghargaan dalam bentuk lain.

Majoriti pakar psikologi berpendapat bahawa pembelajaran melalui konsep ini jauh lebih berkesan bagi membentuk atau memperbaiki sesuatu tingkah laku secara konsisten dan berpanjangan.

Syarikat insurans di negara ini sebenarnya sudah lama mengaplikasikannya dalam perniagaan mereka. Individu yang tidak membuat sebarang tuntutan insurans pada satu-satu tempoh tertentu akan diberi ganjaran dalam bentuk wang atau diskaun, manakala mereka yang ada membuat tuntutan, akan kehilangan ganjaran itu.

Oleh demikian, pemandu secara amnya sudah dididik secara tidak langsung untuk memandu secara berhemah (dan tidak terbabit dengan kemalangan) untuk memperoleh ganjaran pada akhir tempoh ditetapkan.

Elemen ‘personal touch’ atau sentuhan peribadi juga perlu dikembalikan. Memberi saman melalui sistem automatik atau saman ekor bukanlah satu idea yang baik. Walaupun ia boleh menjimatkan masa dan tenaga kerja atau memberi pulangan lumayan, aura sentuhan serta unsur nasihat yang ingin disampaikan kepada mereka yang melakukan kesalahan tidak lagi wujud.

Namun seperti kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hendak seribu daya dan jika tidak mahu, seribu dalih boleh diberikan. Sekarang adalah masa sesuai untuk berubah dan ia mesti dibuat segera demi kepentingan bersama.


Oleh Dr Wan Mohd Rushidi


Penulis ialah Pakar Perunding Psikiatri & Psikologi, Unit Perubatan Neuro-Behavior, Pusat Perubatan Kedah

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...