terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, June 15, 2010

Benarkah keselamatan di pelabuhan kita longgar???


SAYA merasa terpanggil untuk turut berbicara mengenai kapal-kapal dagang Israel yang dibenarkan memasuki Pelabuhan Klang.

Saya adalah salah seorang ejen perkapalan yang setiap hari berurusan di pelabuhan itu. Saya cuba berkongsi pengalaman dengan pembaca setakat mana yang saya tahu.

Memang benar apa yang dipersoalkan dalam kolum Cuit pada 9 Jun 2010 yang mempersoalkan kehadiran kapal Israel di Pelabuhan Klang sedangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan mereka.

Saya ingin jelaskan, kapal-kapal milik Zim Lines yang masuk ke pelabuhan bukannya membawa kargo terus dari Israel ke Malaysia. Kebanyakannya kapal tersebut membawa kargo dari negara lain untuk ke Malaysia atau kargo transit.

Tentang dakwaan kapal Israel mengibarkan bendera mereka di kapal-kapalnya semasa memasuki Malaysia, itu tidak boleh dielakkan. Apa yang didakwa oleh penulis benar.

Undang-undang IMO, setiap kapal wajib mengibar bendera negara di mana kapal tersebut didaftarkan sepanjang masa. Kapal juga wajib kibarkan bendera negara mana pelabuhan yang dimasuki mereka.

Contoh, kapal yang didaftarkan di Israel harus mengibarkan bendera negara mereka sepanjang masa di kapal tersebut. Apabila mereka ingin memasuki Pelabuhan Klang, maka mereka kena kibarkan satu lagi bendera iaitu bendera Malaysia sebaik sahaja pilot on board di pilot station sebelum kapal masuk untuk berlabuh di pelabuhan.

Semasa belayar keluar pula bendera Malaysia perlu diturunkan sebaik sahaja pilot away di pilot station manakala bendera Israel harus kekal berkibar selama-lamanya selagi kapal tersebut ada hayatnya.

Maknanya, jika kita tidak mahu kapal yang berdaftar di Israel mengibarkan bendera mereka di negara kita, maka kita tidak boleh benarkan mereka memasuki Pelabuhan Klang. Jika kita benarkan mereka masuk maka kita harus terima hakikat bendera Israel berkibar di negara kita.

Tidak tahulah pula saya jika Malaysia mempunyai satu perjanjian berasingan dengan IMO iaitu kapal yang berdaftar di Israel dibenarkan masuk tetapi tidak boleh kibar bendera mereka.

Saya sendiri boleh dikatakan hampir setiap hari melihat kapal-kapal Zim memasuki ke pelabuhan. Ada kapal milik Zim sendiri yang didaftarkan di Israel dan ada kapal negara lain yang mereka sewa dan gunakan nama Zim.

Kebanyakan anak-anak kapal mereka adalah warga Israel dan ada juga warga negara lain. Warga Israel tidak dibenarkan turun dari kapal sepanjang kapal berlabuh.

Tetapi dari apa yang saya lihat walaupun ada undang-undang tetapi ia sekadar undang-undang, penguatkuasaannya longgar.

Masih ada ruang lagi untuk warga Israel turun dari kapal kerana kecuaian pihak penguatkuasa kita terutamanya pihak pelabuhan sendiri.

Bukan niat saya hendak menuduh yang bukan-bukan tetapi sekadar mengingatkan satu sama lain.

Katakanlah kapal tersebut port staynya panjang 12,18,24 jam atau lebih. Warga Israel mempunyai kesempatan untuk keluar dari pelabuhan bagi tujuan ‘bersiar-siar’ di negara kita.

Mereka boleh menawarkan ejen-ejen tempatan dengan tawaran-tawaran yang lumayan untuk bawa mereka keluar dari pelabuhan dan masuk balik.

Ejen-ejen pula adalah muka biasa yang setiap hari dilihat oleh polis pelabuhan yang boleh keluar-masuk pelabuhan dengan cara mudah.

Sepanjang pengalaman saya, saya tidak pernah melihat depan mata saya sendiri polis pelabuhan menahan kenderaan yang membawa anak kapal keluar masuk dan memeriksa pasport mereka.

Sekadar berhenti buka bonet kereta, dan kadang-kadang mereka sekadar bertanya “kapal mana bang”? ejen jawab “kapal abc” , “Ok jalan”.

Ramai anak-anak kapal atau pelawat luar negara sering mengatakan pengurusan keselamatan di pelabuhan itu adalah yang paling longgar sekali. Tidak seperti di Singapura setiap orang yang ingin keluar masuk pelabuhan diperiksa dengan teliti dan rapi.

Di Singapura, sebungkus rokok dari atas kapal pun tidak boleh dibawa keluar dari pelabuhan. Kerana rokok-rokok tersebut adalah rokok yang tidak dibayar cukai. Pihak kastam mereka sangat tegas dalam perkara ini, jika dapat dikesan maka mereka kena bayar cukai berkenaan.

Tetapi di Malaysia lain pula jadinya. Malu saya mahu mendedahkannya di sini.

Begitulah longgarnya tahap keselamatan pelabuhan kita.

MATA-MATA GELAP

Pelabuhan Klang


No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...