terima kasih buat kalian semua..

Thursday, June 3, 2010

Rakyat tidak minta menjadi kaya macam Bill Gates

RAKYAT sukakan subsidi, saya sukakan subsidi malahan semua pengguna amat mengharapkan subsidi. Nikmat berbelanja pada bukan harga sebenar adalah salah satu faktor yang amat menarik apabila berbicara berkenaan subsidi.

Tetapi apabila mengenangkan nasib negara yang boleh jatuh muflis disebabkan beban hutang dan beban subsidi, mungkin sudah sampai masanya rakyat merelakan subsidi dimansuhkan.

Bagaimanapun, kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dalam memansuhkan nikmat subsidi yang dinikmati selama ini. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang pendapatan. Tidak semua mampu mengharungi kehidupan yang serba mencabar ini.

Sudah sampai masanya kerajaan sendiri perlu lebih berhemah dan mengurangkan hutang negara. Rakyat senang, kerajaan tenang berpanjangan.

Bagi mengelakkan rakyat terbeban akibat pemansuhan subsidi, mungkin terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Antaranya:

1. Pendapatan Rakyat

Rakyat merungut kerana pendapatan yang diperoleh boleh dianggap rendah dengan harga barang dan kos hidup di Malaysia yang boleh dianggap tinggi. Jika dilihat rakan-rakan di negara jiran, mereka mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia dan kos sara hidup masih lagi pada tahap 'boleh diterima.'

2. Kelangsungan Hidup Rakyat

Rakyat tidak meminta untuk hidup bergaya. Rakyat tidak minta menjadi kaya macam Bill Gates. Rakyat tidak meminta kekayaan berbilion ringgit sebagai syarat hidup tanpa subsidi. Tetapi rakyat memohon supaya keadilan ekonomi diberikan.

Beban tidak patut ditanggung sama rata antara kaya dan miskin, ini menggalakkan yang kaya makin hebat dan senang manakala yang miskin makin terhimpit. Jadi bantulah rakyat supaya kelangsungan hidup wujud dengan semangat bantu-membantu.

3. Kehidupan Lestari

Jika rakyat memperoleh dua perkara di atas janganlah kerajaan lupa. Banyak rakyat negara maju hidup merempat akibat tekanan ekonomi. Terdapat rakyat negara maju yang tidur di tepi jalan tanpa rumah untuk didiami. Diharap kerajaan yang mendahulukan rakyat mampu menjana ekonomi yang hebat tetapi masih mampu memberi ruang kepada rakyat menikmati hidup yang sempurna.

4. Pendidikan dan Perubatan

Ini adalah dua perkara yang memberi impak secara langsung kepada perkembangan dan kemajuan sesebuah negara. Diharap formula terbaik dicari bagi memastikan dua aspek ini mampu diperoleh oleh rakyat Malaysia di semua peringkat.

Jika rakyat terbiar, saya tidak nampak kerajaan dapat tidur dengan lena. Jadi buatlah keputusan yang adil lagi bijaksana supaya rakyat hidup tidak merana dan kerajaan dianggap berjaya.

MOHD. KHAIRI MD. JAAFAR

Kulim, Kedah

1 comment:

  1. gaji rm 5k pdengan anak 4 org pun dah tak dpt menanggung kos hidup...mana nak bayar bil,pengasuh, tambang van, sekolah/tuisyen, brg dapur...anak2 tak kenal ape itu cuti2 malaysiaa.

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...