terima kasih buat kalian semua..

Friday, June 18, 2010

Jangan terlalu ghairah bangunkan Kg. Baru


KITA semua turut bersyukur malah berbangga setelah mendapat perkhabaran, semua pihak yang berkenaan telah mencapai persetujuan satu formula bagi membangunkan semula Kampung Baru. Sudah pasti dalam pemikiran kita semua, Kampung Baru yang dibangunkan semula itu nanti akan menjadi sebuah pusat dagangan di bandar raya Kuala Lumpur, seperti Suria KLCC atau Mid Valley Megamall.

Cuba kita berfikir sejenak, mampukah Kampung Baru dibangunkan sebagai pusat perniagaan?

Pertama, kita harus insaf bahawa projek pembangunan semula Kampung Baru ialah suatu projek perniagaan. Sebagai projek perniagaan, ia mungkin berjaya dan boleh juga gagal.

Oleh yang demikian, janganlah menjadi Mat Jenin, duduk membilang berapa ribu ringgit sekaki persegi kita akan peroleh daripada projek ini, walhal projek ini mungkin lengang tanpa pengunjung.

Apabila siap projek ini kelak, ia bukan bermakna kita sudah berjaya. Projek ini berjaya hanya jika semua ruang perniagaan di isi dengan peruncit dan pembeli, semua perniagaan yang dijual laku, setiap hari beribu-ribu pengguna akan mengunjung ke projek ini.

Di Kuala Lumpur, projek yang boleh kita kata sebagai berjaya ialah Suria KLCC, Mid Valley Megamall, One Utama, Sunway Pyramid.

Dalam pada itu pula, bagi komleks membeli-belah seperti Suria KLCC, Pavilion, Lot 10, 1 Utama, The Curve, saya suka nak tanya: Mana peruncit atau peniaga Melayu? Mana pembeli/pengunjung Melayu?

Pembeli Melayu selalu tertumpu di Jalan Tuanku Abbdul Rahman dan Masjid India sahaja. Apakah pengguna Melayu tak mampu nak masuk ke Suria KLCC atau Mid Valley?

Apakah Kampung Baru akan mampu menjadi seperti Suria KLCC atau akan menjadi satu lagi Masjid India?

Kita harus fikirkan semua ini, sebelum kita terlalu ghairah dengan pembangunan semula Kampung Baru.


Ampang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...