terima kasih buat kalian semua..

Monday, July 26, 2010

Bolehkah pakai rantai Karsemani bagi seorang Isteri dalam majlis perkahwinan??


Saya ingin bertanya mengenai adat perkahwinan keturunan India Muslim. Selesai akad nikah, selalunya akan diadakan upacara membatalkan air sembahyang bermula dengan mengalungkan seutas rantai perkahwinan yang dinamakan karsemani dan dikalungkan oleh ibu pengantin perempuan sendiri.

Setahu saya rantai karsemani ini hanya dipakai untuk wanita yang sudah berkahwin. Bagi yang belum berkahwin tidak dibenar memakainya oleh ahli keluarga tersebut walaupun rantai emas ini halal dipakai untuk wanita tidak mengikut status kahwin atau tidak dalam Islam (dalam adat ia tidak membenarkan pakai tetapi tidak menjatuhkan sebarang hukum, haram, syirik atau makruh).

Untuk pengetahuan tuan bentuk rantai ini juga seumpama seperti thali (bertuknya bukan 100% sama seperti thali).

JAWAPAN:

Agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT telah sempurna dan tiada yang tertinggal untuk disempurnakan oleh manusia. Bagi mereka yang benar-beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW pasti akan berpegang teguh dengan ajaran Islam seperti yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul SAW.

Justeru, budaya yang bercanggah dengan agama Islam hendaklah ditinggalkan. Dalam hal ini

Allah SWT yang bermaksud: … “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu...” (al-Maidah: 3)

Nabi SAW telah menerima ayat ini di padang Arafah pada tahun baginda melakukan haji wada’ (haji perpisahan).

Seramai 90,000 sahabat telah mendengar ayat ini dari Bukit Arafah. Hari yang sangat penting bagi umat Islam, hari yang sangat bahagia bagi umat Muhammad kerana dalam suasana inilah telah diisytiharkan bahawa Islam sudah sempurna.

Sempurna dalam segenap segi, ibadatnya, muamalatnya, akhlak dan lain-lain yang berkaitan dengan syariah.

Nampaknya masih ramai lagi yang berpegang kepada budaya tanpa bertanya daripada mana punca dan asalnya. Lebih malang lagi ada yang tetap berpegang dan beramal dengan budaya yang jelas bertentengan dengan agama atas alasan “biar mati anak jangan mati adat”.

Islam tidak meredai mana-mana umat Islam berpegang dengan budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Kersemani ada persamaan dengan thali walaupun cara pemakaiannya tidak sama dengan thali.

Thali adalah benang putih yang direndam dengan kunyit sehingga menjadi warna kuning kemudian dimasukkan dengan emas yang telah dibentuk dengan gambar dewa.

Thali yang sudah dibacakan mantera oleh sami akan diserahkan kepada mempelai lelaki untuk diikat pada leher mempelai perempuan sebagai tanda perkahwinan. Thali yang diikat mesti disimpulkan sebanyak tiga simpulan.

Sebenarnya perkahwinan dalam Islam tidak perlu kepada kersemani. Apa yang dilakukan oleh masyarakat India Muslim samalah daripada budaya perkahwinan masyarakat Hindu.

Walaupun ada perbezaan daripada sudut nama dan cara pemakaiannya tetapi puncanya adalah dari masyarakat Hindu.

Apa yang paling ketara ialah kersemani dipakaikan pada hari perkahwinan dan ditanggalkan bila suami meninggal dunia. Hal ini sama dengan masyarakat Hindu dipakaikan oleh suami pada hari perkahwinan dan ditanggalkan daripada leher isteri pada hari suami meninggal.

Apa yang jelas, kersemani ada unsur persamaan dengan amalan agama Hindu. Dalam Islam penganutnya tidak boleh meniru atau menyerupai mana-mana amalan atau budaya dari agama lain yang bertentangan dengan syariat Islam.

Setiap penganut agama Islam hendaklah berpegang teguh dengan ajaran yang terkandung dalam Islam melalui al-Quran dan al-sunnah serta penjelasan-penjelasan para ulama yang muktabar yang tidak bertentangan dengan kehendak Allah dan Nabi SAW.

Sekiranya kersemani memang budaya masyarakat India Muslim dan tidak diamalkan oleh mana-mana agama lain maka ia boleh dianggap budaya masyarakat India Muslim, tetapi masalahnya dapat dibuktikan bahawa memakai kersemani menyerupai amalan masyarakat Hindu yang jelas ada kaitan dengan agama Hindu.

Saya juga ada berbincang dengan beberapa sahabat India Muslim yang sudah tidak lagi mengamalkan amalan kersemani atas alasan ia bercanggah dengan ajaran Islam.

Juga difahamkan oleh beberapa orang sahabat yang lain, bagi wanita India Muslim yang memakai kersemani di lehernya kalau ada pertelingkahan berlaku akan mengugut suami akan putuskan kersemani yang bermaksud memutuskan hubungan suami isteri.

Nah, seolah-olah kuasa putuskan hubungan (talak) di tangan isteri dan bukan suami.

Yang keduanya memperlihatkan bahawa kersemani sangat penting dalam menjaga hubungan suami isteri seperti mana thali dalam agama Hindu.

Nasihat saya agar tinggalkan amalan yang bertentangan dengan agama Islam, kembali kepada Islam dalam persoalan perkahwinan supaya dapat keberkatan Allah.

Pastinya ada cabaran bila tinggalkan sesuatu budaya yang dudah kian lama diamalkan oleh sesebuah masyarakat, mungkin hari ini dikata dan dinista tetapi suatu hari nanti anak cucu kita akan dapat menikmati keindahan Islam yang sebenarnya.

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...