terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, May 5, 2010

Sanggupkah anda dikurung dalam kapsul selama 520 hari?


Sekumpulan sukarelawan memulakan latihan peringkat akhir di Rusia sebagai persiapan untuk dikurung di dalam sebuah kapsul selama 520 hari bagi tujuan mengkaji kesan psikologi yang dialami oleh manusia dalam misi ke Marikh.

Tiga sukarelawan Rusia, dua dari Eropah dan seorang warga China akan dikurung selama setahun setengah di dalam modul seluas 180 meter persegi di pinggir Moscow pada hujung bulan ini atau awal bulan depan.

Projek tersebut ialah misi simulasi ke Marikh yang pertama bagi tempoh sebenar dan menyusuli eksperimen serupa di Institut Rusia bagi Masalah Bioperubatan (IBMP) tahun lepas yang menyaksikan enam sukarelawan dikurung selama 105 hari.

Antara persoalan besar mengenai sebarang misi manusia ke Marikh ialah kesan psikologi ke atas seseorang yang terpencil begitu lama, dan eksperimen itu bertujuan untuk memungut data penting mengenai keadaan minda dan tubuh peserta.

Sukarelawan kini menjalani ujian dan latihan di Moscow menjelang pemilihan akhir krew 'ekspedisi' dan calon pengganti mereka.

"Risiko terbesar akibat berada dalam keadaan terpencil sebegitu lama ialah dari segi psikologi.

"Sudah tentulah hubungan antara krew tidak semestinya sentiasa harmoni, ada yang boleh menjalin hubungan baik dengan yang lain, ada yang tidak. Namun perkara utama ialah mereka mampu menjalankan tugas walaupun hubungan tidak begitu baik," kata penyelidik, Alexander Suvorov yang mengetuai eksperimen di IBMP.

Jadual harian sukarelawan akan dibahagikan kepada tiga, iaitu lapan jam untuk tidur, lapan jam bekerja dan lapan jam bersantai.

Pasukan tiga orang akan menghabiskan masa sebulan menaiki sebuah modul khas yang menandakan pesawat yang mendarat di Marikh, sementara dua krew lagi akan menghabiskan masa meneroka permukaan 'Marikh' itu sendiri.

Simulasi itu mengambil masa yang menyamai tempoh misi ke Marikh iaitu 250 hari untuk perjalanan ke planet tersebut, 30 hari di permukaannya dan 240 hari lagi untuk perjalanan pulang, kesemuanya berjumlah 520 hari.

Diet sukarelawan adalah sama seperti yang disediakan untuk angkasawan di dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan krew akan diberi bekalan makanan hanya sekali iaitu pada permulaan eksperimen, bermakna mereka perlu mencatu makanan mereka. - AFP

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...