terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, May 11, 2010

Waktu bekerja guru, pensyarah tidak sama dengan orang lain

SAYA tertarik dengan ulasan pelbagai pihak berhubung aduan Pensyarah Penat dalam ruangan ini baru-baru ini. Saya mengambil masa untuk mengulasnya kerana mahu memahami di sebalik kemelut tersurat dan tersirat dalam diri Pensyarah Penat.

Sebagai bekas guru dan pensyarah, saya memahami apa yang diluahkan Pensyarah Penat itu. Beliau tidak merungut beban kerja, tetapi mengadu mengenai masa bekerja dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang, kemudian mengambil masa lebih satu jam untuk sampai di rumah dan baki masa yang ada hendak digunakan untuk merehatkan minda, bersama keluarga dan akhir sekali menyelesaikan kerja sekolah di rumah.

Mungkin larut malam baru boleh tidur, dan keesokan hari seawal pagi lagi sudah bangun untuk ke sekolah atau kuliah.

Pada saya, waktu bekerja bagi guru dan pensyarah ada perbezaan, dalam seminggu sekurang-kurangnya tiga atau empat hari guru masuk kerja jam 7.30 pagi, pulang jam 1 tengah hari, manakala selebihnya masuk jam 7.30 pagi hingga jam 4 petang kerana aktiviti kokurikulum.

Bagaimanapun, masa bekerja pensyarah adalah penuh, dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang setiap hari, lima hari seminggu dan kadang-kadang enam hari satu minggu. Ini yang diluahkan oleh Pensyarah Penat.

Soal pengisian kerja tidak dipertikai kerana dia memilih untuk membabitkan diri dalam kerjaya itu, tetapi dia hanya memerlukan masa berkualiti supaya mindanya sentiasa sihat dan cergas, supaya apabila kesihatan baik, otak cerdas, minda cergas, beliau dapat mengajar dengan sempurna. Bahkan anak murid pun menerima kesan amat baik daripada pembelajaran itu.

Saya sedih dengan pelbagai ulasan yang dilontarkan terhadap aduan Pensyarah Penat. Ada yang menuduh Pensyarah Penat itu manja, tindakannya memalukan profesion pensyarah dan macam-macam lagi.
Namun saya percaya yang memberi ulasan itu bukan golongan yang berada sama situasi dengan dialami serta dihadapi Pensyarah Penat. Mungkin mereka hanya penganggur, bekerja sendiri, pesara dalam pelbagai bidang kerjaya sebelum ini dan golongan yang gagal mendapat tawaran sebagai pendidik.

Membandingkan tugas guru atau pensyarah dengan kerjaya lain adalah tidak wajar. Kebanyakan mereka tidak ada kerja yang harus disiapkan di rumah. Kalau ada pun, bukan setiap hari seperti dialami guru atau pensyarah. Kerjaya mereka habis atau bersambung di pejabat, tidak di bawa ke rumah, sebab itu mereka seronok membuli dan menyindir kerjaya pendidik.

Berhubung dakwaan gaji pendidik tinggi dan mendapat elaun beribu-ribu ringgit, itu tidak tepat. Kalau ada pun, ia dinikmati oleh pendidik yang mengajar di pedalaman seperti Sabah dan Sarawak. Sebagai seorang yang sudah pencen, saya mencadangkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran, apa salahnya mengkaji semula waktu mengajar atau bekerja bagi golongan ini.

PENSYARAH PENCEN,
Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...