terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, June 1, 2010

40% kuota kaum lain ditolak


Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru menolak cadangan pemberian 40 peratus kepada bukan Melayu untuk memiliki hartanah di kawasan itu.

Malah, Setiausaha Kehormatnya, Shamsuri Suradi berkata, tidak sepatutnya wujud cadangan tersebut kerana tanah di situ telah dikhaskan untuk orang Melayu menerusi Undang-Undang dan Undang-Undang Kecil Kampung Baru yang sedia ada.

"Ia jelas menyebut mengenai orang-orang yang boleh menduduki tanah di sini adalah orang Melayu yang berbahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat resam orang Melayu.

"Justeru, bagaimana istilah 40 peratus pemilikan hartanah di sini diberikan kepada kaum lain?," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Shamsuri mengulas Pelan Cadangan Konsep dan Kaedah Pelaksanaan Pembangunan Kampung Baru yang dikemukakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada Sabtu lalu..

Dalam perjumpaan tersebut, Raja Nong Chik mencadangkan untuk memberi kuota 40 peratus kepada bukan Melayu memiliki hartanah di kawasan berkenaan untuk memaksimumkan nilai hartanah di situ.

Dalam masa yang sama, Raja Nong Chik juga memberi jaminan pemberian kouta tersebut tidak akan menjejaskan hak pemilikan tanah orang Melayu.

"Cadangan pembangunan yang dikemukakan oleh menteri pada hari tersebut dibuat bukan atas kehendak penduduk.

"Memang kami mahukan pembangunan semula dibuat di Kampung Baru, tetapi bukan dengan memberikan 40 peratus hak pemilikan tersebut kepada kaum lain.

"Malah perjumpaan sebelum ini, juga tidak pernah menyebut akan membuka pemilikan hartanah kepada orang bukan Melayu.

"MAS akan merujuk perkara ini kepada Sultan Selangor sebelum mengemukakan sebarang cadangan balas kepada pihak kementerian berkenaan," katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa cadangan lain turut dikemukakan dalam perjumpaan menteri bersama penduduk Kampung Baru.

Antaranya, menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru di bawah Akta Parlimen yang bertanggungjawab untuk melaksana, menyelia dan mengawal pembangunan Kampung Baru.

Selain itu, cadangan supaya dilibatkan penyertaan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dengan tujuan untuk menjaga dan mengekalkan hak dan kepentingan orang Melayu.

Kampung Baru juga dicadang dibangunkan melalui konsep pembangunan semula secara komprehensif yang melibatkan penukaran zon guna tanah kepada Perdagangan Pusat Bandar Raya (CCC).

Turut dicadangkan ialah melantik Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemaju utama untuk melaksanakan pembangunan Kampung Baru dan menggalakkan GLC menjadi pemilik atau penyewa utama hartanah di Kampung Baru.

Oleh Ardyhansah Amat

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...