terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 3, 2010

Masukkan Melayu ke Kg. Baru


Kampung Baru mampu memberi peluang kepada sekurang-kurangnya 300,000 orang Melayu menetap, bekerja dan bermain di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Cuba kita ambil ini sebagai sasaran dan kita cari saranan-saranan yang mampu membuat ini menjadi kenyataan.

Sebanyak 300,000 orang Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur akan dapat membantu mengembangkan perekonomian, menggamit ekonomi baru datang dengan secara tidak langsung.

Kita jangan melihat KLCC, kemudiannya kita mahu replika atau setengah replika KLCC diacukan ke Kampung Baru. Ini yang timbul idea 60:40, 70:30 nisbah Melayu-bukan Melayu yang memungkinkan bukan Melayu memiliki hartanah di Kampung Baru.

Kalau pihak Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar tidak dapat melihat betapa pentingnya tanah kampung Melayu ini 100 peratus milik orang Melayu, bagaimana mungkin Kampung Baru boleh dimajukan untuk kepentingan orang Melayu se-Malaysia?

Sejarah telah mengajar kita, yang sepatutnya diperuntukkan menjadi milik Melayu, dengan adanya "lubang" 60:40, atau 70:30, maka, hartanah dijualkan kepada bukan Melayu dengan hanya satu surat sokongan daripada orang politik berjawatan.

Kementerian patut ingat, bila membangunkan Kampung Baru, pelanggan sasaran ialah orang Melayu di luar Kampung Baru. Merekalah yang akan menjadi pembeli-pembeli hartanah yang akan dibangunkan di Kampung Baru.

Jangan lihat pada Bandar Baru Bangi dan Shah Alam. Memang kedua-dua bandar ini mengambil masa amat lama untuk dibangunkan. Tetapi, jika dikaji sedalam-dalamnya, selepas PKNS berusaha sama dengan syarikat swasta, pembangunan amat cepat berlaku, dan yang paling penting, pembeli-pembeli Melayu seluruh Malaysia adalah penghuni hartanah-hartanah tersebut buat masa ini. Orang Melayu sekarang juga berdaya beli.

Orang Melayu mana yang tak mahu hartanah di Kampung Baru Kuala Lumpur?

Cubalah cari konsep pembangunan Kampung Baru dengan berkiblatkan orang Melayu. Kerajaan selalu sangat fikirkan, bila bina rumah untuk orang Melayu sahaja, terbayang rumah kos rendah. Minda ini patut diubah bila melihat pembangunan di Kampung Baru.

Kalau bina apartment 1,200 kaki persegi dan jual pada harga RM250,000 hingga RM300,000, banyak orang Melayu boleh beli.

Bina 50,000 rumah di Kampung Baru, yang lainnya pejabat dan ruang komersial. Kalau mahu bukan Melayu datang ke Kampung Baru, buat bangunan untuk Tesco, Giant dan sebagainya, datanglah mereka ke Kampung Baru.

Kerajaan masih tak tahu apa yang nak dibangunkan, itu yang pemilik tanah Kampung Baru runsing dibuatnya. Masih dengan konsep.

Buatlah master plan untuk Kampung Baru, pembangunan yang GLC akan jalankan. Barulah sedap pemilik tanah dan pemaju berurusan. Bukannya susah nak kira nilai pembangunan sebagai pulangan kepada pemilik tanah. Ini yang dipraktikkan:

1) Kalau bangunan kediaman, 25 peratus dari jumlah unit adalah untuk pemilik tanah.

2) Kalau bangunan komersial , 30 peratus dari jumlah unit adalah untuk pemilik tanah.

3) Kalau pemilk tanah mahu wang tunai pendahuluan, nilainya diberi potongan harga.

Saya rasa pengambilan tanah di Kampung Baru tidak menjadi soal, sebab kita boleh ambil pendekatan semasa membina lebuh raya sedia ada sekarang.

Tunjuklah kepada kami apa yang nak dibangunkan di Kampung Baru.

Mohammad Yusof Abdullah

Jalan Syed Mahadi, Kg. Baru

1 comment:

  1. saya sangat setuju dengan pandangan ini. Pemimpin cubalah berfikir macamana orang Kg.Baru berfikir supaya projek ini boleh dijayakan. Jangan cerita yg pelik2 yg orang Kg.Baru tak faham atau sahaja memang tak nak difahamkan kerana orang Kg.Baru lebih faham....

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...