terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, June 1, 2010

Jual Ayam tak halal / Mempermainkan Akidah Org Islam...Korang nak Support lagi ke Co ni? -Peniaga saman Tesco RM1.6j


PULAU PINANG 31 Mei - Seorang peniaga makanan bersama empat ahli keluarganya menyaman sebuah pasar raya besar bagi menuntut ganti rugi RM1.6 juta kerana didakwa cuai untuk memastikan produk ayam segar siap diproses benar-benar halal mengikut syariat Islam.

Akibat kecuaian Tesco Stores (M) Sdn. Bhd. itu, mereka mendakwa mengalami trauma dan merasa berdosa kerana memakan serta menjual makanan berlaukkan ayam kepada pelanggan di restoran milik Raja Muzaffar Kamar Raja Busu di Astaka Gelugor, Gelugor di sini.

Raja Muzaffar Kamar, 46, selaku plaintif pertama menamakan ibu, Lijah Awang Kechik, 66; abang, Raja Kamar Idris, 47; kakak ipar, Norhayati Abdullah, 45, dan adik, Raja Teh Rahmah, 34, sebagai plaintif kedua hingga kelima.

Mereka menamakan Tesco Extra Sungai Dua yang merupakan cawangan Tesco Stores (M) Sdn. Bhd. sebagai defendan.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Badruzzaman & Kamal di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11 pagi.

Pihak plaintif menuntut ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi teladan RM500,000 dan ganti rugi teruk RM100,000 serta permohonan maaf secara terbuka kepada mereka.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, defendan gagal melindungi haknya sebagai pengguna dan penjual makanan kepada orang Islam sehingga menyebabkannya menjual masakan ayam yang diragui kepada pelanggan.

''Defendan tidak mengambil sebarang tindakan yang sewajarnya untuk memastikan produk ayam siap disembelih dan dijual di premis berkenaan benar-benar halal di sisi Islam terutama dari segi kaedah penyembelihan.

''Mereka juga telah cuai dan gagal memberi sebarang maklumat bagi membolehkan kami mengambil inisiatif tambahan untuk memeriksa dan memastikan ayam-ayam tersebut benar-benar halal,'' ujar plaintif.

Jelas Raja Muzaffar Kamar, pada 12 Mac lalu, beliau telah membeli tiga ekor ayam yang siap disembelih dan dibungkus dengan bungkusan berjenama HyFresh tertera logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dakwa beliau, mereka kemudian memasak ayam itu dengan sebahagiannya dimakan bersama-sama keluarga manakala bakinya dijual di premis perniagaannya.

Raja Muzaffar Kamar berkata, ketika hendak membuang sisa ayam itu, mereka mendapati kesan sembelihan pada leher ayam berkenaan mencurigakan di sisi Islam sebelum membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Beliau berkata, JHEAIPP kemudian membuat siasatan dan merampas ayam berjenama HyFresh di pasar raya itu kerana tidak disembelih mengikut kaedah ditetapkan Islam.

''Pada 31 Mac lalu, Jabatan Mufti Pulau Pinang mengeluarkan surat mengesahkan produk ayam berkenaan tidak disembelih mengikut ketetapan syariat Islam dan haram dimakan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...