terima kasih buat kalian semua..

Monday, June 28, 2010

Suara Hati Pengundi Atas Pagar


SAYA merujuk kepada tulisan Hamdan Rukun, Enggor, Perak dalam ruangan Forum Utusansemalam. Sebagai anak muda Melayu dan pengundi atas pagar, saya ingin menarik perhatian semua agar tidak terlebih tidur dalam menilai kemampuan pihak pembangkang.

Secara peribadi saya beranggapan tulisan Hamdan Rukun ini lebih mengangkat dan melenakan jika dibaca oleh parti pemerintah dan bukan semuanya boleh dijadikan ukuran. Hamdan Rukun membuatkan parti pemerintah terhibur dan terasa berada di zon selamat.

Izinkan saya memberi sedikit pandangan daripada anak muda Melayu, pekerja profesional dan para pengundi atas pagar, tujuh sebab pembangkang mahu pilihan raya segera.

Pertama: 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' bukanlah satu fenomena indah jika rakyat melihat banyak lagi kelemahan pentadbiran yang menyakitkan hati rakyat. Ketidaktegasan dan berbolak-balik penguatkuasaan berkenaan keselamatan rakyat, keperluan asas rakyat, dasar-dasar pemerintah yang seringkali mengejutkan malah mengundang kegusaran rakyat, keikhlasan dalam pelaksanaan yang tidak seperti yang diharapkan. Turun dan lihatlah sendiri keadaan sebenar rakyat di bawah ini.

Kedua: Apalah yang difahami tentang keluk ekonomi oleh orang kampung, ekonomi melonjak setinggi mana sekalipun tidak membawa sebarang makna jika harga keperluan asas harian mendongak naik. Perkhabaran baik tentang ekonomi makro dan mikro negara, hanya santapan baik untuk pelabur dan anak muda berpelajaran, namun hanya membawa kemarahan dan keluhan setiap hari bagi penduduk di pedalaman, nelayan dan pekerja kilang. Kenyataan kebankrapan negara hanya menjadi bahan ketawa dan sindiran bagi kami, sudah pasti boleh dilampiaskan ke dalam undi nanti.

Ketiga: Mesyuarat bahagian membawa kepada mesyuarat peringkat kebangsaan sekalipun, tidak akan ke mana-mana jika yang hadir itu ada di antaranya membawa agenda untuk menjadi cepat atau lebih kaya. Itu kenyataannya dan orang kampung pun tahu tentang itu. Kenyataan ramai anak muda hadir mesyuarat bahagian, sangat merisaukan. Patut ditanya, siapa mereka? Dari golongan mana mereka? Apa resolusi rakyat dibawakan oleh mereka? Tanyakan jika ada suara bangsa dan rakyat dibawa ke poket mereka? Apa intipati bangsa dan rakyat yang dibawakan oleh mereka kepada pemerintah di atas? Apa mereka ini mampu membawakan undi kami kepada mereka? Kami golongan muda pengundi atas pagar sedia untuk ketawa.

Keempat: Isu atau intipati lama yang dibawakan oleh pembangkang inilah sebenarnya isu yang patut diambil kira oleh parti pemerintah. Isu kemudahan rakyat, masalah sosial bangsa yang sudah pun hancur. Ketiadaan penonton atau kurangnya sambutan ceramah pembangkang bukan isu untuk menilai sokongan bagi pembangkang. Jangan dipandang ringan mereka ini. Mereka membakar semangat dengan isu, mengundang kemarahan dan sakit hati rakyat kepada pemerintah. Provokatif ini yang sebenarnya terbitan undi kelak. Golongan muda peduli tentang isu-isu dibawakan mereka, sekalipun tidak mahu datang ceramah, mereka tahu isu ini kerana rakyat merasainya dan bukannya pihak pemerintah.

Kelima: Berterus-terang saya katakan, tidak siapa pun peduli Datuk Seri Anwar Ibrahim dan imejnya jika perut semakin diikat, jika keperluan semakin tersekat dan kehidupan semakin tersepit. Tidak kiralah golongan muda di bandar atau di luar bandar. Golongan muda lebih risaukan masa depan kerjaya berbanding survival bangsa. Kecelaruan perjuangan terhadap bangsa hanya menjadi bualan bisikan bagi kami yang mempunyai majikan berlainan bangsa. Ke mana bangsa kami akan datang? Memilih salah tidak memilih pun tetap bersalah. Kunci di tangan parti pemerintah.

Keenam: Dasar yang digariskan oleh pembangkang dalam simposium atau muktamar atau apa pun nama persidangan tidak menjadi dasar yang kuat untuk didengari oleh golongan muda seperti kami sekarang. Dasar parti pemerintah juga sama. Tanyakan kepada kami sejauh mana dasar parti ini mempengaruhi undi kami jika tiada pelaksanaan telus, ikhlas, tegas dan konsisten. Apatah lagi kepada penggubalnya? Tidak kiralah di pihak parti pemerintah atau pembangkang. Dasar anda semua masih tidak jelas kepada pengundi atas pagar. Lebih jauh lagi, kami bertanya, apakah dasar anda sebenarnya?

Ketujuh: Negeri dikuasai pembangkang tidak menampakkan sebarang kejayaan. Kerana hanya kegagalan yang dihidangkan oleh media kepada rakyat. Kami golongan muda profesional berbisik sesama sendiri sampai bila media sedar yang kami tahu kami digula-gula. Kami tahu apa itu Internet. Orang kampung bertanyakan kepada kami cerita sebenar di sebalik laporan media, bukankah itu membuktikan mereka juga tahu apa itu manipulasi. Semakin banyak manipulasi media massa sebenarnya hanya mengundang kemarahan rakyat. Percayalah ini semua sebenarnya mengumpul kemarahan dan mengundang dendam dalam jiwa kami golongan muda pengundi atas pagar.

Secara peribadinya, kenyataan tulisan Hamdan Rukun lebih emosi dan mengajak pihak pemerintah untuk terus alpa. Sebenarnya golongan muda profesional pengundi atas pagar seperti kami hanya inginkan keikhlasan pihak pemerintah dalam semua langkah. Konsisten dan telus. Itu sudah cukup untuk parti pemerintah memperoleh sokongan daripada kami.

SHUIBDIERA

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...