terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 3, 2010

Bapa kecewa kad OKU anak tidak laku


Seorang bapa kepada orang kurang upaya (OKU), Jamaludin Mahmud, 60, sedih apabila diminta membayar sepenuhnya bil perubatan anaknya yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Ini kerana kad pengesahan OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) kepada anaknya, Mohd. Zainudin, 35, seolah-olah tidak ada apa-apa makna atau keistimewaan.

Lebih mengecewakan ialah apabila kad OKU anaknya itu tidak diperakui oleh PPUM, malah mereka diminta mendapatkan pengesahan semula daripada pihak JKM.

Ketika ditemui, Jamaludin menjelaskan, jumlah bil perubatan tinggi yang diterima diakui menjadi sebab permohonan pengurangan diajukan kepada pihak PPUM.

Katanya, pemegang kad OKU seharusnya mendapat sedikit faedah atau pengurangan bil perubatan atau kemudahan lain yang dirasakan perlu untuk golongan berkenaan.

"Ini tidak, sudahlah saya tidak dilayan dengan baik, kad perakuan OKU anak saya turut dipertikaikan.

"Adakah ini cara pihak berkenaan melayan saya? Seharusnya saya mendapat sedikit keistimewaan selain meminta pihak yang terlibat mengkaji semula peranan kad OKU ini," jelasnya.

Dia berkata, oleh kerana tiada pengurangan diberikan, bil sebanyak kira-kira RM4,000 itu kini terpaksa dibayar secara ansuran daripada wang JKM yang diterima setiap bulan oleh anaknya.

"Apakan daya, hendak tidak hendak, terpaksalah saya menanggung hutang bil perubatan ini walhal anak saya adalah seorang OKU yang sewajarnya mendapat sedikit keistimewaan.

"Kini saya mengharap wang bantuan setiap bulan untuk membayar secara ansuran bil hospital yang tertunggak itu,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...