terima kasih buat kalian semua..

Saturday, May 8, 2010

Suami kaki pukul sering lagak samseng

SERING kali bermain di fikiran kita, bagaimana seorang insan yang hidup pada zaman tamadun ini masih lagi berkelakuan seperti manusia tidak berhati perut, kasar dan begitu menaikkan tangan terhadap darah daging sendiri walaupun kesalahan yang dilakukan tidak berat.

Entah apa yang difikirkan dalam pemikiran si kaki pukul. Mungkinkah hati mereka begitu keras sehingga bagaikan sudah menjadi satu keseronokan dan kepuasan apabila melihat mangsanya itu menangis dan berteriak meminta simpati supaya tidak lagi dipukul bagaikan mereka benda tidak bernyawa.
Zila yang berusia akhir 30-an dan bekerja sebagai seorang akauntan di syarikat swasta berkata, sikap suaminya, Akmal yang cepat naik tangan setiap kali pulang dalam keadaan mabuk membuatkan wanita beranak dua itu nekad untuk memfailkan permohonan cerai secara fasakh.

Wanita itu mendakwa, masuk kali ini permohonan dikemukakan sudah tiga kali tertangguh dan mahkamah terpaksa mengeluarkan waran terhadap suaminya kerana tidak hadir untuk mendengar prosiding kes selain tidak diwakili mana-mana pihak.

“Mungkin itulah bayarannya buat saya yang dulu gemar menghabiskan masa di kelab malam dan menjalani kehidupan bebas. Hubungan kami bermula apabila sering bertembung di sebuah kelab malam terkemuka di ibu kota setiap kali saya menghabiskan masa malam minggu bersama kawan-kawan.

“Pada mula perkenalan kami, Akmal memberitahu dia seorang ahli perniagaan dan gaya hidupnya itu cukup membuatkan saya yakin dengan kata-katanya. Selain itu, dia juga tidak pernah menunjukkan sikap panas baran apatah lagi meninggikan suara setiap kali kami berselisih fahaman,” ketika ketika dihubungi, baru baru ini.

Jelasnya lagi, kerana terlalu tertarik dengan kelembutan dan kebaikan yang dilakonkan Akmal, akhirnya ikatan perkahwinan terjalin dan selepas itulah segala rahsia mengenai lelaki itu terbongkar.
Zila berkata, selepas beberapa bulan menjalani kehidupan rumah tangga dengan lelaki pilihannya itu, dia mula musykil dengan keadaan suaminya yang sering meminjam wang daripadanya dengan menggunakan alasan perniagaannya mengalami masalah kewangan.

“Pada mulanya saya tidak banyak bertanya dan hanya memberikan wang yang dimintanya kerana yakin dengan kata-kata manisnya. Tapi, selepas beberapa lama saya mula mengesyaki ada yang tidak betul dengan situasi itu dan mengambil keputusan untuk menerjah tempat kerjanya.

“Betapa terkejutnya saya apabila menerima berita bahawa Akmal bekerja sebagai pemandu peribadi kepada pemilik syarikat swasta yang terkemuka itu. Selama kami menjalani kehidupan bersama, saya tertipu dengan ceritanya yang disusun dengan teratur,” katanya dalam nada yang berang.

Menyambung ceritanya lagi, Zila berkata, demi menutup malu apabila soalan bertubi-tubi ditujukan kepada Akmal, lelaki itu dengan pantasnya menaikkan tangan dan melempang mukanya sekuat hati hingga lebam dan luka di bibir.

Terpaku ditampar oleh suaminya, Zila hanya mampu mendiamkan diri dan menangis sambil diperhati oleh anak sulungnya yang ketika itu berusia lima tahun dan tidak mengerti apa-apa. Tidak cukup dengan tamparan itu, anak gadisnya juga menjadi mangsa.

“Akmal sanggup melucutkan tali pinggang yang dipakainya lalu menyebat anak sulung kami yang sedang menangis kerana terkejut melihat tingkah laku ayahnya itu. Oleh kerana sayangkan puteri sulung kami, saya sanggup memeluknya dan membiarkan diri ini yang menjadi galang ganti dipukul.

“Tingkah laku Akmal menjadi semakin teruk, dia mula mabuk dan kerap mengambil wang saya tanpa izin selain suka memaksa untuk mengadakan hubungan kelamin bersama saya walaupun berada dalam keadaan sarat mengandung anak kedua,” katanya.

Kini, kerana terlalu lama memendam perasaan benci dan marah kepada lelaki itu, Zila yang pada mulanya enggan mendedahkan perkara itu kepada keluarga, memberanikan diri untuk menceritakan perkara sebenar sehingga membabitkan campur tangan ibu dan keluarga mentuanya.

“Saya tidak tahan melihat anak-anak saya terus didera sehinggakan mereka trauma dan takut kepada lelaki walaupun datuk mereka sendiri. Walaupun menyedari keadaan rumah tangga kami sudah mula menunjukkan tanda-tanda penamat, Akmal tetap tidak berubah dan cuba melarikan diri daripada berbincang.

“Kini, tidak kira apapun yang perlu dilakukan saya pasti mencari jalan untuk mendapatkan perceraian daripadanya. Dengan adanya gambar-gambar dan laporan polis, mungkin itu cukup untuk dijadikan bahan bukti terhadap keganasan yang dilakukannya jika dia enggan menceraikan saya,” katanya sebelum menamatkan perbualan.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...