terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 24, 2010

Kekalkan peperiksaan untuk nilai kematangan pelajar


CADANGAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR pada dasarnya memang baik. Tujuannya amat murni, dengan harapan agar guru dapat memberikan pendidikan yang tulen berdasarkan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di samping itu, pelajar pula dapat disemaikan dan dimantapkan dengan nilai mencari ilmu, mengukuhkan jati diri, bernilai murni dan pelbagai lagi aspek kehidupan yang akhirnya melahirkan insan kamil

Dewasa ini, apa yang kita lihat di kebanyakan sekolah, guru dan pelajar hanya bersungguh-sungguh mengajar dan belajar semasa anak didik ini berada di dalam kelas untuk peperiksaan saja. Pada masa inilah guru mengadakan kelas tambahan, pihak pentadbir melaksanakan pelbagai program peningkatan akademik, manakala ibu bapa memberikan perhatian kepada anak mereka yang bakal menghadapi peperiksaan

Namun, bagaimana pula halnya dengan kelas yang pelajarnya tidak menduduki peperiksaan? Terlalu kurang program malahan kelas tambahan jarang diadakan. Ibu bapa pula kurang memberi perhatian kepada anak ini kerana tiada peperiksaan awam yang harus ditempuhi. Oleh itu, jika sepanjang 11 tahun pelajar berada di sekolah dan hanya akan menduduki peperiksaan SPM saja, bayangkan apa yang akan berlaku terhadap pelajar dari Tahun Satu hingga ke Tingkatan Empat? Yakinlah, komitmen semua pihak akan berkurangan untuk memberi didikan yang sewajarnya kepada anak didik ini. Saya yakin, niat Muhyiddin merangkap Menteri Pelajaran agar semua pelajar dapat menimba ilmu sebanyak mungkin di sekolah tanpa terlalu bergantung kepada latihan menjawab soalan pada sepanjang tahun. Apa yang penting dalam sistem pendidikan kita ialah mengurangkan kandungan sukatan pelajaran tetapi sebaliknya bagi setiap tajuk diberikan penekanan yang lebih mendalam. Misalnya, bagi mata pelajaran sains, apa salahnya, hanya dikekalkan 50 peratus sukatan pelajaran saja, tetapi bagi setiap tajuk disertakan dengan ilmu tambahan, dikaitkan dengan kehidupan dan isu semasa. Oleh itu, peperiksaan harus dikekalkan bagi memastikan momentum pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas tetapi bentuk soalan haruslah berubah yang menjurus kepada semua pelajar dapat menjawabnya cuma kualiti jawapannya saja yang dapat membezakan kematangan mereka. Saya berharap, Kementerian Pelajaran tidak tersalah langkah seperti yang berlaku menghapuskan yuran peperiksaan akhirnya ramai yang tidak menghargai peperiksaan itu, memberikan buku teks percuma kepada semua pelajar sama ada miskin dan kaya, menghantar ke sekolah komputer, LCD, CD, VCD dan akhirnya terbiar begitu saja di bilik kelas atau di dalam stor. Semuanya ini mengundang perbelanjaan yang besar tetapi kesannya amat minimum. GURU C2, Johor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...