terima kasih buat kalian semua..

Monday, June 21, 2010

Contohi Australia kawal pintu masuk di lapangan terbang


BARU-BARU ini, saya serta beberapa orang usahawan dan juga wartawan menyertai lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ke Darwin, Australia. Ini bukan kali pertama saya ke Darwin kerana di sini adalah pintu keluar hampir 70 peratus ternakan lembu Australia ke seluruh dunia melalui pelabuhan di Darwin.

Setiap kali, saya mengunjungi Australia melalui lapangan terbang Darwin, pemeriksaan dan penelitian dilakukan terhadap saya. Ia tidak semudah seperti kedatangan pelancong asing ke negara kita, Malaysia.

Ketika di lapangan terbang LCCT lagi, saya sudah mengingatkan kepada semua ahli rombongan ke Darwin supaya tidak membawa bahan-bahan mentah termasuklah makanan dan minuman. Kasut juga harus bersih dan jujur dalam memberikan maklumat diri serta jumlah wang yang dibawa. Ini adalah kerana saya pernah ditahan hampir dua jam bersama beberapa orang kenamaan sebelum ini atas alasan, salah seorang daripada rombongan kami tidak bercakap benar sebelum ini dalam memberikan maklumat diri dan juga apa yang dibawa di dalam beg.

Setiap apa yang saya nyatakan itu menjadi bahan ketawa kepada ahli rombongan kami. Namun setelah ketibaan rombongan kami di lapangan terbang antarabangsa Darwin, masalah di bahagian imigresen sudah bermula yang mana setiap ahli rombongan atau setiap warga asing yang melalui pintu imigresen Australia, ditanya dengan pelbagai soalan. Jika jawapan agak meragui, mereka akan membawa pelawat tersebut ke satu bilik untuk disoal siasat.

Ia mengambil masa yang agak lama untuk tiba giliran ahli rombongan ini untuk sampai ke kaunter imigresen, sedangkan tidaklah ramai pelawat yang tiba pada malam itu. Setelah hampir satu jam menunggu, semua ahli rombongan ini sudah melepasi kawalan pertama.

Selepas kami mengambil beg pakaian, kami terpaksa beratur lagi untuk melepasi pemeriksaan kedua iaitu pemeriksaan oleh jabatan kastam dan juga jabatan keselamatan.

Kami ditanya beberapa soalan untuk setiap pemeriksaan dan diperiksa berulang kali termasuk pertanyaan jumlah wang yang dibawa, siapa rakan yang boleh dihubungi ketika di Australia dan apa jawatannya, bahan-bahan yang berada di dalam beg kami serta pertanyaan mengenai, apakah tujuan datang ke Australia?

Beberapa orang rakan media serta seorang yang bergelar ‘Datuk’ dari rombongan kami ini juga telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Soalan yang diberikan kepada usahawan (Datuk) tersebut ialah ‘kenapa tidak membawa beg (beg pakaian)?' Walaupun telah memberikan jawapan mengenai masalah bagasi yang bermula di Singapura, ia tidak diterima dan usahawan tersebut telah diminta ke sebuah bilik untuk disoal siasat.

Hampir 30 minit, barulah rakan media ini serta usahawan (bergelar ‘Datuk’) ini dibenarkan masuk ke ruang luar lapangan terbang. Beberapa suara keluhan mulai terdengar namun tidak siapa pun yang marah malah ada yang mengatakan, sepatutnya negara kita, (Malaysia) harus juga berbuat begini. Barulah kurangnya warga-warga asing yang ingin melakukan jenayah atau bercadang untuk menetap lama di negara kita, berfikir dua kali untuk masuk ke negara kita.

Dengan adanya kawalan ketat di setiap pintu masuk, dapatlah tumpuan anggota-anggota keselamatan negara (terutamanya polis) menumpukan penjagaan di pintu-pintu masuk darat dan laut secara lebih ketat kerana jenayah di bandar sudah semakin kurang kerana pemeriksaan ketat telah dibuat di pintu masuk negara.

Ia terbukti dan dapat dilihat di bandar Darwin, amat kurang anggota polis kelihatan di kawasan bandar. Saya yakin, anggota keselamatan ini sudah tahu tidak semudah itu penjenayah boleh masuk ke negara mereka. Masalah pendatang tanpa izin (menetap melebihi masa) juga sukar untuk berada di negara itu kerana ketegasan pegawai yang menjaga keselamatan negara mereka.

Tidak salah untuk kerajaan mencontohi Australia dan juga negara-negara Eropah lain, mengenai cara pengawalan ketat di setiap pintu masuk ke negara kita walaupun pelawat atau pelancong terpaksa mengambil masa yang lama untuk melepasi di setiap bahagian pemeriksaan.

Di India juga amat ketat pemeriksaannya terhadap pelancong asing. Saya juga merasa seperti penjenayah ketika pemeriksaan dibuat melalui pintu masuk New Delhi dan pintu keluar sebelum memasuki kapal terbang. Namun saya percaya, pihak keselamatan mempunyai niat yang baik iaitu ingin menjamin keselamatan negara mereka dan pelancong.

Para pelancong juga akan merasa lebih terjamin keselamatannya jika melihat kawalan pemeriksaan yang ketat terhadap setiap pelancong yang datang.

Pemimpin-pemimpin politik dan juga pegawai-pegawai kanan di bahagian keselamatan harus selalu membuat pemeriksaan mengejut ke setiap pintu masuk negara dan dari situ barulah dapat menilai sendiri kelemahan sistem pertahanan di pintu masuk negara. Cara pemeriksaan sedia ada harus diubah atau ditambah baik dan dapat dibuat segera sebelum kebanjiran pendatang asing di negara kita semakin berleluasa.

Di pihak imigresen pula, cubalah bertanya banyak sedikit soalan terhadap setiap pelancong yang memasuki negara kita terutamanya dari negara India, Indonesia dan juga Thailand. Pertanyaan termasuklah jumlah duit yang dibawa serta alamat tempat tinggal yang tepat untuk tujuan penyimpanan maklumat juga harus diwajibkan. Jika perlu, periksalah beg duit mereka, barulah kekhuatiran akan melanda setiap pelancong yang ingin menjadikan Malaysia sebagai tempat tinggal baru mereka secara tidak sah.

Lakukanlah sebelum masalah jenayah semakin berleluasa dan kebanjiran pendatang asing tidak dapat dikawal lagi.


Ampang, Kuala Lumpur

1 comment:

  1. Salam
    Betul tu, masa saya ke Melbourne pu gitu

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...