terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 16, 2010

Wanita dibolehkan bermusafir tanpa ditemani mahram jika jalan aman

PADA masa ini kita dapat melihat wanita Islam bekerjaya banyak terbabit dengan pelbagai bidang seperti perniagaan hingga kadang kala terpaksa ke luar negara. Soalan saya apakah hukum wanita bekerja dan bagaimana hukum musafir bagi wanita sebegini?
Sobirin, Selangor

Jawapan:
KERJAYA golongan wanita yang pertama dan paling agung serta tidak perlu dipertikaikan, adalah mendidik generasi baru. Itulah kerjaya yang Allah SWT siapkan mereka untuk melaksanakannya baik dari segi fizikal mahupun spiritual. Atas alasan ini, tidak wajarlah beliau disibukkan daripada melaksanakan tugas ini oleh kesibukan material atau seni.

Ini bagaimanapun tidak bermaksud kerjaya seorang wanita di luar rumahnya adalah haram di sisi syarak. Tidak ada seorang pun yang berhak mengharamkan sesuatu yang sabit sesuatu perkara dan tindakan itu adalah harus sebagai mana yang maklum ketahui.

Berdasarkan asas ini, kerjaya seorang wanita itu sendiri adalah harus, malah kadang kala menjadi satu tuntutan apabila diperlukan seperti perempuan janda atau yang sudah diceraikan oleh suaminya atau tidak menemui jodoh, yang tidak mempunyai sumber pendapatan dan juga tiada orang yang menanggungnya sedangkan beliau mampu melakukan pekerjaan yang boleh menyelamatkan dirinya daripada meminta daripada orang ramai. Tidak syak lagi, wanita seperti ini diharuskan bekerja.
Mengenai perempuan bermusafir tanpa ditemani mahram, ada sebuah hadis dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang perempuan tidak boleh musafir kecuali berserta dengan muhrimnya.”

Alasan tegahan atau Illah ini ialah kerana bimbang kepada keselamatan perempuan yang bermusafir bersendirian tanpa ditemani oleh suami atau mahram, kerana ketika itu orang bermusafir menaiki unta atau keldai. Pada umumnya mereka akan merentasi padang pasir yang luas dan tidak ada sebarang kampung dan bangunan. Dalam keadaan seumpama ini, walaupun perempuan itu tidak ditimpa bencana ke atas dirinya, tetapi namanya menjadi buruk.

Apabila keadaan sudah berubah seperti zaman ini, di mana orang bermusafir menaiki kapal terbang yang penumpangnya lebih 100 orang atau menaiki kereta api yang penumpangnya ratusan orang, tidak lagi dibimbangi mengenai keselamatan wanita, apabila mereka bermusafir bersendirian. Menurut Syarak, bermusafir dalam keadaan ini tidak ditegah. Perbuatan ini juga tidak bertentangan dengan hadis daripada ‘Adi bin Hatim dalam Sahih al-Bukhari yang bermaksud: “Akan berlaku seorang wanita yang bermusafir keluar dari al-Hira’ menuju ke Kaabah dan suaminya tidak bersamanya.”

Hadis ini pada hakikatnya untuk memberi pujian kepada Islam yang akan tersebar. Cahayanya akan menular ke seluruh alam dan keamanan yang ada di atas muka bumi. Jadi harus bagi perempuan bermusafir tanpa disertai mahram. Ini adalah pandangan Ibn Hazm.

Tidak syak lagi ada ulama yang mengharuskan perempuan mengerjakan haji tanpa mahram, tanpa suami sekiranya dia pergi bersama beberapa orang perempuan yang dipercayai. Saidatina ‘Aisyah dan beberapa orang isteri Rasulullah SAW yang lain pada zaman Saidina Umar sudah mengerjakan haji tanpa ada mahram tetapi mereka bersama Saidina Uthman dan Abd Rahman bin Auf. Demikianlah yang tercatat dalam Sahih al-Bukhari.

Ada ulama berpendapat, cukup dengan ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai. Sesetengah ulama lain menyatakan seseorang perempuan itu boleh musafir seorang diri jika jalannya aman. Dalam kitab al-Muhazzab daripada kalangan fuqaha’ as-Syafie mengakui kebenaran ini. Sesetengah fuqaha’ as-Syafie mengkiaskan dengan musafir dalam semua hal. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...