terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 30, 2010

Tony Stark dalam Iron Man..Watak Siapa Sebenarnya..


RAMAI daripada anda mungkin sudah menonton wayang The Iron Man 2. Tentu anda sudah kenal watak utama yang dilakonkan oleh Robert Downey Jr. iaitu Tony Stark. Walaupun Iron Man itu sememangnya rekaan komik semata-mata tetapi watak Tony Stark adalah disandarkan kepada seorang genius yang benar-benar wujud!

Memperkenalkan Elon Musk. Pelik nama ini. Untuk seorang lelaki kulit putih berasal dari Afrika Selatan, tiada yang pelik sangat sebenarnya pada nama itu. Tetapi bagaimana dia dikaitkan dengan watak Tony Stark?

Pertamanya, dia terbabit dalam ledakan Internet, malah mencipta kekayaan pertamanya menerusinya. Kemudian dia terlibat pula dalam mencipta roket untuk bukan sekadar ke angkasa lepas tetapi sasaran ke Planet Marikh. Musk juga menarik perhatian penggemar automotif dengan model kereta elektriknya, Tesla Roadster.

Paling terbaru, Musk termasuk dalam senarai majalah Time '100 orang yang paling bakal memberi kesan kepada global pada tahun 2010'. Teristimewa, artikelnya ditulis sendiri oleh pengarah filem Iron Man 2 tersebut iaitu Jon Favreau yang mengesahkan Musk menjadi inspirasi kepadanya dalam penghasilan filem yang hangat ditayangkan sekarang. Selain itu, Musk juga dilapor membenarkan pejabat SpaceX dijadikan lokasi penggambaran babak Stark membina baju perisainya.

Ternyata watak Tony Stark adalah personifikasi kepada Elon Musk iaitu seorang jutawan tetapi pada masa yang sama, adalah jurutera luar biasa yang terbabit dalam bidang roket, angkasa lepas, kereta elektrik, tenaga solar dan Internet. Manusia pintar sebegini, hanya muncul dalam bilangan kecil setiap satu generasi.

Malah, membaca kisah latar belakangnya, terasa lebih menyeronokkan dan lebih merangsang motivasi berbanding membaca kisah Bill Gates. Satu daripada artikel panjang yang cuba menghuraikan keperibadian Musk ialah tulisan Andrew Corsello dalam majalah GQ terbitan Februari 2009.

Menurut Corsello, pada usia enam tahun lagi, Musk rajin membaca dan tidak melupakan fakta-fakta yang diserapkan ke mindanya. Adiknya akan bertanya 'berapa jauhkah agaknya tinggi bulan di angkasa'. Kakaknya menjawab 'satu bilion kilometer!. Dan Musk, tersenyum dan berkata, 'sebenarnya, jaraknya ialah 384,400 km'. Kedua-dua adik beradiknya tersentak dan merenungnya dan Musk menyangka kesenyapan itu 'jemputan' untuk bercakap lagi, berkata, 'pada kadar purata'.

Berpengaruh

Majalah Esquire pula pada keluaran Oktober 2008 menyenaraikan Musk dalam 75 orang paling berpengaruh di dunia. Di situ, dia menjelaskan mengapa dirinya memberi tumpuan besar kepada usaha penerokaan angkasa lepas. Secara ringkasnya, Musk berhujah kemungkinan dunia berdepan dengan risiko terkena tahi bintang atau letusan gunung berapi raksasa yang akan memusnahkan manusia di muka bumi. Jalan paling wajar, ialah meneroka kehidupan di luar Bumi.

Atas alasan ini, dia memulakan SpaceX. Musk berazam untuk membawa manusia ke angkasa lepas dengan menghasilkan teknologi roket dan pada masa yang sama, memastikan kos membawa manusia ke angkasa lepas boleh dinikmati ramai.

Masih belum jelas siapa Musk? Pada usia 24 tahun, Musk menghentikan pengajian peringkat doktor persuratan (Ph.D) dalam bidang fizik di universiti tersohor Stanford tidak sampai 48 jam selepas mendaftarkan diri pada 1995. Dia memilih untuk menjadi pereka perisian komputer menerusi syarikat Zip2 dan empat tahun kemudian menjualnya pada harga AS$307 juta kepada Alta Vista, satu bahagian dalam Compaq.

Hasil daripada jualan itu, Musk bersama beberapa rakan melancarkan X.com iaitu syarikat perkhidmatan kewangan dengan kaedah pembayaran menerusi e-mel. Pada tahun 2000, X.com bercantum dengan Confinity, sebuah syarikat yang asalnya ditubuhkan bagi menyalurkan wang antara perkakasan Palm Pilot dan entiti yang digabungkan menerusi pembayaran e-mel menerusi PayPal, yang dimiliki oleh Confinity. Pada Februari 2001, X.com menukar namanya kepada PayPal. Pada Oktober 2002, PayPal dibeli oleh eBay pada harga AS$1.5 bilion dalam bentuk saham. Sebelum jualan itu, Musk sebagai pemegang saham terbesarnya, memiliki 11.7 peratus ekuiti.

Meneruskan cita-citanya, Musk melancarkan syarikat ketiganya, Space Exploration Technologies (SpaceX) yang kini dia menjadi Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi. SpaceX membangun dan mengeluarkan roket ke angkasa lepas.

Pada 23 Disember 2008, SpaceX diberi kontrak bernilai AS$1.6 bilion oleh Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) untuk melancarkan 12 penerbangan roket angkasa lepas Falcon 9 dan Dragon ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bagi menggantikan Space Shuttle yang dihentikan perkhidmatan tahun ini.

Di peringkat permulaan, roket milik Musk itu berfungsi mengangkut kargo manakala angkasawan menaiki roket Rusia, Soyuz. Pada masa ini, Musk masih melobi untuk mendapat kontrak mengangkut angkasawan AS ke ISS.

teknologi

Kalau kita berhenti sejenak dan fikirkan mengenai industri angkasa lepas. Selama ini, ia dikuasai oleh syarikat gergasi seperti Northrop Grumman, Lockheed Martin, Boeng dan sebagainya. Malaysia sendiri menggunakan teknologi firma Perancis untuk melancarkan satelit Measat. Tetapi SpaceX ini lahir sebagai sebuah 'syarikat baru bermula' tetapi kerana ia didokong oleh manusia pintar seperti Musk, era angkasa lepas diteroka oleh syarikat biasa, sudah bermula.

Sebagai penggemar kereta, saya mengaku pertama kali terbaca mengenai Musk bila dia memperkenalkan kereta elektrik Tesla Roadster pada Oktober tahun lalu. Tatkala persoalan mengenai pentingnya industri automotif mencari sumber alternatif kepada bahan api tradisional iaitu minyak petrol dan kemudian terdengar keluhan pembuat kereta bahawa kos melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke atas kereta elektrik sangat tinggi, tiba-tiba Musk muncul dengan Tesla Roadster.

Lebih memalukan industri automotif global, Musk bukan orang yang dikenali pun sebagai 'orang automotif' seperti Carlos Ghosn misalnya. Namun, kemunculannya bersama Tesla adalah manifestasi wawasannya untuk mewujudkan persekitaran lebih hijau kepada Bumi. Malah, Tesla disasarkan untuk menghasilkan kenderaan elektrik yang mampu dimiliki oleh ramai orang. Tesla Roadster mungkin sedikit premium tetapi Musk berhujah bahawa harganya yang mahal bertujuan menampung kos R&D untuk model untuk pengguna umum kelak. Sudah ada majalah automotif menyamakan wawasan Musk dengan Henry Ford yang menghasilkan Model T untuk kegunaan rakyat umum.

Lebih menarik, Musk menawarkan kepada syarikat-syarikat pengeluar kereta supaya menggunakan enjin elektrik yang dikeluarkan oleh Tesla Motors supaya boleh menjadi pemangkin kepada R&D kereta elektrik masing-masing. Harap Proton mengambil perhatian dalam hal ini. Talian hubungan Tesla Motor boleh diperolehi di www.teslamotors.com

Nanti bila Elon Musk berkunjung ke Malaysia, jangan lepaskan peluang untuk bertemu dan mendengar ceramahnya. Ia pasti menjana semangat untuk memajukan diri tanpa sekatan waima ke angkasa lepas sekali pun!

oleh: JOHARDY IBRAHIM

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...