terima kasih buat kalian semua..

Friday, June 25, 2010

Percayakah anda dengan suami anda 100%???




Seorang isteri boleh merasakan perubahan tingkah laku seorang suami, lebih-lebih lagi jika membabitkan seorang orang ketiga.

Inilah kisah yang ingin dikongsi oleh Aza (bukan nama sebenar) minggu ini.

"Saya berusia awal 30-an, baru berkahwin ketika kejadian berlaku sekitar 2006. Suami pernah menipu tetapi kelentongnya terbongkar tanpa perlu saya siasat, semua berlaku secara semula jadi.

"Ketika itu saya mengandung. Suami bekerja di Kuala Lumpur. Dia banyak keluar daerah, utara, selatan, Pantai Timur dan juga Malaysia Timur.

"Semasa di Kedah dia buat hal dengan seorang kerani di sebuah pejabat swasta. Walaupun tidak nampak apa-apa perubahan, naluri seorang isteri tetap nampak perubahan suami, tambahan pula saya sedang mengandung lima bulan.

"Satu hari dia menghantar saya ke pejabat. Dalam perjalanan telefonnya asyik berdering, tapi dia langsung tidak peduli. Apabila saya menyuruh dia menjawab, katanya tidak apa.

"Lalu saya teringat selama ini kalau telefon berbunyi semasa saya ada, dia menjawabnya dengan elok, ini lain pula sikapnya. Saya mula curiga tetapi masih tidak komen apa-apa. Tetapi dia yang rasa rimas.

"Esoknya, kejadian sama berulang. Kali ini jawapannya menyakitkan hati saya. Katanya, "Saya sedang bawa kereta nak hantar isteri ke pejabat," hati saya sejuk sebab dia sebut nak hantar isteri ke pejabat.

"Esoknya berlaku lagi. Kali ini saya hilang sabar. Saya tanya, siapa yang selalu telefon pagi-pagi itu.

"Berkali-kali saya desak dia bercerita, akhirnya dia mengaku perempuan yang menelefon itu suka kepadanya walaupun tahu dia sudah ada isteri.

"Masuk hari keempat saya terima panggilan dari seorang perempuan. Ketika itu saya bekerja. Dia bagi tahu saya dia telefon dari Kedah memberitahu dia ada hubungan dengan suami saya.

"Saya nak bagi tahu kakak yang saya dan abang Z ada hubungan. Kami dah sebulan lebih berkawan.

"Mendengar pengakuan tidak malunya itu saya macam hendak bersalin hari itu juga...sakit hati Allah saja yang tahu.

"Saya tanya perempuan tu, dia tau ke yang suami saya itu sudah beristeri? Dia dengan tidak malunya berkata, saya tau… abang Z dah bagi tahu saya.

"Bayangkan sikap anak dara kita sekarang, hilang maruah diri dan tidak ada rasa malu langsung.

"Pulang kerja, saya dijemput suami. Saya tidak cepat melatah. Selagi belum ada bukti, saya tidak akan serang suami sewenang-wenangnya.

"Saya mesti cari bukti. Dalam kereta, saya minta pinjam telefon bimbit dia, alasan saya hendak sambung bermain game yang saya terhenti malam tadi.

"Sebenarnya saya buka mesej dia, satu persatu saya periksa, yang keluar dan yang masuk. Semuanya dari perempuan itu, antaranya ajak makan, minum dan macam-macam lagi.

"Saya menggigil macam nak terajang saya dia keluar kereta.

"Sampainya hati dia buat saya macam itu. Dalam keadaan saya tengah mengandungkan anak dia tergamak menduakan saya.

"Panas saya sampai tahap kritikal. Saya tunjukkan semua yang ada dalam telefonnya. Terkebil-kebil matanya.

"Apa lagi nak jawab, semuanya sudah ada depan mata. Akhirnya dia mengaku....skripnya tidak menjadi, lakonannya juga tidak mantap, akhirnya tembelangnya pecah.

"Dek kerana kecewa saya keluar dari rumah dan menumpang di rumah sewa kawan bujang. Tidak tahu mengapa saya sudah tidak boleh pandang lagi wajahnya.

"Dia datang mencari saya. Menangis-menangis cakap tidak akan buat lagi, dia mengaku bersalah dan sayangkan saya dan anak dalam kandungan.

"Saya berikan syarat, sekarang juga dia kena selesaikan masalah dia dengan perempuan itu. Saya mahu dia bawa saya jumpa perempuan itu dan ceritakan perkara sebenar.

"Pertemuan itu diatur. Kami berjumpa enam mata. Tahu apa perempuan itu kata kepada saya.

"Akak lah perempuan paling tamak di dalam dunia yang pernah saya jumpa.

"Selepas kejadian itu suami banyak berubah. Dia menjadi lebih penyayang dan mengambil berat. Kes perempuan itu senyap begitu sahaja.

"Kami kini sangat bahagia bersama anak perempuan kami, yang berusia 4 tahun. Walaupun sekarang tidak ada tanda-tanda yang dia akan mengulangi perbuatannya itu tetapi saya selalu berjaga-jaga dan ada perasaan curiga.

"Sekarang saya tidak percaya lagi seratus peratus kepadanya. Sekali terkena, dua kali beringat.

"Saya terus memeriksa apa yang ada dalam telefon dan beg duit dia, apa dia tulis dalam diari semuanya saya periksa.

"Saya berharap kejadian itu benar-benar menyedarkan suami dan saya berdoa supaya rumah tangga kami akan kekal sehingga ke akhir hayat, insya-Allah!," demikian Aza menutup ceritanya.

Hebat betul kisah Aza. Saya bangga dan kagum dengan keberanian yang Aza tunjukkan dalam menjaga haknya.

Ada masa kita sebagai wanita perlu berani bertindak jika ingin mencari kebenaran. Jangan menjadi 'hamba' kepada lelaki yang hanya mengambil kesempatan terhadap kebaikan wanita.

Semoga kisah Aza menjadi iktibar kepada kita semua dalam mengharungi kehidupan berumah tangga sehingga ke penghujung usia.

Menutup kata, sesungguhnya kebahagiaan terletak kepada keberanian untuk mencari kebenaran dalam sebuah kehidupan yang telus, ikhlas dan harmoni. Salam

- sumber utusan

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...