terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 3, 2010

Cadangan kurangkan defisit bajet negara

SAYA ada beberapa cadangan bagi kerajaan mengurangkan defisit belanjawan negara sebelum bertindak menarik balik subsidi kepada rakyat. Kita biasanya memperuntukkan bajet yang besar untuk mengurus.

Langkah yang pertama ialah mengurangkan perbelanjaan pertahanan negara kerana Malaysia tidak berada di zon konflik. Jika pembelian senjata sangat-sangat diperlukan bagi tujuan mengganti peralatan yang telah usang, pembelian tersebut mestilah melalui pembelian terus daripada pembekal dan tidak melalui orang tengah.

Jika Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia boleh membeli kapal terbang terus daripada pengeluar kenapa tidak Kementerian Pertahanan.

Kedua, Kabinet mestilah bekerja secara kolektif. Jika Perdana Menteri membuat lawatan ke sebuah negara pastinya beberapa orang menteri, menteri besar, ahli Parlimen dan beberapa orang pegawai kanan akan turut serta.

Jika pun menteri-menteri tersebut turut serta kerana mewakili kementerian masing-masing membincang sesuatu isu atau menandatangani MOU misalnya, saya mencadangkan salah seorang daripada menteri yang turut serta mewakili kementerian lain. Jadi tidak perlu ramai menteri yang ikut serta.

Ketiga, saya mencadangkan duta-duta Malaysia di luar negara memainkan peranan yang lebih daripada sekadar menjadi wakil hubungan dua hala. Duta-duta boleh bertindak mewakili Kementerian Pelancongan serta kementerian-kementerian lain.

Jadi, apabila kita ingin mempromosikan makanan Malaysia di London misalnya, tak perlulah Menteri Pelancongan dan pegawai-pegawai kanannya pun pergi ke London. Duta Malaysia di United Kingdom bolehlah mewakili Menteri Pelancongan. Perbelanjaan yang boleh diselamatkan boleh menambah jumlah promosi.

Keempat, penerbangan menteri-menteri, menteri besar dan juga pegawai-pegawai kanan kerajaan selalunya diberikan taraf kelas pertama atau kelas perniagaan. Bagi yang kerap keluar negara mereka mendapat keistimewaan mengumpul 'frequent flyer points' yang diberikan oleh syarikat penerbangan.

Buat masa sekarang jumlah mata ini menjadi hak peribadi pegawai-pegawai tersebut. Saya mencadangkan mata-mata ini dikumpul dalam satu 'pool' yang boleh diguna untuk penerbangan urusan rasmi kerajaan bagi pegawai tersebut atau pegawai yang lain dalam satu kementerian/jabatan.

Saya pasti banyak lagi pebelanjaan yang boleh dikurangkan bagi menangani defisit bajet negara. Diharap Datuk Seri Idris Jala boleh mengadakan satu lagi 'Lab' untuk tujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

ESA ADAM

Bandar Sunway Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...