terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, May 5, 2010

Usah jadikan penjualan saham Maika sekadar gimik politik MIC

PADA 12 Mac 1984, sayap pelaburan MIC, Maika Holdings Berhad (Maika) menggesa masyarakat India menggemblengkan usaha mengumpul dana bagi membolehkan masyarakat itu bersaing dengan kaum lain supaya tidak ketinggalan menikmati pembangunan ekonomi yang pesat.

Sambutan memang di luar dugaan apabila 50 juta unit saham pada harga RM1 sesaham menjadi rebutan dalam sekelip mata sehingga memaksa MIC memohon menambah kadar modal berbayar kepada RM100 juta. Apabila jualan saham berkenaan ditutup, 66,459 individu melabur RM106.21 juta.
Lebih 80 peratus daripada mereka memiliki kurang 6,500 saham yang dibeli menggunakan hasil jualan hartanah, ternakan, menggadai barang kemas milik keluarga atau menggunakan wang simpanan bagi pendidikan anak.

Namun, seperti kata pepatah, ‘ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’ kerana dalam masa beberapa tahun saja, saham Maika merudum dan terus merudum, sama ada ketika negara menikmati pembangunan ekonomi pesat atau ketika krisis.

Pada 1997, pelabur Maika menarik nafas lega kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dibina di Sepang dijangka dapat meningkatkan nilai hartanah seluas 400 hektar milik Maika, Ladang Tumbok, berhampiran lapangan terbang baru itu.

Bagaimanapun, hampir semua hartanah di persekitaran KLIA bagai dihujani emas kecuali Ladang Tumbok yang didakwa perlu dijual dengan menanggung kerugian, sekali gus menguburkan sama sekali saki baki harapan pelabur Maika untuk mendapatkan semua wang mereka.

Justeru, jangan hairan apabila pelabur Maika meminta Datuk Seri Najib Razak campur tangan secara langsung bagi menyelesaikannya apabila beliau menyuarakan hasrat mahu melihat isu saham itu selesai secepat mungkin ketika berkempen untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor tempoh hari.
Perdana Menteri digesa bertindak proaktif dalam isu berkenaan selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) supaya ura-ura Pengerusi Eksekutif Westports Malaysia Sdn Bhd (Westport), Tan Sri G Gnanalingam untuk menjadi penyelamat Maika tidak terkubur sebagai gimik pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Sejurus sebelum pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April lalu, Gnanalingam menerusi anak syarikatnya, G Team Resources, menawar untuk membeli semua saham Maika pada harga RM106 juta dan memberi jaminan dapat membayar balik semua wang pelaburan pemegang sahamnya dalam tempoh tiga bulan, mulai 1 Mei ini. Bagaimanapun, ada pemilik saham mempertikai keputusan Lembaga Pengarah Maika mempertimbangkan tawaran Gnanalingam kerana ada syarikat lain yang pernah membuat tawaran lebih tinggi sebelum ini.

Antara lain, Pasukan Bertindak Pemilik Saham Maika mendakwa modal berbayar Maika ialah RM125 juta, tetapi Gnanalingam menawarkan RM106 juta atau 85 sen sesaham berbanding harga jualan asal RM1 sesaham.

Rasional menerima tawaran itu dipersoalkan kerana sebelum ini Salcon Berhad (Salcon) menawarkan RM129 juta atau RM1.75 sesaham dan syarikat milik jutawan Tan Sri Ananda Krishna, Usaha Tegas, menawarkan RM149 juta atau RM2.01 sesaham.

Tawaran Salcon dibekukan berikutan perintah mahkamah daripada pemegang saham terbesar Maika, Koperasi Nesa Pelbagai Bhd (Nesa) yang membantah kerana aset terbesar Maika, Oriental Capital Assurance Bhd (OCAB) tidak ditentukan oleh jurunilai bebas.

Namun, tindakan Nesa yang diketuai bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam dikatakan lebih berunsur politik berbanding keikhlasan untuk menjaga kepentingan pemilik saham Maika berikutan perselisihan faham beliau dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Nesa juga mengesyorkan OCAB dijual secara tender terbuka kerana pada masa itu ada dua lagi syarikat, masing-masing dari Eropah dan Australia yang berminat mengambil alih syarikat insurans terbabit.

Sementara itu, tawaran Usaha Tegas pula dilaporkan ditolak Maika kerana tidak bersetuju dengan beberapa prasyarat ditetapkan Usaha Tegas bagi meneruskan urus niaga terbabit. Bagaimanapun, prasyarat itu tidak didedahkan.

Nilai modal berbayar OCAB ialah RM100 juta dan berdasarkan laporan kewangan berakhir pada 31 Disember 2008, nilai aset bersih (NTA) syarikat itu yang diaudit ialah RM103 juta. Pelaburan Maika dalam saham OCAB ialah 74.165 peratus atau 74,174,640 saham dan ia adalah syarikat yang menguasai OCAB kerana memiliki lebih 51 peratus ekuiti syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif Maika, S Vell Paari, yang juga anak Samy Vellu, turut menjadi ahli lembaga pengarah OCAB.

Justeru, sudah tentulah ramai menganggap tidak masuk akal bagi Maika menerima tawaran Gnanalingam sedangkan ada syarikat lain, termasuk di dalam dan luar negara yang sanggup membuat tawaran lebih menarik.

Persoalannya, kenapa Maika enggan menawarkan saham OCAB menerusi tender terbuka kerana mungkin mendapat tawaran lebih tinggi berbanding RM149 juta ditawarkan Usaha Tegas dan pemilik saham Maika masih boleh mendapat sedikit keuntungan.

Walaupun selepas ditolak hutang Maika berjumlah RM30 juta, baki RM120 juta sudah tentu memuaskan hati pelabur yang sudah lebih 20 tahun merana berbanding Ketua Pegawai Eksekutifnya yang menikmati imbuhan bulanan RM15,000.

Penganalisis pasaran saham berpendapat premium paling minimum yang perlu dibayar untuk menjadi pemegang saham utama Maika dan OCAB ialah 50 peratus daripada NTA OCAB berjumlah RM103 juta dan harga jualan paling minimum yang boleh dipertimbangkan bagi Maika dan OCAB ialah RM150 juta.

Kesimpulannya, tawaran RM106 juta daripada Gnanalingam itu masih lagi menarik kepada pelabur Maika jika ia menjadi kenyataan, tetapi sama ada janji itu akan dikota atau sebaliknya masih menjadi tanda tanya sampai sekarang.

Malah, selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor dimenangi calon BN, P Kamalanathan, isu saham Maika terus sepi tanpa khabar berita baik daripada Gnanalingam yang beriya-iya mahu membelinya atau BN sendiri, khususnya MIC.

Begitu yakinkah mereka untuk mengabui mata pengundi India sekali lagi pada pilihan raya akan datang. Jangan sampai menang sorak sekarang, tetapi kampung tergadai pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Oleh Magendran Rajagopal

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...