terima kasih buat kalian semua..

Friday, July 23, 2010

Beri pendidikan percuma, kos pengangkutan awam murah


HARGA baru bagi gula dan petrol, diesel dan gas cecair telah diwartakan oleh kerajaan pada 16 Julai lalu. Dalam kenyataan tersebut juga dinyatakan ‘kerajaan telah mengurangkan pemberian subsidi kepada gula dan minyak’. Saya ingin menyentuh isu utama yang dicadangkan untuk dimansuhkan pemberian subsidi iaitu subsidi gula dan subsidi petrol.

Cuba kita lihat, kebelakangan ini terdapat beberapa tekanan yang sering diberikan oleh pengusaha-pengusaha gula dan pengusaha stesen minyak. Terutama sekali kepada pengimport-pengimport gula yang kerap sangat memaksa kerajaan menaikkan harga bahan tersebut.

Hampir setiap tahun kita melihat masalah gula tidak pernah selesai dan sering kali di sesetengah tempat, gula selalu kehabisan stok sedangkan pengusaha-pengusaha gula menjanjikan semua bekalan mencukupi.

Saya yakin, jika pengimport gula tidak berpakat dengan pengedar gula untuk meminta kenaikan harga gula atau menyorokkan simpanan gula, jadi mana mungkin gula tiada di pasaran. Persoalannya, siapa pengusaha ini? Syarikat mana dan berapa syarikat yang mendapat AP import gula selama ini? Hal ini perlu dijelaskan oleh kerajaan agar rakyat semua tahu, siapa yang mendapat keuntungan selama ini, siapa pengusaha besar gula Malaysia dan apa alternatif lain jika bekalan gula tiada di pasaran.

Sekarang harga gula dan minyak sudah naik mengikut kehendak pengimport, apakah selepas ini masih ketiadaan gula di pasaran?

Setiap kali tekanan dibuat, maka bertambahlah subsidi yang perlu kerajaan berikan kepada gula untuk mengelak daripada sebarang kenaikan harga, jika tidak bahan-bahan ini akan menjadi sukar didapati.

Ini yang perlu dijelaskan oleh kerajaan agar rakyat tahu, siapa yang mendapat keuntungan selama ini, siapa pengusaha besar gula Malaysia dan berapa jumlah kos setiap kali subsidi diberikan kepada mereka ini (pengimport gula).

Malaysia juga salah sebuah negara pengeluar minyak dunia, kenapa kita sering ditakutkan dengan harga minyak dunia. Kenapa harga minyak di Arab Saudi teramat murah daripada harga sebotol air miniral? Setiap kali harga minyak dunia naik, kerajaan terpaksa menambah subsidi kepada pengusaha minyak di Malaysia. Jumlahnya sehingga mencecah berbilion ringgit, untuk setiap kali kenaikan harga minyak.

Oleh itu, jika kerajaan ingin memansuhkan subsidi, mulakan dengan gula dan petrol. Alihkan jumlah subsidi gula dan petrol ini kepada penambahan subsidi pembelajaran dan pengangkutan.

Semenjak dari tahun 1980 sehingga ke hari ini, pernahkah harga gula turun? Pernahkah kita dengar para pengimport gula ini muflis? Pernahkah kita dengar negara kurang gula setelah harga gula dinaikkan (selepas tekanan dibuat)?

Pernahkah pengusaha-pengusaha minyak mengalami kerugian teruk? Pernah harga bahan bakar ini turun kurang dari RM1 untuk seliter? Jawapan ini ialah ‘Tidak pernah’. Apa yang rakyat terima? Kesusahan, tetapi jika diberi pembelajaran percuma dan pengangkutan murah, seluruh rakyat akan lebih merasai kenikmatannya.

Cuba kita melihat dari sudut yang ‘adil’, iaitu jika harga gula dan minyak tidak diberikan subsidi, harganya lebih kurang sama malah adakalanya lebih mahal jika dibandingkan dengan harga gula dan minyak di negara-negara jiran sedangkan negara tersebut tidak mengamalkan pemberian subsidi terhadap dua bahan ini.

Ini bermakna, pengimport gula telah menikmati sepenuhnya keuntungan daripada pemberian subsidi dan bukannya rakyat peroleh keuntungan. Jumlah harga gula import tidak pernah didedahkan kepada media dan rakyat tidak pernah tahu harga import dan berapakah jumlah pengimport gula sejak dari tahun 1980? Cuma yang dipaparkan oleh media baru-baru ini ialah ‘salah seorang manusia yang terkaya’ di Malaysia dan juga di Asia merupakan seorang rakyat Malaysia yang menjalankan perniagaan import gula di Malaysia.

Seperkara lagi, masalah penyakit diabetis dan kemalangan amat tinggi di negara kita jika dibandingkan negara-negara jiran. Ini bermakna, kedua-dua bahan ini memberikan bencana besar kepada rakyat. Gula dan minyak tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat Malaysia.

Jika subsidi gula dan petroleum dimansuhkan, dan peruntukan itu diberikan untuk subsidi pembelajaran dan pengangkutan iaitu dengan pemberian pembelajaran percuma untuk seluruh ‘rakyat’ Malaysia, bermula dari prasekolah sehingga pembelajaran percuma di institusi pengajian tinggi awam.

Selebihnya, dilancarkan tambang murah bagi semua pengangkutan awam untuk seluruh rakyat. Saya amat yakin rakyat di negara ini tidak akan marah atau memberontak dengan pemansuhan subsidi gula dan minyak ini kerana impaknya kepada pembelajaran percuma dan juga kos pengangkutan awam sudah semakin murah.


Ampang, Selangor

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...