terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 9, 2010

Terjunan pada kelajuan bunyi..


KEUPAYAAN badan manusia untuk menghadapi situasi ekstrem di ruang angkasa yang tidak pernah diterokai manusia hanya diketahui sekitar tahun 50-an apabila seorang wira tampil membuktikannya.

Kapten Joseph W. Kittinger menjadi manusia pertama yang menjawab persoalan sains itu setelah berjaya menerbangkan diri ke lapisan atmosfera tinggi dengan menggunakan kapsul belon udara pada Jun 1957.

Bukan hanya mencapai ketinggian 29,500 meter malah dari lapisan stratosfera itu Kittinger mencipta rekod penerjunan paling tinggi yang pernah dilakukan manusia. Terjunan angkasa lepas yang dinamakan Manhigh I.

Keberanian dan rekod yang dicipta oleh bekas tentera itu kemudian dipadam oleh Mejar David Simons pada tahun yang sama melalui terjunan Manhigh II dari ketinggian 30,900 meter.

Sehingga kini, rekod Kittinger dan Simons sudah bertahan hampir 50 tahun tanpa diperbaharui sehinggalah kemunculan seorang lagi hero yang akan melakukan terjunan jauh lebih tinggi.

Dari ketinggian 36 kilometer

Itulah kegilaan yang akan dibuktikan oleh Felix Baumgartner melalui projek terbaru yang dinamakan Red Bull Stratos. Terjunan akan dilakukan dari ketinggian kira-kira 36,500 meter dengan kelajuan graviti 1,000 kilometer sejam (km/j).

Seperti juga Kittinger dan Simons, penerbangan Baumgartner sehingga ketinggian 36 kilometer (menegak) itu juga akan menggunakan kapsul belon udara sebelum menjunam ke bumi dengan posisi kepala ke bawah.

Pada sudut dan ketinggian itu, kelajuan dikatakan akan mencapai kelajuan Mach 1 sekali gus mengatasi kelajuan bunyi. Pada tempoh kemuncaknya, kelajuan maksimum mungkin mencapai 1,700 km/j .

Mengikut fizik, terjunan dari lapisan stratosfera itu akan menghasilkan lima kali ganda kelajuan berbanding terjunan bebas (freefall) ahli payung terjun biasa iaitu selaju 200 km/j.

Bagi Baumgartner, terjunan dari paras empat kali ganda ketinggian penerbangan pesawat komersial itu adalah pertaruhan terpenting dalam hidupnya.

Sekiranya berjaya, beliau akan mencipta beberapa rekod baru antaranya penerbangan solo paling tinggi, terjunan bebas paling tinggi dan terpantas.

"Rekod dunia hanyalah sebahagian daripada pencapaian tapi saya lebih teruja untuk memberikan sumbangan kepada penyelidikan dunia angkasa.

"Sekiranya terjunan Red Bull Stratos ini berjaya, kami akan berkongsi data yang tidak pernah diperolehi oleh manusia," ujar warga Austria berusia 41 tahun itu.

Projek tajaan Red Bull dengan kerjasama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang dijangka dilakukan pada tahun ini itu bertujuan menguji tahap ketahanan fizikal dan psikologi manusia di ruang angkasa.

Dalam mencapai impian itu, pasukan Red Bull menggabungkan segala kepakaran meliputi kejuruteraan, pembangunan jaket tekanan, perubatan angkasa dan teknologi belon udara.

Individual utama di sebalik 'misi mustahil' itu termasuk pakar angkasa Art Thompson dan pemegang rekod terdahulu, Kittinger. Bagaimanapun Kittinger yang merupakan penasihat kepada pasukan Red Bull Stratos secara peribadi tidak memberikan sebarang jaminan kepada terjunan itu.

Ujarnya, percubaan yang akan dilakukan oleh Baumgartner adalah sesuatu yang baru dan sangat luar biasa. Ia boleh mengundang maut walaupun dengan hanya sedikit kesilapan.

"Beliau bakal menjadi manusia pertama yang akan merasai kelajuan Mach 1 dengan menggunakan badan sendiri.

"Sehingga kini tiada saintis yang tahu risiko sebenar daripada terjunan setinggi itu," jelasnya.

Sementara itu, beberapa terjunan percubaan telah dilakukan pada paras 7,600 meter dan ketinggian seterusnya akan ditambah berperingkat-peringkat.

Menurut Baumgartner, sebahagian daripada latihan rutin yang dilalui adalah menghabiskan masa di dalam bilik tekanan untuk menguji dan membiasakan diri dengan sut yang merupakan alat pelindungan diri paling utama di badannya.

Sebagai keselamatan, pakaian yang menyalurkan oksigen itu dilengkapi dua payung tambahan yang akan beroperasi secara automatik semasa kecemasan. Bagi memudahkan kerja pemantauan lokasi dan pemeriksaan tahap kesihatan, sut tersebut juga dilengkapi dengan set telekomunikasi.

Namun begitu, berada di dalam sut 'paling mahal' itu bagi Baumgartner bukanlah satu kerja mudah dan selesa.

"Memakai sut yang berat dengan topi menutupi sebahagian besar sudut penglihatan selama hampir tiga jam menuju ke angkasa adalah perkara yang paling saya benci.

"Ia adalah tempuh yang paling panjang dan membosankan yang hanya berakhir sekiranya saya meninggalkan kapsul," ujarnya.

Baumgartner yang berkecimpung di dalam sukan terjun payung sejak berusia 16 tahun sebelum ini dikenali dengan kejayaan penerbangan sayap karbon Red Bull menyeberangi Selat Inggeris dari Dover, England ke Calais, Perancis.

Oleh ABD. HALIM HADI

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...