terima kasih buat kalian semua..

Sunday, June 6, 2010

Mengapa ahli majlis PBT suka membazir?


ADALAH sesuatu yang menghairankan apabila mesyuarat yang membabitkan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan di luar daerah pentadbirannya.

Saya menganggap langkah sedemikian merupakan satu pembaziran yang ketara apabila PBT terpaksa menggunakan perbelanjaan yang tinggi untuk membayar penginapan dan elaun setiap kali ahli-ahli majlis PBT di negeri ini mengadakan mesyuarat di luar daerah.

Tidak kurang membazir juga apabila ahli-ahli majlis PBT mengadakan lawatan (melancong?) ke luar negara.

Ini kerana setiap kali ahli-ahli majlis PBT melawat ke luar negara, tiada sebarang pembaharuan atau perubahan dilakukan dalam kawasan pentadbirannya. Semuanya sama sahaja.

Kita bimbang lawatan-lawatan yang dibuat ke luar negara membabitkan ahli-ahli majlis itu sebenarnya hanya untuk pergi makan angin semata-mata.

Difahamkan semua pejabat PBT di negeri ini telah disediakan bilik mesyuarat yang dilengkapi dengan kelengkapan canggih dan termoden.

Jadi, kenapa tidak gunakan sahaja bilik mesyuarat yang telah disediakan itu.

Difahamkan juga kerajaan mengeluarkan peruntukan tinggi untuk mengubahsuai bangunan pejabat kerajaan termasuk bilik mesyuarat.

Saya juga berpendapat sudah tiba masanya para pegawai dan kakitangan diberi peluang mengadakan lawatan ke PBT luar negeri Pahang untuk mempelajari sesuatu.

Jika tidak pun, apa salahnya jika diwujudkan klinik panel bagi kemudahan pegawai dan kakitangan untuk mendapatkan rawatan atau kebajikan lain.

Selain itu, saya menyarankan PBT di negeri ini menyediakan tempat letak surat bagi kegunaan ahli-ahli majlis supaya mereka datang sendiri ke PBT untuk mengambil surat-surat mereka.

Dengan cara itu, ahli-ahli majlis dapat bertemu dengan pegawai dan kakitangan selain mengeratkan perhubungan antara kedua-dua pihak. Ini kerana, ada sesetengah pegawai dan kakitangan tidak mengenali ahli-ahli majlis PBT.

XX 2010

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...